Meski tangan cedera sewaktu latihan, pelumba basikal BMX cilik muncul juara nasional

Irsalina Nursabrina tewaskan 10 peserta lain dalam perlumbaan di Nilai, Negeri Sembilan
Aug 4, 2025 | 5:30 AM
perlumbaan BMX, Irsalina Nursabrina, juara
Pelumba basikal BMX, Irsalina Nursabrina Muhammad Jeehad, atau lebih dikenali sebagai Sally (dua dari kiri) muncul sebagai juara merangkul pingat emas; tempat kedua ialah Irdina Qistina Mohd Nadzry (kiri); tempat ketiga ialah Nur Aleeya Qalesya Zickry Azizan (tiga dari kanan); tempat keempat ialah Mysha Nayla Othman (dua dari kanan); dan tempat kelima disandang adik Sally sendiri, Irdina Nurshadrina. - Foto MUHAMMAD JEEHAD RAZALI

Usia pelumba basikal, Irsalina Nursabrina Muhammad Jeehad, atau lebih mesra dikenali sebagai Sally, baru 10 tahun.

Tetapi dirinya sudah mengecapi gelaran juara kebangsaan BMX di Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia, menewaskan 10 peserta lain dari Singapura dan Malaysia, pada 6 Julai.

Walaupun sebelum perlumbaan bermula, Sally mengalami kecederaan tangan sewaktu latihan, dia tetap gigih meneruskan perjuangan dan akhirnya dinobatkan sebagai juara dalam perlumbaan pertamanya di peringkat nasional.

“Saya rasa sangat gembira dan ingin berkongsi kegembiraan ini dengan semua orang,” katanya, penuh bersemangat.

Minat anak sulung tiga beradik itu terhadap hobi berbasikal bermula seawal usia dua tahun apabila dia mula aktif menaiki basikal seimbang atau ‘balance bike’.

Bapanya, Encik Muhammad Jeehad Razali, 43 tahun, seorang juruteknik, mula memperkenalkan sukan itu kepada anak-anaknya.

“Saya dan isteri sangat berminat dengan sukan dua roda, dan kami percaya sukan ini dapat mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan di antara kami sekeluarga,” kata Encik Muhammad Jeehad.

Apabila usia Sally melepasi had umur untuk sukan basikal seimbang, dia beralih ke sukan basikal lumba BMX pula.

“Saya meminati sukan BMX kerana ia hampir menyerupai basikal seimbang, dengan perbezaan utama hanyalah pada teknik... basikal seimbang memerlukan larian, manakala BMX memerlukan kayuhan,” kata Sally.

Kini, Sally menjalani latihan dua kali seminggu di bawah bimbingan jurulatih, Farhaan Bakar, melalui program Skuad Pembangunan Belia, anjuran Persekutuan Berbasikal Singapura.

Seperti pelajar lain, Sally perlu mengimbangi masa antara pelajaran dengan latihan, sehingga perlu turut berkorban masa bermain dengan telefon bijak dan memastikan had penggunaan peranti atau gadget pada hujung minggu dijaga.

Namun, semua itu tidak melemahkan semangat Sally.

“Pada mulanya, agak sukar untuk mengimbangi antara latihan dengan pelajaran kerana ia memerlukan disiplin dalam pengurusan masa serta komitmen,” terang Sally, murid Darjah 4 Sekolah Rendah Wellington.

Dengan kemenangan itu, Sally, memperolehi hamper berserta pingat.

Di sebalik kejayaannya adalah sokongan dan pengorbanan keluarga yang amat besar.

Ibunya, Cik Nur Ain Rahim, 41 tahun, seorang guru, turut menjadi pendorong kuat penglibatan anak-anaknya.

Menurut Encik Muhammad Jeehad, ketiga-tiga anaknya aktif bersukan dan menjalani latihan.

“Cabaran terbesar kami adalah mengatur masa dan pengangkutan untuk menghantar Sally ke latihan.

“Bukan sahaja Sally, kami juga perlu mengatur jadual untuk adik-adiknya, Siddiq dan Dina.

“Pada mulanya, semua anak kami berlatih dengan Airdroz Bike Skill Academy di East Coast Park.

“Namun, apabila Sally terpilih mewakili Skuad Pembangunan Belia, kami terpaksa mengurus masa dan pengangkutan untuk latihan yang dijalankan pada waktu dan lokasi yang berbeza,” jelasnya.

Dalam pada itu, Encik Muhammad Jeehad dan Cik Nur Ain sepakat mengurangkan masa untuk hobi peribadi demi memberi tumpuan kepada anak-anak.

“Kami rasa sangat terharu apabila Sally diumumkan sebagai juara.

“Bagi kami, kemenangan sebenar ialah apabila anak berani mencuba,” ujar Encik Muhammad Jeehad penuh emosi.

Sally menjadikan dua pelumba senior daripada Skuad Pembangunan Nasional, Tara Alayna dan Mikha Zuhayr, sebagai idolanya.

Kedua-duanya juga muncul juara dalam kategori masing-masing di Nilai.

Dengan sokongan padu jurulatih dan rakan seperjuangan, Sally kini bersedia menyahut cabaran seterusnya, iaitu mewakili Singapura di Kejohanan Asean di Bangkok pada September.

Buat keluarga Sally, kemenangan itu satu langkah besar untuk memperkenalkan sukan BMX kepada masyarakat.

Mereka berharap lebih banyak pendedahan diberikan agar kanak-kanak lain juga berpeluang menemui semangat dan disiplin dalam sukan BMX.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg