Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zhulkarnain saran tambah kumpulan kariah

Muka baru hadir, mantan penjawat awam Jeffrey Siow
Apr 5, 2025 | 8:19 PM
Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang meluangkan masa bersama penduduk cilik di kawasan itu. (dari kiri) Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Amy Khor, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, dan Encik Don Wee.
Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang meluangkan masa bersama penduduk cilik di kawasan itu. (dari kiri) Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Amy Khor, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, dan Encik Don Wee. - Foto ZAOBAO

Lebih banyak kumpulan kariah mungkin ditubuhkan sementara menanti pembinaan masjid baru di Tengah untuk memenuhi keperluan masyarakat Melayu/Islam di kawasan Choa Chu Kang yang semakin meningkat.

Ini antara inisiatif diusahakan oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang yang juga Naib Pengerusi Majlis Bandaran Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

Bercakap dengan media di acara pelancaran Pelan Lima Tahun GRC Chua Chu Kang pada 5 April di The Arena @ Keat Hong, beliau yang dilantik sebagai AP pada 2020 berkata:

“Sementara menunggu butiran mengenai masjid baru, kita mencari cara untuk mewujudkan lebih banyak kumpulan kariah supaya dapat memenuhi keperluan umat Islam kita di Tengah ... dan kami juga sedang mencari ruang untuk meredakan kesesakan di Masjid Al-Khair, yang berkhidmat bukan sahaja untuk penduduk di Chua Chu Kang dan Keat Hong tetapi juga Yew Tee.”

Masjid baru di Tengah nanti akan memberi ruang alternatif bagi jemaah Chua Chu Kang, Keat Hong dan Yew Tee yang kini hanya mengunjungi Masjid Al-Khair.

Encik Zhulkarnain juga menekankan peri penting ketahanan lokasi masjid-masjid yang sudah berusia di kawasan itu, seperti Masjid Pusara Aman dan Masjid Al-Firdaus, yang dikunjungi ramai penduduk.

Selain itu, beliau juga merancang untuk menambah kedai makan halal di sekitar kawasan itu – antara maklum balas utama yang diberikan masyarakat Melayu/Islam.

“Kami akan adakan lebih banyak makanan Halal di Sunshine Pace dan Chua Chu Kang Centre. Kelab Masyarakat Keat Hong kini sudah ada beberapa kedai makanan Halal seperti Makan Singapura dan rangkaian makanan segera,” kata Encik Zhulkarnain.

Usaha seperti ini penting baginya dalam mengukuhkan keharmonian masyarakat.

“Saya cuba memastikan bagaimana kami boleh membina sebuah infrastruktur yang bukan sahaja mendekatkan orang kepada tempat-tempat sekeliling, tetapi juga mendekatkan orang antara satu sama lain,” kata Encik Zhulkarnain.

Semasa berkongsi tentang keutamaannya jika bersaing dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE 2025), Encik Zhulkarnain berkata beliau belum pasti akan bersaing, namun akan meneruskan usaha kolaboratif dengan penduduk untuk menjana idea bersama dan memperbaiki kawasan itu.

Dalam acara itu, dua muka baru kelihatan – mantan penjawat awam Encik Jeffrey Siow dan penasihat kedua kepada pertubuhan akar umbi Kembangan-Chai Chee, Dr Choo Pei Ling, yang dilihat di GRC Marine Parade baru-baru ini.

Turut menghadiri acara itu ialah AP lain iaitu Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong; Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Amy Khor dan Encik Don Wee.

Sebelum meletakkan jawatannya, Encik Siow, 46 tahun merupakan Setiausaha Tetap Kedua bagi Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Menurutnya, beliau diundang menyertai acara itu sebagai sebahagian daripada acara kemasyarakatan atas undangan Encik Gan.

“(Kerja kemasyarakatan) memberi saya peluang untuk meneruskan perkhidmatan awam dengan cara lebih langsung dan peribadi.”

Menjelaskan lebih lanjut, Encik Gan berkata kedua-duanya hadir untuk belajar bagaimana untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan lebih baik, tetapi tidak mengesahkan jika kedua-duanya akan disenaraikan dalam pasukan GRC Chua Chua Kang yang terdiri daripada empat orang pada pilihan raya umum akan datang.

“(Mengenai) rancangan masa depan, akan ada masa yang sesuai untuk kami mendedahkan lebih banyak butiran,” ujar beliau.

Tetapi beliau menegaskan bahawa kedua-duanya membawa pengalaman mereka yang kaya dalam kehidupan profesional dan kerja komuniti mereka kepada Chua Chu Kang.

Encik Gan juga mengesahkan bahawa Bukit Gombak akan terus berada di bawah Majlis Bandaran Chua Chu Kang, walaupun kawasan undi itu telah ditetapkan sebagai kawasan pilihan raya tunggal untuk pilihan raya akan datang.

Semasa acara itu, Encik Gan membentangkan pelan lima tahun bernilai $212 juta yang termasuk enam stesen MRT baru bagi Laluan Daerah Jurong (JRL), lebih banyak laluan berteduh, pusat makanan memuatkan seramai 700 pelanggan dan satu-satunya trek basikal profesional Singapura untuk basikal jenis BMX.

“Kami ingin menyediakan lebih banyak kemudahan untuk penghuni kami mengamalkan hidup sihat, dan menggalakkan masyarakat untuk bersatu padu,” terangnya.

(Dari kiri) Mantan penjabat awam Encik Jeffrey Siow; Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Don Wee; Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling; Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong; penasihat kedua kepada pertubuhan akar umbi Kembangan-Chai Chee, Dr Choo Pei Ling dan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim menyertai Hari Sukan bersama kanak-kanak Yayasan Masyarakat PAP (PCF).
(Dari kiri) Mantan penjabat awam Encik Jeffrey Siow; Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Don Wee; Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling; Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong; penasihat kedua kepada pertubuhan akar umbi Kembangan-Chai Chee, Dr Choo Pei Ling dan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim menyertai Hari Sukan bersama kanak-kanak Yayasan Masyarakat PAP (PCF). - Foto ST
Mantan penjabat awam Encik Jeffrey Siow bermain bersama kanak-kanak Yayasan Masyarakat PAP (PCF) semasa acara Hari Sukan. Beliau juga dilihat berbual bersama penghuni dan bergambar bersama mereka.
Mantan penjabat awam Encik Jeffrey Siow bermain bersama kanak-kanak Yayasan Masyarakat PAP (PCF) semasa acara Hari Sukan. Beliau juga dilihat berbual bersama penghuni dan bergambar bersama mereka. - Foto BH oleh NYIMAS ANDREANA
Penasihat kedua kepada pertubuhan akar umbi Kembangan-Chai Chee, Dr Choo Pei Ling memberi hadiah dan piala kepada kanak-kanak Yayasan Masyarakat PAP (PCF) yang telah menyertai Hari Sukan, di mana Dr Choo juga telah melibatkan diri dan bermain bersama.
Penasihat kedua kepada pertubuhan akar umbi Kembangan-Chai Chee, Dr Choo Pei Ling memberi hadiah dan piala kepada kanak-kanak Yayasan Masyarakat PAP (PCF) yang telah menyertai Hari Sukan, di mana Dr Choo juga telah melibatkan diri dan bermain bersama. - Foto BH oleh NYIMAS ANDREANA
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg