Topik diikuti
Pergi ke BHkuBayi SG61: Tangisan pertama 16 saat selepas tengah malam Hari Kebangsaan
Bilik bersalin di Hospital Universiti Nasional (NUH) bertukar jadi meriah apabila lebih sembilan doktor dan jururawat berkumpul bagi memberi sokongan kepada Cik Nurfarahin Jalil, 29 tahun, yang sedang melahirkan anak ketiganya.
Cik Nurfarahin mula proses melahir sekitar 11.45 malam pada 8 Ogos.
“Dah macam di Stadium Negara, bilik ramai dan rasa meriah,” seloroh suaminya, Encik Ahmad Nabil Abu Bakar, 35 tahun. Selalunya, hanya empat doktor dan jururawat yang hadir dalam bilik bersalin.
Tepat 16 saat selepas tengah malam, Nadra Ahmad Nabil selamat dilahirkan pada 9 Ogos menjadikannya antara bayi pertama yang menyambut Hari Kebangsaan bersama ibu bapanya.
Bayi seberat 3.3 kilogram (kg) dan setinggi 51.5 sentimeter (cm) itu sebenarnya dijangka dilahirkan pada 10 Ogos.
Cik Nurfarahin, seorang pendidik awal kanak-kanak, berkata beliau tidak menyangka anak ketiganya akan lahir pada Hari Kebangsaan kerana dua anak terdahulu masing-masing dilahirkan ketika kandungan mencecah 37 minggu.
“Saya ingat mungkin dia akan lahir pertengahan Julai, berdasarkan pengalaman dengan anak-anak sebelum ini,” katanya.
Nama ‘Nadra’ yang membawa maksud ‘unik’ dan ‘jarang ditemui’ dipilih pasangan itu kerana merasakan ia sesuai dengan anak mereka, yang disahkan mengalami sumbing bibir dan lelangit ketika kandungan berusia 20 minggu.
Beliau meluahkan rasa bangga kerana tarikh lahirnya mudah diingati dan memberi keluarga alasan untuk menyaksikan pertunjukan bunga api pada setiap sambutan hari lahirnya.
Satu lagi pasangan – Cik Shabirah Mohd Sidek, 33 tahun, dan suami Encik Ismail Sulaiman, 36 tahun – juga menyambut anak keempat mereka, bayi perempuan seberat 2.97kg dan setinggi 49cm pada 12.53 pagi 9 Ogos.
Bayi itu merupakan 'puteri’ pertama mereka selepas tiga anak lelaki.
Cik Shabirah melahirkan puterinya itu ketika usia kandungan 40 minggu dan dua hari selepas menjalani proses induksi pada 8 Ogos.
“Memang saya ingatkan hari Sabtu itu juga akan bersalin. Tak sangka pula sampai tengah malam dan jadi bayi yang dilahirkan pada Hari Kebangsaan,” ujar suri rumah itu.
Menariknya, selepas proses induksi berjaya, pasangan yang berkenalan ketika menuntut di universiti itu sempat berjalan kaki dari NUH ke Universiti Nasional Singapura, sekitar tiga kilometer, tempat mereka menuntut sekitar 11 tahun lalu, sebelum kembali ke hospital untuk menyambut kelahiran anak mereka.
Bagi Encik Ismail, harapannya buat anak perempuan pertama mereka mudah: “Saya harap bayi kami membesar dengan sihat dan menjadi anak yang solehah.”
Di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) pula, Cik Nur Atika Osman dan suaminya, Encik Muhammad Khairul Arifin Khairudin, kedua-duanya 33 tahun, menyambut anak kedua mereka pada 1.04 pagi.
Bayi perempuan seberat 3.53kg dan setinggi 52cm itu dilahirkan selepas sekitar 45 minit proses melahirkan.
Cik Atika, seorang pegawai dagangan, berkata proses kelahiran kali ini lebih mudah berbanding ketika melahirkan anak sulung mereka, Aleeya Khaira Muhammad Khairul Arifin, lima tahun lalu.
Pasangan itu masih memikirkan nama untuk bayi mereka, namun sudah sepakat bahawa namanya akan bermula dengan huruf ‘A’ dan ‘K’.
Cik Atika dan Encik Khairul sudah berkenalan sejak di bangku sekolah rendah di Sekolah Rendah Sembawang sebelum terputus hubungan dan bertemu semula ketika dewasa.
Selepas kelahiran bayi mereka, Cik Atika berkata bayi itu seolah-olah sudah memilih namanya sendiri: “Bila kami sebut nama itu, dia buka mata dua kali. Jadi kami pun macam, mungkin dia suka nama itu.”
Cik Nabilah Mohd Fadhli, 31 tahun, dan suaminya, Encik Aidil Iskandar Salman, 32 tahun, menyambut kelahiran anak perempuan mereka, Sofia Insyirah Aidil Iskandar, pada 1.13 pagi 9 Ogos di Hospital Mount Elizabeth Orchard.
Bayi seberat 3.5kg dan setinggi 51cm itu dilahirkan selepas Cik Nabilah menjalani induksi sekitar 20 jam.
Cik Nabilah berkata beliau pada awalnya berharap Sofia lahir pada 8 Ogos, namun bayi itu akhirnya memilih Hari Kebangsaan: “Kami bergurau mungkin masih sempat dapat 8/8 baby. Tapi Sofia ada rancangannya sendiri dan akhirnya lahir pada 9 Ogos.”
Di Hospital Raffles pula, Cik Izzah Syazana Mazlan, 29 tahun, dan suaminya, Encik Muhammad Faris Rashid, 33 tahun, menyambut anak kedua mereka, Muhd Ijaz Azry, pada 11.06 pagi Hari Kebangsaan.
Bayi seberat 3.2kg itu merupakan bayi pertama dilahirkan di hospital tersebut pada Hari Kebangsaan.
Cik Izzah, seorang jururawat, berkata tarikh jangkaan bersalin adalah 18 Ogos, namun beliau berharap Ijaz lahir pada 9 Ogos: “Saya selalu bercakap dengan bayi dan beritahu tentang 9 Ogos, sambil berharap dia akan lahir pada Hari Kebangsaan.”
