Seorang wanita berusia 21 tahun maut di Brazil pada 13 Jun selepas satu cubaan terjunan tali atau ‘rope jump’ berakhir dengan tragedi, apabila beliau dipercayai jatuh dari sebuah platform tinggi tanpa tali keselamatan yang dipasang.

Tiga lelaki telah ditahan atas pertuduhan “pembunuhan dengan dolus eventualis”, lapor AFP, yang membawa maksud mereka menyedari risiko kematian tersebut tetapi tetap meneruskannya.

“Siasatan masih dijalankan untuk menentukan keadaan sebenar dan menetapkan tanggungjawab,” kata pihak polis kepada AFP.

Walaupun pelbagai agensi media melaporkan bahawa mangsa sedang cuba melakukan terjunan bungee (bungee jump), agensi berita AFP, CNN Brazil dan nota takziah daripada bandar Limeira — iaitu tempat tinggal mangsa — menyatakan bahawa beliau meninggal dunia ketika melakukan aktiviti terjunan tali.

Terjunan tali berbeza daripada terjunan bungee kerana ia menggunakan tali yang kurang elastik, lantas peserta akan terayun ke hadapan dan ke belakang, bukannya melantun di akhir terjunan.

Video kejadian tersebut di media sosial menunjukkan wanita berkenaan dinaikkan ke udara oleh tiga orang di atas sebuah platform di Ponte do Esqueleto, yang dikenali sebagai Skeleton Bridge, di Limeira yang terletak di tenggara Sao Paulo.

Selepas lelaki-lelaki tersebut melepaskannya dari platform setinggi 40 meter itu, orang ramai kedengaran menjerit, “Tali itu!”, menurut beberapa laporan.

Pihak berkuasa berkata peralatan keselamatan itu tidak dipasang dengan betul, menyebabkan mangsa terjatuh dan mengakibatkan beberapa kecederaan.

Orang ramai di tempat kejadian cuba memberikan bantuan kepada wanita itu, tetapi beliau kemudian disahkan meninggal dunia oleh paramedik dan bomba di tempat kejadian, menurut laporan media.

Mangsa ialah Maria Eduarda Rodrigues de Freitas, lapor cawangan media Brazil O Globo, sambil menambah bahawa profil Instagramnya telah dipadamkan beberapa jam selepas kematiannya.

Saluran media itu juga melaporkan bahawa mangsa telah memuat naik ‘Instagram Story’ sebelum kejadian maut itu, menulis dalam nada bergurau: “Siapakah orang gila yang membenarkan saya melompat dari jambatan?”