Orang ramai di Asia Tenggara, termasuk Singapura dan Malaysia, tampil memberi sokongan kepada pekerja penghantaran di Indonesia dengan menghadiahkan makanan dan keperluan harian melalui aplikasi penghantaran dari jauh, berikutan rusuhan maut yang melanda negara itu sejak 25 Ogos.
Kemarahan meletus selepas Affan Kurniawan, pekerja penghantaran yang berusia 21 tahun, digilis kenderaan taktikal polis semasa pertempuran di Jakarta pada 28 Ogos.
Menurut laporan media tempatan, sehari kemudian di Makassar, seorang lagi pemandu yang dikenali sebagai Rusdamdiansyah telah dipukul hingga mati berhampiran kampus Universitas Muslim Indonesia, selepas orang ramai menuduhnya sebagai ejen penyamar.
Susulan keganasan itu, rakyat Indonesia mula menggunakan aplikasi penghantaran seperti Grab untuk menghantar makanan, minuman dan kit pertolongan cemas kepada penunggang penghantaran, yang telah menjadi salah satu kumpulan terbesar yang terlibat dalam bantahan itu.
Sejak itu, netizen telah menyiarkan arahan dalam talian yang menerangkan cara untuk melakukannya, dan kini, penduduk negara jiran Asia Tenggara, termasuk Singapura dan Malaysia, telah menyertai inisiatif itu untuk memberi sokongan kepada pekerja gig ini.
Seorang pengguna TikTok, @aktaasli, seorang pekerja penghantaran, berkongsi di TikTok bagaimana beliau menerima jasa baik seorang pengirim dari Singapura.
“Hari ini perasaan aku sedih dan terharu. Sedih kerana kita sebagai orang kecil ikut terkena imbasnya. Banyak jalan ditutup, banyak restoran ditutup, banyak sekolah yang diliburkan dan banyak kantor diliburkan. Terharunya ternyata masih banyak orang-orang masih peduli dengan kita,” katanya.
Beliau terkedu pemberi yang bernama @Natasha itu ternyata dari Singapura, peduli dengan rakyat Indonesia.
Berita Harian (BH) dapat menghubungi Cik Nur Natasha Abdul Raman iaitu pengguna TikTok @Natasha yang dikatakan itu.
Cik Nur Natasha, 25 tahun, seorang pelajar di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), berkata beliau juga emosi dan turut terkesan apabila menyedari @AKTA telah berkongsi pemberiannya itu di TikTok.
“Saya merasakan emosi yang bercampur baur, saya sebenarnya menangis dan juga sangat berbesar hati melihat kebaikan kecil itu amat bermakna kepada mereka, tetapi pada masa yang sama, saya juga sedih kerana mereka melalui masa yang sukar,” kata pelajar itu.
Cik Natasha membuat dua pesanan dan telah menghabiskan sekitar 595,000 rupiah ($46) untuk membeli minuman dan perubatan untuk pekerja penghantaran di sana.
Ramai pengguna media sosial termasuk selebriti tempatan turut berkongsikan cara bagaimana orang ramai dapat menyebarkan kesedaran dan membantu.
Warga Singapura, Cik Nursuriyanti Subir, 37 tahun, berkata beliau tidak dapat pastikan dari mana inisiatif ini bermula, tetapi beliau mula membuat promosi di TikTok (@sue.subir) pada 1 September.
“Saya melihat inisiatif ini bermula dari wadah Threads, tetapi saya tidak nampak sesiapa yang benar-benar menyiarkannya di Tik Tok. Saya tahu saya perlu menyebarkan kesedaran kepada pengikut saya untuk membantu negara jiran kita di Indonesia, terutamanya penunggang Gojek/Grabfood yang telah terjejas dengan situasi di sana,” kata Cik Nursuriyanti, seorang pembantu peribadi di syarikat swasta.
Penderma juga dinasihati supaya mengelak daripada membuat pesanan makanan yang tidak dapat digunakan, seperti alkohol dan daging babi, memandangkan 87 peratus rakyat Indonesia beragama Islam.
Pengarah dan penulis skrip, Cik Seri Wahyuni Jaes, juga kelihatan berkongsi di akaun Instagramnya, cara -cara bagaimana orang ramai boleh menghantar makanan kepada pekerja penghantaran di Indonesia dengan menggunakan aplikasi Grab.
Di tengah-tengah ketegangan itu, Cik Hidayah Mohammad, 32 tahun, seorang artis tanah liat polimer, berada di Jakarta bersama dua lagi temannya untuk bercuti, dari 30 hingga 31 Ogos yang lalu.
“Kami sudah membeli tiket, jadi kami teruskan saja rancangan kami ke Jakarta, tetapi kami memberitahu keluarga kami di mana kami berada supaya mereka tidak risau akan keselamatan kami,” terang Cik Hidayah yang juga mengaku dijaga baik oleh pemandu dan kakitangan hotel ketika berada di sana.
“Kami dapat lihat kesudahan rusuhan itu, di tepi jalan suasana masih terasa tegang dan kelihatan banyak kerosakan akibat vandalisme yang telah berlaku,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg