Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kumpulan Indonesia batalkan bantahan 1 Sep dek langkah keselamatan diperketat

Prabowo arah tentera, polis ambil tindakan tegas terhadap perusuh dan perompak
Sep 1, 2025 | 3:59 PM
rusuhan, Indonesia, langkah keselamatan diperketat
Anggota tentera lengkap bersenjata bersiap sedia di Monumen Nasional (Monas) di Jakarta untuk dikerahkan bagi menangani bantahan dan rusuhan besar-besaran yang dijangka berterusan di Jakarta pada 1 September. - Foto REUTERS

JAKARTA: Kumpulan pelajar dan masyarakat sivil Indonesia membatalkan bantahan pada 1 September selepas seminggu meluahkan kemarahan terhadap gaji dan elaun perumahan penggubal undang-undang dan tindakan keras polis, dikaitkan dengan langkah keselamatan yang dipertingkat di negara itu.

Bantahan bermula di Jakarta pada 25 Ogos dan kemudian merebak ke seluruh negara, dan menjadi semakin meluas selepas kenderaan polis melanggar dan membunuh seorang penunggang motosikal teksi (ojol) pada malam 28 Ogos.

Bantahan dan keganasan itu merupakan pergolakan paling serius sejak, Encik Prabowo Subianto, mengambil alih kuasa, dengan lebih banyak perhimpunan dirancang pada 1 September.

Namun, Perikatan Wanita Indonesia, gabungan kumpulan masyarakat sivil, berkata ia telah menangguhkan bantahan yang dirancang di Parlimen untuk mengelakkan sebarang tindakan keras oleh pihak berkuasa.

“Penundaan itu dilakukan untuk mengelak peningkatan keganasan oleh pihak berkuasa,” kata kumpulan itu dalam satu hantaran Instagram pada 31 Ogos.

Kumpulan pelajar turut menangguhkan bantahan pada 1 September, dengan sebuah kumpulan yang memayungi mereka menyatakan keputusan itu dibuat “disebabkan keadaan yang sangat mustahil”.

Pergolakan itu sebelum ini memaksa Encik Prabowo membatalkan lawatan ke China minggu ini untuk menghadiri upacara memperingati berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Menteri Pertahanan, Encik Sjafrie Sjamsoeddin, memberi amaran pada 31 Ogos bahawa pihak tentera dan polis akan mengambil “tindakan tegas” terhadap “perusuh dan perompak”, selepas rumah Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati, dipecah masuk dan dirompak.

Beberapa rumah anggota parlimen (AP) dan bangunan pemerintah turut digeledah dan dibakar.

Selain Jakarta, bantahan juga melanda Yogyakarta, Bandung, Semarang dan Surabaya di Jawa dan Medan di Sumatera Utara.

Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh selepas penunjuk perasaan membakar sebuah bangunan majlis di timur bandar Makassar pada 28 Ogos.

Seorang lagi mangsa meninggal dunia di Makassar pada 29 Ogos selepas dipukul oleh kumpulan perusuh kerana disyaki menjadi pegawai perisikan.

Di Yogyakarta, seorang pelajar Universiti Amikom Yogyakarta, Rheza Sendy Pratama, maut dalam bantahan.

TikTok pada 30 Ogos pula menggantung sementara ciri siaran langsungnya selama “beberapa hari”.

Bercakap dalam sidang akhbar di Istana Presiden dan diapit pemimpin pelbagai parti politik, Encik Prabowo berkata beliau telah mengarahkan tentera dan polis mengambil tindakan tegas terhadap perusuh dan perompak.

“Pemimpin di Parlimen telah bersetuju untuk membatalkan beberapa dasar Parlimen, termasuk saiz elaun untuk AP dan moratorium perjalanan kerja ke luar negara,” ujar Encik Prabowo.

Ekorannya, polis menubuhkan pusat pemeriksaan di seluruh ibu negara manakala pegawai dan tentera lengkap bersenjata menjalankan rondaan di seluruh bandar dan mengerahkan penembak tepat di lokasi utama.

Pasukan polis ibu negara berarak dengan konvoi kereta perisai dan motosikal di luar Parlimen lewat pada 31 Ogos sebagai memberi amaran kepada penunjuk perasaan.

Sentimen pelabur terjejas apabila bantahan itu membawa kepada penjualan saham dan mata wang Indonesia secara mendadak pada 29 Ogos.

Ekonomi Indonesia pada asasnya kukuh, kata ketua menteri ekonominya pada 1 September sedang pasaran saham merudum buat hari kedua berturut-turut. – Reuters, AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg