Topik diikuti
Pergi ke BHkuNetizen kongsi pandangan susulan seruan PM Wong pelajari bahasa Melayu
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata terdapat manfaat untuk warga Singapura mempelajari Bahasa Melayu dan mendalami budaya Melayu, semasa ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2026 beliau.
“Pertalian ini bukan sahaja tentang warisan kita. Malah, ia membantu kita mengeratkan hubungan dengan jiran-jiran serantau dan membuka lebih banyak peluang untuk rakyat dan perniagaan Singapura,” ujarnya.
Ucapan beliau pada 23 Ogos itu telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
Susulan pengumuman itu, ramai warganet tampil berkongsi pandangan di ruangan komen mengenai kepentingan bahasa tersebut.
Antaranya ialah pengguna ‘Kartini Abdul Rahman’ yang berkata:
“Ya, kembalikan dengan tegas penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita.”
Pengguna ‘Maz L Lan’ pula berpandangan bahawa penggunaan bahasa Inggeris secara meluas dalam kalangan keluarga Melayu, yang pada asalnya bertujuan membantu anak dalam pelajaran, telah menyebabkan bahasa Melayu semakin dipinggirkan.
Namun, beliau percaya keadaan itu masih boleh diperbaiki sekiranya masyarakat mempunyai kesedaran untuk kembali memperkukuh penggunaan bahasa Melayu.
Di samping itu, pengguna ‘Ng Teng Qin’ pula berkata beliau mengalu-alukan kenyataan Encik Wong, sambil menekankan kedudukan bahasa Melayu dalam sejarah dan identiti Singapura.
“Saya gembira beliau berkata demikian. Sudah terlalu lama kita melupakan bahawa Singapura merupakan sebuah pulau di Nusantara, atau bahawa bahasa kebangsaan kita ialah bahasa Melayu.
“Selain daripada pelbagai kegunaannya, bahasa Melayu wajar diberi pengiktirafan dan, yang paling penting, dihormati dan tidak dianggap sebagai sesuatu yang sampingan,” katanya.
Namun begitu, terdapat juga segelintir warganet yang berpandangan bahawa bahasa Inggeris masih perlu kekal sebagai bahasa utama dalam komunikasi, khususnya bagi menyokong kemajuan ekonomi Singapura.
Antaranya ialah pengguna ‘IntelligentGuava5616’, yang berpendapat bahawa sebagai sebuah negara yang tidak mempunyai sumber semula jadi, keupayaan Singapura untuk berkomunikasi dan berdagang dengan negara lain merupakan perkara penting bagi memastikan kemajuan ekonomi.
“Bahasa Inggeris perlu kekal sebagai bahasa biasa. Tidak perlu mempelajari bahasa Melayu hanya untuk memesan nasi lemak jika semua orang boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
“Memesan nasi lemak tidak akan menjana pendapatan untuk negara, tetapi mengetahui bahasa Melayu mungkin membolehkan anda mendapat bahagian yang lebih banyak!” katanya.
Bagaimanapun, pengguna tersebut turut berpandangan bahawa mempelajari bahasa Melayu tidak mendatangkan kerugian.
Malah, beliau mencadangkan agar warga Singapura turut mempelajari bahasa Tamil dan Mandarin.
Menurutnya, keupayaan menggunakan bahasa masyarakat utama lain di Singapura dapat meningkatkan interaksi dan persefahaman antara kaum, sekali gus membantu membina masyarakat yang lebih kukuh dan bersatu.
