Mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, sedang berbincang dengan Universiti Nasional Singapura (NUS) mengenai aturan untuk kembali ke bidang akademik.

Seorang jurucakap NUS berkata demikian pada 24 Ogos sebagai menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times (ST).

Dr Faishal, yang juga merupakan mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), meletak jawatan daripada bidang politik dan sebagai Anggota Parlimen (AP) pada 20 Julai, berhubung satu ‘kesilapan pertimbangan’ dalam mengendalikan interaksinya dengan seorang wanita yang merupakan anggota masyarakat.

Beliau digantikan oleh Encik Zaqy Mohamad.

Sebelum memegang jawatan politik, Dr Faishal bertugas di NUS sebagai profesor madya di Jabatan Hartanah universiti itu, dan menyertai barisan kepimpinan politik pada 2012 sebagai Setiausaha Parlimen (Pengangkutan).

Dr Faishal, yang mempunyai kerjaya dalam bidang akademik sebelum menyertai politik, pertama kali dipilih sebagai sebahagian daripada pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Marine Parade pada 2006, sebelum dipilih semula bagi tiga penggal berikutnya di GRC Nee Soon.

Beliau kembali bertanding di GRC Marine Parade pada Pilihan Raya Umum 2025, dengan pasukannya menang tanpa bertanding.

Dr Faishal dinaikkan pangkat sebagai Setiausaha Parlimen Kanan pada 2017, dengan memegang portfolio pendidikan serta pembangunan sosial dan keluarga.

Pada 2020, beliau dilantik sebagai Menteri Negara.

Dalam rombakan Kabinet Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada Mei 2025 selepas pilihan raya umum, Dr Faishal dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negara Kanan dan Pemangku Menteri.