Topik diikuti
Pergi ke BHkuCatat rekod dunia 273 kg, atlet 18 tahun biayai sendiri impian ‘powerlifting’
Sanggup bekerja sambilan demi tampung kos latihan, pertandingan sambil imbangi tuntutan pengajian
Catat rekod dunia 273 kg, atlet 18 tahun biayai sendiri impian ‘powerlifting’
Bagi Encik Muhammad Hazrul Abdul Malik, mengejar rekod dunia bukan sekadar menjalani latihan berjam-jam mengangkat besi di gimnasium, beliau juga perlu bekerja sambilan untuk membiayai sendiri impiannya.
Tidak mahu ibunya menanggung kos mengejar impiannya dalam sukan angkat berat atau powerlifting, pemuda berusia 18 tahun itu memilih untuk mengimbangi pengajian dan latihan dengan bekerja sambilan di sebuah gimnasium Anytime Fitness.
Pendapatan daripada pekerjaan itu digunakan untuk membantu menampung kos latihan dan penyertaannya dalam pertandingan.
Powerlifting ialah sukan yang menguji kekuatan peserta bagi tiga jenis senaman – mencangkung (squat), juak baring (bench press) dan angkat biasa (deadlift).
“Walaupun ibu sentiasa menawarkan untuk menampung perbelanjaan sukan itu, saya sering menolaknya,” kata Encik Hazrul ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Usaha dan pengorbanan itu membuahkan hasil apabila beliau berjaya mengangkat 273 kg dalam acara deadlift sekali gus memecahkan rekod dunia kategori Sub-Junior Classic kelas 66 kg di Pertandingan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IPF) World Sub-Junior & Junior Powerlifting Championships 2026 di Sun City, Afrika Selatan pada 21 Ogos.
Difahamkan rekod dunia untuk kategori tersebut sebelum ini adalah 271 kg.
Pelajar tahun kedua jurusan Teknologi Seni Bina dan Perkhidmatan Bangunan di Politeknik Temasek itu menamatkan saingan di tempat kedua keseluruhan dalam kategorinya dengan jumlah angkatan 613 kg – hanya tujuh kg di belakang juara dunia – merangkumi 220 kg bagi squat, 120 kg bagi bench press dan 273 kg bagi deadlift.
Encik Hazrul merupakan antara enam atlet muda Singapura berusia antara 18 dengan 23 tahun yang menyertai kejohanan tersebut, dengan seorang lagi atlet negara meraih pingat gangsa dalam kategori bawah 53 kg.
Namun, Encik Hazrul berkata kejayaannya di pentas dunia hanya hadir selepas beliau mengharungi beberapa detik mencemaskan dalam penampilan sulungnya di kejohanan tersebut.
Menurutnya, satu daripada percubaan squat beliau dibatalkan pengadil kerana tidak mencangkung cukup rendah.
“Saya juga mengalami kekejangan teruk di betis dan lengan ketika melakukan pemanasan badan. Selepas percubaan pembukaan deadlift seberat 260 kg pula, saya muntah,” katanya.
Namun, keadaan itu tidak menghalangnya daripada kembali ke pentas dan melakukan angkatan 273 kg pada percubaan terakhirnya untuk memecahkan rekod dunia.
Dalam satu video yang dimuat naik di Instagram miliknya, Encik Hazrul kelihatan tidak percaya sejurus berjaya menyempurnakan angkatan tersebut.
Dilanda rasa terharu, beliau kemudian membaringkan diri di lantai, sebelum dibantu jurulatihnya untuk bangun semula.
Baginya, detik itu merupakan kemuncak kepada usaha selama berbulan-bulan, bukan sahaja melalui latihan di gimnasium, bahkan pekerjaan sambilan yang dilakukannya untuk membiayai perjalanan sebagai atlet.
“Usaha ini bukan sahaja melibatkan latihan di gimnasium, tetapi saya juga bekerja untuk mendapatkan wang yang mencukupi bagi mengejar impian ini,” luahnya.
Menurut Encik Hazrul, perjalanannya dalam sukan powerlifting bermula daripada satu detik kekecewaan.
Selepas tidak terpilih menyertai pasukan bola sepak sekolah menengahnya pada 2022, beliau mula berjinak-jinak dengan latihan di gimnasium bersama seorang rakan.
“Saya mula ke gim selepas tidak terpilih masuk pasukan bola sepak.
“Kemudian seorang senior nampak saya mengangkat besi dan memperkenalkan saya kepada jurulatih saya,” kongsinya.
Pada 2024, Encik Hazrul mula menyertai pertandingan powerlifting dan muncul juara dalam pertandingan pertamanya di peringkat tempatan.
Pada tahun yang sama, beliau menduduki tempat kedua dalam Kejohanan Nasional Singapura sebelum mewakili negara di kejohanan peringkat Asia.
Di sana, beliau menduduki tempat keenam keseluruhan dan meraih pingat emas bagi acara deadlift.
Dalam Kejohanan Nasional 2025 pula, Encik Hazrul sekali lagi menduduki tempat kedua, kali ini tewas kepada seorang atlet yang pernah dilatihnya sendiri.
“Walaupun saya berasa bangga melihat anak didik saya berjaya, kekalahan itu pada masa yang sama menyuntik semangat untuk saya terus berlatih dan menjadi lebih kuat,” katanya.
Sepanjang perjalanan itu, Encik Hazrul terus membahagikan masanya antara pengajian, latihan dan pekerjaan sambilan di Anytime Fitness, tempat beliau bertugas sebagai kakitangan gimnasium dan juruaudit.
Di sebalik usahanya untuk berdikari, Encik Hazrul mengakui keluarganya tetap menjadi tonggak penting dalam perjalanan sukannya.
Beliau menyifatkan ibunya, Cik Sri Zuraida, 51 tahun, seorang penyelia di pasar raya FairPrice Extra, sebagai penyokong utamanya.
“Sepanjang penglibatan saya dalam sukan itu, ibu sentiasa menjadi tempat saya luahkan masalah, selain hadir memberikan sokongan di pertandingan dan sering bersama saya melalui saat-saat suka dan duka,” kata Encik Hazrul.
Abangnya pula, kata Encik Hazrul, menjadi figura bapa yang banyak mendorongnya untuk menjadi seorang anak muda yang lebih berdikari.
Menurutnya, sokongan keluarga itu menjadi antara sumber kekuatannya ketika beliau memilih untuk menanggung sendiri sebahagian kos mengejar impiannya.
Selepas mencipta rekod dunia di pentas antarabangsa, Encik Hazrul kini berhasrat untuk bergelar juara nasional bagi kategori Junior Bawah 74 kg di Singapura.
Untuk mencapainya, Encik Hazrul berkata beliau akan terus melakukan apa yang membawanya sejauh ini – mengimbangi pengajian, pekerjaan dan latihan – sambil berusaha mengangkat dirinya ke tahap lebih tinggi dalam sukan powerlifting.
