Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Pekerja bukan sekadar modal’: Puan Halimah kritik kenyataan CEO StanChart
‘Pekerja bukan sekadar modal’: Puan Halimah kritik kenyataan CEO StanChart
‘Pekerja bukan sekadar modal’: Puan Halimah kritik kenyataan CEO StanChart
Mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob meluahkan kekecewaan terhadap kenyataan yang dibuat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Standard Chartered (StanChart) berhubung rancangan pemberhentian kira-kira 7,800 pekerja menjelang tahun 2030 akibat penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Dalam hantaran terbaharunya di Facebook pada 19 Mei, Puan Halimah berkata apa yang lebih membimbangkan bukan sekadar pengurangan tenaga kerja itu, tetapi cara pekerja disifatkan sebagai ‘modal insan bernilai rendah’.
Merujuk kepada kenyataan tersebut, Puan Halimah berkata:
“Pekerja ialah manusia yang mempunyai keluarga, bukan sekadar satu bentuk modal. Mereka juga telah menyumbang kepada bank dan kini tidak lagi diperlukan akibat AI. Menggambarkan mereka sebagai ‘modal insan bernilai rendah’ seakan satu penghinaan.
“Selepas diberhentikan, mereka perlu mencari pekerjaan lain dan gambaran negatif sebegini tidak membantu. Bayangkan semangat mereka yang masih kekal bekerja apabila mendapat tahu bahawa mereka hanyalah satu lagi bentuk modal kepada majikan mereka, yang tidak benar-benar mengambil berat tentang perasaan mereka.”
Beliau juga menegaskan bahawa pelaksanaan pemberhentian kerja harus dibuat secara berperikemanusiaan.
“Layan pekerja dengan penuh hormat,” tulisnya.
StanChart merupakan bank yang memberi tumpuan kepada Asia.
Ia menggajikan sekitar 52,000 pekerja dalam peranan sokongan pada akhir tahun 2025, dengan operasinya merangkumi Singapura, Hong Kong, China, India dan Poland.
Sebelum ini, CEO StanChart, Encik Bill Winters dalam satu taklimat di Hong Kong pada 19 Mei menjelaskan langkah itu bukan bertujuan mengurangkan kos operasi, sebaliknya sebahagian daripada transformasi penggunaan AI dalam syarikat.
“Kami bukan menyaksikan kehilangan pekerjaan, namun terdapat pengurangan peranan kerja yang memihak kepada penggunaan mesin, dan perkara itu akan semakin dipercepatkan seiring kami bergerak ke hadapan dalam era AI,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa dalam sesetengah keadaan, syarikat itu menggantikan “modal insan bernilai rendah” dengan modal kewangan serta pelaburan yang disalurkan, kenyataan yang kemudiannya mengundang kritikan termasuk daripada Puan Halimah.
