Berita Netizen
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar keliru bila kelas Ustazah Shameem ditutup; Masjid Al-Falah perjelas isu, mohon maaf

Jan 7, 2026 | 8:51 AM
Ustazah Shameem Sultanah, Masjid Al-Falah
Kelas agama dalam bahasa Inggeris yang dikendalikan Ustazah Shameem Sultanah di Masjid Al-Falah dibatalkan tanpa notis awal. - Foto TANGKAP LAYAR FACEBOOK/USTAZAH SHAMEEM SULTANAH

Pembatalan secara mengejut kelas agama bulanan yang dikendalikan oleh pendakwah tempatan terkenal, Ustazah Shameem Sultanah, di Masjid Al-Falah telah menimbulkan kekeliruan serta kekecewaan dalam kalangan pelajarnya.

Ustazah Shameem mendedahkan bahawa keputusan tersebut dimaklumkan kepadanya tanpa sebarang notis awal, menyebabkan beliau tidak berpeluang untuk menutup sesi pengajian dengan sewajarnya atau memaklumkan perkara itu kepada para pelajar.

Pihak Masjid Al-Falah kemudiannya tampil memohon maaf serta menjelaskan bahawa keputusan tersebut merupakan sebahagian daripada semakan tahunan bagi membolehkan penggiliran dalam kalangan para tenaga pengajar.

Pada 5 Januari, Ustazah Shameem berkongsi menerusi satu hantaran di media sosial dirinya tidak dimaklumkan lebih awal sebelum keputusan itu dibuat oleh pihak masjid, dan bimbang pembatalan secara mengejut tersebut akan mengelirukan pelajar kelas berkenaan.

“Selepas kelas saya pada Ahad lalu, saya dimaklumkan oleh kakitangan masjid bahawa kelas bulanan wanita di Al-Falah tidak akan diteruskan pada tahun hadapan (2026).

“Saya benar-benar terkejut kerana tidak dimaklumkan lebih awal, dan oleh itu tidak berpeluang untuk menutup sesi-sesi tersebut dengan sewajarnya atau memaklumkan kepada semua semasa kelas terakhir,” ujar Ustazah Shameem, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pusat pendidikan Islam Ilm By Shameem Sultanah.

Beliau turut menambah kelas di Masjid Al-Falah merupakan satu-satunya kelas agama dalam bahasa Inggeris kendaliannya secara percuma. Menurut laman syarikatnya, Ustazah Shameem berlatar belakang pendidikan sekular hingga GCE ‘O’ dan beliau merupakan lulusan Universiti Al-Azhar.

Katanya, ramai pelajarnya juga telah membeli buku berkaitan pengajian kelas itu dan menantikan kelas tersebut diteruskan pada 2026.

Menurut beliau, pihak masjid memaklumkan mereka ingin merancang program-program lain dan hanya akan melibatkannya untuk acara-acara yang lebih besar pada masa hadapan.

“Saya menghormati keputusan pihak masjid dan telah memohon agar satu pengumuman dibuat bagi memaklumkan kepada jemaah,” katanya sambil menambah terdapat satu kelas lain telah dijadualkan pada hari dan masa yang sama untuk menggantikan kelas kendaliannya.

Susulan hantaran tersebut, Masjid Al-Falah, yang terletak di kawasan Orchard Road, telah mengeluarkan satu kenyataan memohon maaf kepada Ustazah Shameem, pelajar serta masyarakat umum atas kelemahan komunikasi dan proses pentadbiran yang telah menyebabkan kesulitan dan tekanan kepada semua pihak terlibat.

Dalam hantaran Masjid Al-Falah di media sosial, pihak masjid turut merakamkan penghargaan kepada Ustazah Shameem atas dedikasi beliau serta ruang pembelajaran bermakna yang telah dibina untuk ramai Muslimah di Masjid Al-Falah.

“Sumbangan beliau amat dihargai dan telah memberi kesan positif kepada masyarakat.

“Sebagai sebahagian daripada semakan program tahunan kami, para asatizah akan digilirkan dari semasa ke semasa bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapat manfaat daripada kepelbagaian topik serta pendekatan pengajaran.

“Sehubungan itu, kelas wanita yang dikendalikan oleh Ustazah Shameem tidak akan diteruskan pada 2026.

“Kami mengakui peralihan ini tidak disampaikan dengan keprihatinan dan kepekaan yang sewajarnya,” menurut kenyataan tersebut.

Ustazah Shameem turut meluahkan penghargaan kepada para pelajar yang setia menghadiri kelas setiap bulan.

“Memandangkan saya tidak berpeluang untuk menutup kelas ini dengan sempurna, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada setiap Muslimah yang hadir dengan penuh keikhlasan dan kecintaan terhadap ilmu.

“Saya amat menghargai setiap Ahad yang diluangkan bersama anda semua, dan saya benar-benar bersyukur kepada Allah kerana mengizinkan saya bertemu dengan begitu banyak jiwa yang indah melalui kelas ini,” katanya.

Ustazah Shameem juga berkata dirinya terbuka untuk menyambung kelas berkenaan sekiranya terdapat lokasi lain yang mampu menampung antara 300 dengan 500 anggota jemaah wanita.

“Kita juga boleh meneroka wadah lain seperti dalam talian, sekiranya ia lebih bermanfaat kepada lebih ramai kaum wanita,” tambah beliau.

Salah seorang pelajar yang menghadiri sesi bulanan itu, Cik Minarny Subianto, 35 tahun, seakan tidak percaya bila mendapat tahu kelas itu tidak disambung lagi, dan telah menghubungi Masjid Al-Falah untuk pengesahan.

“Mereka membalas mesej saya di Instagram dan mengesahkan kelas tidak akan dikendalikan lagi oleh Ustazah Shameem. Ia sangat menyedihkan.

“Saya sudah menghadiri sesi ini sejak 2024, dan di kelas ini, kami bukan saja meraih ilmu agama daripada perkongsian Ustazah Shameem, tetapi beliau juga menyentuh isu lain yang dekat dengan kami. Kami juga membina persahabatan dengan wanita Muslimah dari pelbagai latar belakang,” kata Cik Minarni ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Namun demikian, Cik Minarny meninggalkan komen mengucapkan terima kasih kepada Masjid Al-Falah atas penganjuran kelas Ustazah Shameem sepanjang dua tahun dan menantikan peluang sekiranya beliau akan mengendalikan kelas lain pada masa hadapan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg