Bagi Cik Mariam, yang enggan memberikan nama sebenar, keputusan untuk berpindah ke rumah yang lebih kecil pada mulanya hanyalah satu langkah praktikal selepas anak-anaknya dewasa, berkahwin, dan berpindah keluar.

Namun, meninggalkan rumah yang didiaminya selama 23 tahun turut bermakna berpisah dengan Cik Sue (bukan nama sebenar), jiran sebelah rumah yang sudah dianggap seperti saudara sendiri.

“Selama 23 tahun, kami menjadi seperti keluarga. Kami sentiasa ada untuk satu sama lain.

“Ini termasuk berkongsi makanan, meminjamkan barang, membantu apabila diperlukan atau sekadar menjadi tempat untuk mendengar dan memberi sokongan,” kata Cik Mariam kepada Berita Harian (BH).

Pada hari terakhir Cik Mariam di rumah tersebut, kedua-dua wanita itu tidak dapat menahan sebak lalu berpelukan dan menangis ketika mengucapkan selamat tinggal.

Detik penuh emosi itu dirakam oleh ejen hartanah Cik Mariam, Cik Gina Khazali, yang kemudian dimuat naik ke akaun TikTok miliknya.

Ketika dihubungi BH, Cik Gina berkata beliau sudah biasa melihat pelanggan berasa sebak ketika meninggalkan rumah yang sarat dengan kenangan, namun perpisahan kali ini terasa berbeza.

Menurut Cik Gina, Pengarah Divisyen Kanan Bersekutu di agensi hartanah Huttons, apa yang paling menyentuh hatinya ialah melihat kedua-dua jiran berpelukan sambil menangis.

“Ketika itu, saya sedar bahawa Cik Mariam bukan sekadar menutup pintu rumah yang didiaminya selama 23 tahun.

“Beliau juga sedang meninggalkan seseorang yang sentiasa berada di sebelah rumahnya sepanjang melalui pelbagai fasa kehidupan keluarganya,” kata Cik Gina, 41 tahun.

Bagi Cik Mariam pula, hubungan yang terjalin dengan Cik Sue sepanjang lebih dua dekad itu jauh melangkaui sekadar bertegur sapa apabila terserempak.

Cik Mariam (lima dari kiri) menganggap Cik Sue (enam dari kiri) seperti saudara sendiri selepas hubungan mereka semakin erat sepanjang 23 tahun hidup berjiran.
Cik Mariam (lima dari kiri) menganggap Cik Sue (enam dari kiri) seperti saudara sendiri selepas hubungan mereka semakin erat sepanjang 23 tahun hidup berjiran. - Foto GINA KHAZALI

Katanya, kedudukan rumah yang bersebelahan membuatkan kedua-dua keluarga kerap bertemu dan secara perlahan-lahan menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian masing-masing.

“Kami menjadi seperti adik-beradik. Apabila mempunyai seseorang di sebelah rumah yang boleh dipercayai dan diharapkan, mereka menjadi lebih daripada sekadar jiran,” ujar Cik Mariam.

Menurut Cik Mariam, hubungan itu juga berkembang seiring perjalanan hidup kedua-dua keluarga.

Beliau berkata Cik Sue menyaksikan anak-anaknya membesar, berkahwin, dan akhirnya mempunyai anak sendiri.

Tambahnya, Cik Sue juga membantu menjaga anak-anaknya ketika mereka masih kecil apabila beliau tiada di rumah.

Menurut Cik Mariam lagi, kedua-duanya, yang kini dalam lingkungan usia 50-an, turut saling membantu dalam perkara kecil yang menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan berjiran.

“Semua itu mungkin kedengaran seperti perkara kecil, tetapi selepas 23 tahun, perkara kecil itulah yang menjadi kenangan sangat bermakna,” terang ibu kepada tiga orang anak itu.

Hubungan mereka semakin erat, menurut Cik Mariam, apabila kedua-duanya menyedari bahawa mereka boleh memahami cabaran masing-masing, khususnya dalam membesarkan anak.

Beliau berkata ketika anak-anak mereka meningkat remaja, kedua-duanya sering berkongsi cerita, mendengar masalah masing-masing, dan saling memberi sokongan.

Keakraban antara keluarga Melayu dan Cina itu turut terserlah menerusi tradisi kecil yang diamalkan setiap kali musim perayaan.

“Setiap Hari Raya, saya akan berkongsi lauk dengan Cik Sue, termasuk rempeyek dan ayam kurma yang menjadi kegemarannya.

“Sebaliknya, setiap kali Tahun Baru Cina, Cik Sue akan memberikan kami buah limau dan barangan perayaan, selain ang pau untuk anak-anak saya,” kongsi Cik Mariam.

Kini, selepas lebih dua dekad tinggal berjiran, Cik Mariam berkata beliau telah berpindah daripada flat HDB empat bilik ke flat tiga bilik di kawasan lain di bahagian barat Singapura.

“Secara praktikal, berpindah ke rumah yang lebih kecil memang masuk akal. Tetapi selepas tinggal di sini selama 23 tahun, meninggalkannya jauh lebih sukar daripada yang saya jangkakan,” akui beliau.

Selain rumah itu sendiri, Cik Mariam berkata beliau akan merindui kejiranan tersebut dan kemudahan yang terletak berdekatan, namun yang paling sukar tinggalkan ialah hubungan yang dibina dengan orang-orang di sekelilingnya.

Sebelum berpindah, Cik Mariam turut mengunjungi jiran lain di tingkat yang sama untuk mengucapkan selamat tinggal dan memberikan mereka kek yang ditempah khas sebagai tanda penghargaan.

Namun, beliau berkata perpisahannya dengan Cik Sue membawa makna tersendiri selepas 23 tahun berkongsi bukan sahaja koridor yang sama, malah pelbagai fasa kehidupan keluarga masing-masing.

“Kami berdua tahu walaupun persahabatan ini akan terus kekal, satu bab dalam kehidupan kami sebagai jiran sebelah-menyebelah selama 23 tahun sudah berakhir,” kata Cik Mariam.