Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemain cilik juarai acara bola sepak 1-lawan-1; berpeluang asah bakat di Sepanyol
Pemain cilik juarai acara bola sepak 1-lawan-1; berpeluang asah bakat di Sepanyol
Murid Sekolah Rendah Tampines North bangkit daripada kecewa 2025, kini dinobat juara kategori Bawah 12 Tahun
Pemain cilik juarai acara bola sepak 1-lawan-1; berpeluang asah bakat di Sepanyol
Pada 2025, Ariq Azrael Muhammad Syarifee, terpaksa menelan pahit kekecewaan setelah tewas dengan lawannya dalam kejohanan bola sepak satu lawan satu di acara, Ultimate Showdown Football Tournament.
Enggan menyerah kalah, pemain cilik berusia 12 tahun itu kembali bertanding pada 31 Mei 2026, dan berjaya “membalas dendam” – menewaskan lawan yang sama, Harrison Hughes, dalam kategori Bawah 12 Tahun (U12).
Ariq memenangi pertarungan akhir itu selepas persaingan sengit di Pusat Sukan Kovan, yang berlanjutan ke masa tambahan.
Digelar juara, Ariq dijadual ke Sepanyol pada penghujung 2026 untuk mengasah bakat dan berlatih dengan pemain profesional di sana.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), pemain berusia 12 tahun itu berkata dia tidak membiarkan kekecewaan pada 2025 mematahkan semangat untuk bangkit sebagai juara.
Malah, ia menjadi pembakar semangat untuk memberikan yang terbaik.
“Saya rasa bangga dan gembira untuk muncul juara kali ini,” katanya yang kini menuntut di Sekolah Rendah Tampines North.
Ariq akui ia agak sukar untuk mengimbangi masa antara pelajaran dengan latihan bola sepak hampir setiap hari.
“Sokongan pihak sekolah dan keluarga menjadi motivasi utama untuk mengekalkan prestasi yang baik untuk kesemua aktiviti yang saya ceburi,” katanya yang sudah berkecimpung dalam sukan tersebut sejak Darjah 3.
Acara tersebut dianjurkan oleh Technical Football Training (TFT) yang memberi peluang kepada pemain muda menguji bakat menerusi format satu lawan satu secara ‘knock-out’, dengan setiap perlawanan berlangsung selama tiga minit.
“Kami menyediakan ruang yang membolehkan pemain muda menguji kemampuan diri, membina keyakinan diri serta mempamerkan bakat mereka melalui pertandingan seperti ini,” kata pengasas kelab tersebut, Mohammad Azri Majilan.
Edisi 2026 mengetengahkan empat kategori iaitu Bawah 8 Tahun (U8); Bawah 10 Tahun (U10); Bawah 12 Tahun (U12); dan Bawah 14 Tahun (U14).
Kategori U14 pula dibuka khusus kepada pemain perempuan.
Ini merupakan tahun kedua TFT menganjurkan kejohanan tersebut.
Pada 2025, juara bagi setiap kategori berpeluang mengikuti program pembangunan pemain di Portugal.
Pada 2026 pula, juara dijadual berangkat ke Sepanyol pada penghujung tahun.
“Sepanyol dikenali dengan budaya bola sepak yang kukuh serta sistem pembangunan pemain bertaraf dunia.
“Para atlet muda akan menjalani latihan intensif dan menyertai pertandingan musim sejuk di sana,” kata pemain bola sepak gaya bebas yang berusia 41 tahun itu.
Turut mencuri perhatian ialah Alma Iffah Rizqah Ahmad Farid, yang berjaya meraih tempat ketiga dalam kategori U14.
Ini merupakan kali kedua murid Sekolah Rendah Riverside itu menyertai kejohanan tersebut.
Meskipun tidak berpeluang mengikut serta ke Sepanyol, Alma, 12 tahun, berkata kejohanan seperti itu bukan sahaja memberi pendedahan kompetitif, malah membuka peluang untuk bertemu pemain baharu dan menimba pengalaman dalam sukan bola sepak.
Pemain muda itu kini mewakili sekolah serta beberapa kelab bola sepak dan menjalani latihan hampir setiap hari sebagai persediaan menghadapi pertandingan.
“Saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada kategori U14 yang diadakan buat kali pertama. Ia memberi peluang kepada pemain perempuan untuk menunjukkan kemampuan mereka,” katanya.
Alma mula berjinak-jinak dalam sukan bola sepak sejak kecil apabila sering melihat abang-abangnya bermain, sebelum mula bermain secara aktif kira-kira dua tahun lalu.
Walaupun berpuas hati dengan pencapaiannya, pemain kelab Lion City Sailors itu berazam untuk kembali bertanding pada 2027 dengan sasaran yang lebih tinggi.
Selain itu, beliau turut menantikan peluang menyertai pertandingan di Sweden menerusi program pembangunan bola sepak bersama kelabnya.
Difahamkan, empat juara dijangka ke Sepanyol pada Disember.
