Canada akan membuka kempen Piala Dunia 2026 di hadapan penyokong sendiri apabila berdepan Bosnia dan Herzegovina pada 13 Jun (3 pagi waktu Singapura) di Stadium BMO, Toronto.

Sebagai antara tuan rumah bersama kejohanan, harapan seluruh negara kini terletak di bahu skuad kendalian Jesse Marsch untuk mencipta sejarah baharu.

Berbeza dengan kebanyakan pasukan yang perlu menyesuaikan diri dengan suasana kejohanan, Canada memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.

Selepas sekian lama dianggap pasukan pelengkap di pentas dunia, generasi baharu Canada kini hadir dengan keyakinan bahawa mereka mampu melangkah lebih jauh daripada sekadar menjadi tuan rumah yang meraikan kehadiran pasukan lain.

Namun, Bosnia dan Herzegovina juga bukan lawan yang akan hadir ke Toronto sekadar untuk melengkapkan jadual pertandingan.

Bagi Bosnia, ini merupakan kemunculan kedua mereka di Piala Dunia selepas penampilan sulung mereka pada 2014.

Mereka menempah tiket ke Piala Dunia menerusi laluan perlawanan penentuan (play-off) Eropah dan hadir dengan reputasi sebagai pasukan yang sukar dijangka.

Canada pula hadir ke kejohanan ini dengan identiti yang jauh berbeza berbanding pasukan yang beraksi di Piala Dunia 2022.

Di bawah Marsch, mereka lebih agresif ketika melakukan tekanan tinggi dan pantas melancarkan serangan sebaik menguasai bola.

Corak permainan bertenaga itu menjadikan Canada antara pasukan yang paling menarik untuk disaksikan dalam kalangan negara Gabungan Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (Concacaf).

Penyerang berbisa Canada, Jonathan David (kiri), bakal memikul tanggungjawab besar di hadapan gawang bagi merobek gawang Bosnia dalam aksi pembukaan Kumpulan di Stadium BMO.
Penyerang berbisa Canada, Jonathan David (kiri), bakal memikul tanggungjawab besar di hadapan gawang bagi merobek gawang Bosnia dalam aksi pembukaan Kumpulan di Stadium BMO. - Foto AFP

Tumpuan pastinya terarah kepada Jonathan David.

Penyerang yang sekian lama menjadi sandaran Canada itu dijangka memikul tanggungjawab besar di hadapan gawang.

Ketajaman menjaringkan gol dan kebolehannya mencari ruang dalam kawasan penalti menjadikannya ancaman utama kepada benteng Bosnia.

Bagaimanapun, Canada mungkin terpaksa memulakan kempen tanpa kapten mereka, Alphonso Davies, yang dilaporkan masih sedang dalam proses pemulihan daripada kecederaan hamstring.

Ketiadaan pemain Bayern Munich itu boleh mengurangkan ancaman dari bahagian sayap serta kepantasan serangan balas mereka.

Bosnia pula hadir dengan pendekatan yang berbeza.

Jika Canada banyak bergantung kepada tempo tinggi dan sokongan penyokong tuan rumah, Bosnia lebih selesa bermain secara tersusun dan pragmatik.

Mereka sering menunjukkan disiplin bertahan yang tinggi sebelum menghukum lawan melalui serangan balas atau situasi bola mati.

Pengalaman para pemain mereka yang beraksi di liga utama Eropah turut memberi dimensi berbeza kepada pasukan Balkan itu.

Penyerang veteran dan kapten Bosnia, Edin Dzeko (kanan), menjadi sandaran utama pasukan untuk mencuri jaringan dan kejutan dari Canada.
Penyerang veteran dan kapten Bosnia, Edin Dzeko (kanan), menjadi sandaran utama pasukan untuk mencuri jaringan dan kejutan dari Canada. - Foto REUTERS

Dijangka akan berdepan dengan peluang yang terhad, Bosnia pastinya akan lebih bergantung kepada ketajaman penyerang veteran, Edin Dzeko.

Pemain berusia 40 tahun itu memainkan peranan penting bukan sekadar untuk memimpin pasukan, malah beliau bertekad untuk menambah koleksi rekod 73 gol yang telah dijaringnya buat negara.

Di atas kertas, Canada mungkin memiliki kelebihan kerana bermain di laman sendiri, namun Bosnia mempunyai reputasi sebagai pasukan yang mampu mengubah perancangan pasukan lawan yang lebih mendapat perhatian.

Malah, beberapa pemerhati melihat Bosnia mampu mencuri mata sekiranya Canada gagal mengawal emosi dan tekanan sebagai tuan rumah.

Namun, kelebihan menjadi tuan rumah dan mempunyai skuad yang lebih bermutu bakal membawa pasukan Canada ke kemenangan.

Ramalan wartawan: Canada 2-0 Bosnia