Topik diikuti
Pergi ke BHkuPembentangan 30 slaid jadi cara 15 ahli keluarga pilih destinasi percutian
Pembentangan 30 slaid jadi cara 15 ahli keluarga pilih destinasi percutian
Pembentangan 30 slaid jadi cara 15 ahli keluarga pilih destinasi percutian
Bagi keluarga Cik Nurhayatulnufus Suhaily, memilih destinasi percutian bukan semudah bertanya, “Kita nak pergi mana?”
Ini kerana percutian hujung tahun mereka melibatkan seramai 15 ahli keluarga – 10 orang dewasa dan lima kanak-kanak.
Dengan jumlah yang ramai serta pelbagai cita rasa dan keperluan, memilih destinasi yang sesuai memerlukan perancangan yang lebih teliti.
Oleh itu, setiap pasangan suami isteri dalam keluarganya, termasuk Cik Nurhayatulnufus dan suami, Encik Hafiz Nurhadi Sadali, menyediakan pembentangan Canva yang mengandungi kira-kira 30 slaid bagi membentangkan cadangan negara pilihan masing-masing sebagai destinasi percutian keluarga.
Setiap pembentangan merangkumi anggaran bajet, butiran penerbangan dan penginapan, cadangan jadual perjalanan, serta tempat makan, lokasi membeli-belah dan tarikan mesra keluarga.
Sesi yang disifatkan sebagai ‘mesyuarat keluarga’ itu berlangsung di rumah iparnya dan kemudiannya diikuti dengan proses mengundi bagi menentukan destinasi pilihan bersama.
Pendekatan yang luar biasa dalam merancang percutian keluarga itu telah mencuri perhatian di TikTok apabila Cik Nurhayatulnufus, 25 tahun, memuat naik video pembentangan tersebut di akaunnya.
Kini, video tersebut meraih lebih 170,500 ribu tontonan dengan pelbagai reaksi positif daripada kalangan netizen.
Antaranya ialah pengguna nama ‘kierababyfinds’ yang juga mengamalkan pendekatan sama setiap kali merancang percutian keluarga.
“Perkara ini memang sangat dekat dengan pengalaman saya. Ayah saya memang mewajibkan setiap cadangan percutian keluarga disediakan dalam bentuk ‘proposal’ (cadangan) yang lengkap dengan bajet, jadual perjalanan dan semua perbelanjaan.
“Kalau beliau tidak bersetuju dengan bajet, beliau akan minta kami semak dan sediakan semula cadangan itu,” katanya.
Malah, ada juga yang ingin mengambil inspirasi untuk melakukan perkara yang sama.
Pengguna nama ‘ifwat490’ berkata:
“Anak saya baru berusia enam dan empat tahun. Mungkin 10 tahun lagi saya akan pastikan isteri dan anak-anak membuat pembentangan. Sebagai penaja projek, saya pula akan memilih cadangan terbaik.”
Beberapa pengguna juga berkata kaedah itu mampu mengurangkan beban merancang percutian yang selalunya dipikul oleh seorang individu sahaja.
Pengguna ‘aIn.zfrn’ menulis:
“Seronoknya. Selama ini saya seorang saja yang merancang semua perkara sampai rasa terbeban. Kalau buat ramai-ramai macam ini, tentu lebih ringan.”
Walaupun slaid pembentangan itu menghiburkan ramai netizen, Cik Nurhayatulnufus, seorang jururawat kesihatan sekolah bebas dan artis inai, menjelaskan bahawa idea itu bukanlah bertujuan untuk bersaing.
“Idea ini bermula apabila kami hendak merancang percutian keluarga, tapi tak dapat membuat keputusan tentang destinasi yang sesuai untuk pergi bercuti selama lapan hari pada Oktober.
“Kakak ipar saya kemudian mencadangkan supaya setiap pasangan membentangkan satu negara lengkap dengan bajet, jadual perjalanan dan sebab mengapa kami patut ke sana,” terangnya.
Menurut beliau, kakak iparnya hanya mahu menjadikan proses itu lebih menyeronokkan.
Antara destinasi yang dicadangkan ialah Jepun, China, Korea Selatan, serta Thailand.
Pada mulanya, keluarga itu menetapkan had harga tiket penerbangan sekitar bawah $1,000 seorang.
“Namun, selepas semua membentangkan idea masing-masing, memang sudah terlebih bajet.
“Kami akhirnya kata, ‘Tak mengapa. Ini sahaja percutian keluarga kami untuk tahun ini,’” katanya.
Pada asalnya, bapa mentuanya diberikan tanggungjawab untuk membuat keputusan akhir.
Namun, beliau sukar memilih kerana menyukai setiap cadangan yang dibentangkan.
Akhirnya, seluruh ahli keluarga membuat undian, dengan Korea Selatan dipilih sebagai destinasi percutian mereka pada Oktober ini.
Cik Nurhayatulnufus berkata, walaupun destinasi telah diputuskan, semua ahli keluarga masih berganding bahu menyusun jadual perjalanan bersama.
Mereka merancang untuk menghabiskan lapan hari di Korea Selatan, dengan tumpuan di sekitar kota Seoul dan kawasan Myeongdong, selain menyediakan beberapa hari yang lebih fleksibel supaya setiap keluarga boleh meneroka kota tersebut mengikut minat masing-masing.
Bagi Cik Nurhayatulnufus, percutian itu juga cukup bermakna kerana ia merupakan kali pertama beliau melancong bersama keluarga mentuanya sejak mendirikan rumah tangga pada 2025.
