KUALA LUMPUR: Cik Rosmah Mansor, isteri mantan perdana menteri Malaysia, Encik Najib Razak, telah menyaman pelawak Harith Iskander berhubung persembahan komedi di hadapan penonton yang mendakwa menyamakan beliau dengan hantu seperti pontianak dan pocong.

Menurut laporan akhbar New Straits Times, kenyataan Cik Rosmah mendakwa bahawa semasa lawatan komedi Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour di Melaka pada 17 Januari, pelawak itu memaparkan gambar toyol, pontianak, dan pocong, sebelum menunjukkan gambar Cik Rosmah.

Cik Rosmah mendakwa Harith mula berjenaka mengenai watak mitologi Malaysia yang paling seram, sebelum menunjukkan gambarnya, memberi paparan bahawa beliau lebih menakutkan daripada makhluk mitos dan mendedahkan beliau kepada penghinaan awam.

Tambah Cik Rosmah, komen tersebut menyamai perbuatan menghina badan fizikal dan dibuat secara berniat jahat untuk merosakkan reputasinya.

Beliau mendakwa lagi bahawa rutin itu juga memberi gambaran bahawa beliau seorang yang menakutkan, jahat, tidak berperikemanusiaan, tidak layak dihormati, serta layak diejek dan ditakuti oleh orang ramai.

Menurut saman itu, klip persembahan tersebut kemudiannya menjadi tular di TikTok, dengan satu daripadanya meraih lebih 218,700 tontonan, menyebabkan kerosakan lanjut kepada reputasinya.

Cik Rosmah kini menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, satu perintah injunksi, pemadaman kandungan berkenaan, serta permohonan maaf tanpa syarat.

Sementara itu, Harith menafikan dakwaan tersebut.

Beliau berhujah bahawa saman berkenaan dibuat berdasarkan klip TikTok yang telah disunting dan tidak lengkap, bukannya keseluruhan persembahan komedi yang berlangsung selama 90 minit.

Menurut kenyataan pembelaannya pada 9 Julai, Harith berkata kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu perlu dilihat dalam konteks keseluruhan persembahan, yang merangkumi interaksi dengan penonton, cara penyampaian, pemasaan jenaka, penafian dan peraturan persembahan, dan bukannya berdasarkan petikan terasing yang dimuat naik oleh pihak ketiga.

Harith menafikan merakam, memuat naik, atau membenarkan video TikTok yang disampaikan kepada Cik Rosmah.

Tambahnya, beliau tidak mempunyai pengetahuan atau kaitan dengan akaun ‘mayychan0303’, yang memuat naik klip berkenaan.

Harith menegaskan bahawa video tersebut telah disunting, tidak lengkap dan diterbitkan tanpa pengetahuan atau persetujuannya, sekali gus bercanggah dengan arahan jelas beliau yang melarang penonton daripada merakam atau mengedar mana-mana bahagian persembahan itu.

Beliau turut berhujah bahawa rujukan kepada makhluk mitos adalah bersifat rekaan, kiasan dan satira, serta tidak akan difahami oleh orang yang munasabah sebagai kenyataan fakta yang literal mengenai Cik Rosmah.

Harith seterusnya berkata bahawa video yang dimuat naik di TikTok itu merupakan penerbitan berasingan oleh pihak ketiga yang tidak seharusnya menyebabkan beliau dipertanggungjawabkan.

Beliau juga merujuk Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dengan menyatakan bahawa komedi di hadapan penonton dan satira merupakan bentuk ekspresi seni yang dilindungi.