Pempengaruh muda guna TikTok bantu golongan gelandangan
Pempengaruh muda guna TikTok bantu golongan gelandangan
Cik Nur Huda Hazmi mula mengagihkan makanan dan minuman kepada golongan gelandangan di sekitar Our Tampines Hub (OTH) pada awal 2025, selepas terserempak dengan mereka semasa berjalan secara rawak lewat malam.
Kini dalam usaha pengagihan kelimanya, beliau akur isu gelandangan merupakan masalah sosial jangka panjang yang tidak dapat diselesaikan sepenuhnya melalui usaha kecil individu semata-mata.
“Kami cuba untuk lakukan apa yang kami mampu sambil menghormati ruang dan keselamatan pihak yang terlibat,” katanya yang berusia 24 tahun.
Dalam sebuah video TikTok yang tular dan mendokumentasikan pengagihannya pada 30 Januari lalu di OTH, Cik Huda – mesra dikenali sebagai Cik ‘Nai’ dengan nama pengguna @naivanderwaal – turut mendedahkan bahawa beliau bekerjasama rapat dengan beberapa perniagaan dari rumah (HBB).
Sumbangan derma daripada perniagaan berskala kecil ini disalurkan bagi menyokong usaha ini.
Kata Cik Nai, kandungannya di media sosial tertumpu terutamanya pada ulasan makanan serta usaha memberi kembali kepada masyarakat.
Beliau turut aktif menjalankan sesi jualan langsung bagi peniagaan HBB.
Melalui sesi tersebut, beliau adakan sistem di mana penonton boleh membeli makanan tambahan semasa siaran langsung, yang kemudiannya akan disumbangkan kepada golongan gelandangan.
Minuman untuk diberikan kepada gelandangan pula biasanya dibeli secara berasingan kerana kebanyakan HBB tidak menjualnya.
Setiap sesi pengagihan lazimnya melibatkan sekitar 20 set makanan, dengan kebiasaannya dua set diberikan kepada setiap individu.
Cik Nai juga bekerjasama bersama pasukan yang terdiri oleh empat orang yang membantunya menyediakan makanan tersebut.
Beliau berkongsi bahawa beban emosi akibat berbual dan mendengar kisah peribadi mereka boleh menjadi amat berat.
Menurut pempengaruh itu, kebanyakan gelandangan terdiri terutamanya dari warga emas berusia antara 60 tahun dengan 70 tahun ke atas.
“Antara motivasi utama saya datang daripada peluang untuk berbual secara langsung dengan mereka dan memahami situasi mereka.
“Ramai yang tidak mempunyai tempat tinggal, kekurangan sokongan keluarga mahupun tidak lagi mampu bekerja akibat faktor usia atau kesihatan,” tambahnya.
Salah satu detik paling menyentuh perasaan pempengaruh itu melibatkan seorang warga emas yang meminta makanan tambahan dan berkongsi bahawa beliau sedang mencari pekerjaan dan belum lagi sempat mandi.
“Saya sebak mendengar kisahnya dan ia juga membuat saya ingin meneruskan usaha ini,” katanya.
Pada awalnya Cik Nai mengakui berasa takut untuk mendekati golongan gelandangan kerana bimbang tindakannya mungkin disalah tafsir atau membuat mereka berasa dipandang rendah.
Namun, kebanyakan golongan gelandangan menyambut baik sumbangan tersebut, walaupun ada yang menolak makanan.
Dalam keadaan demikian, Cik Nai tetap menawarkan minuman atau meninggalkan makanan secara senyap di sisi mereka yang sedang tidur.
Malah, ada juga yang sudah mula mengenali Cik Nai dan berkongsi tentang perkembangan mereka.
Beliau turut menjawab kritikan awam berhubung tindakan merakam dan memuat naik aktiviti ini di media sosial, dengan menjelaskan bahawa rakaman tersebut dibuat atas dasar ketelusan memandangkan makanan itu merupakan sumbangan penonton melalui infak, serta bertujuan untuk menggalakkan orang lain melakukan kebaikan – bukan demi tontonan atau populariti.
Beliau juga menekankan bahawa terdapat banyak salah tanggapan terhadap golongan gelandangan dan mengingatkan orang ramai agar tidak membuat penilaian tanpa memahami kisah sebenar mereka.
Ketika ini, Cik Nai merancang untuk memperluaskan usaha bantuannya dengan menyediakan pek penjagaan yang mengandungi barangan asas seperti berus gigi, deodoran dan tisu badan serta mengunjungi daerah yang lain.
Sumbangan hanya diterima melalui sokongan terhadap perniagaan dari rumah, memandangkan beliau bukan mewakili badan kebajikan berlesen dan tidak dapat menerima sumbangan wang tunai secara langsung.

