Kempen baju Raya bantu golongan memerlukan sambut Syawal
Kempen baju Raya bantu golongan memerlukan sambut Syawal
Inisiatif ingin membantu tercetus dari pengalaman pahit sukarelawan veteran sendiri
“Jika hendak memberi, jangan ragu-ragu, dan jika ragu-ragu, jangan memberi.”
Itulah kata-kata yang menjadi pegangan hidup Cik Siti Nurani Salim sebagai seorang sukarelawan veteran yang tekal berbakti kepada masyarakat.
Semangat kentalnya untuk membantu berakar daripada pengalaman pahitnya.
Pada 2003, suaminya dibuang kerja, diikuti pula dengan kehilangan pekerjaan Cik Siti sendiri.
Keluarga mereka terpaksa bergelut untuk meneruskan kehidupan, sehinggakan bekalan elektrik di rumah turut dipotong.
Tanpa tempat mengadu, pengalaman getir itu menjadi pemangkin baginya untuk berdiri teguh sebagai tempat orang lain berpaut pada saat mereka memerlukan pula.
Titik ingin membantu mulanya tercetus daripada satu projek gotong-royong pada 2011.
Cik Siti, bersama sekumpulan sukarelawan di Facebook, tampil menghulurkan tangan kepada seorang warga emas yang memerlukan bantuan untuk membersihkan kediamannya.
Mendapat inspirasi daripada impak positif usaha pembersihan itu, Cik Siti lantas menubuhkan Project Goodwill Aid pada tahun yang sama, sebuah pertubuhan bukan untung masyarakat yang berazam membantu golongan yang terhimpit.
Sejak itu, Cik Siti juga aktif menganjurkan pelbagai program kebajikan untuk meringankan beban golongan kurang bernasib baik, termasuk pengagihan bubur semasa pandemik Covid-19 serta kempen tahunan mengumpul baju Raya terpakai.
Melalui kempen ini, baju Raya terpakai dikumpul, diteliti mutunya, dan diagihkan semula kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Dengan Syawal yang kian menjelang dan kos sara hidup yang terus meningkat, Cik Siti berkongsi kepada Berita Harian (BH) bahawa kempen baju Raya ini bertujuan memastikan tiada sesiapa pun terpinggir daripada kemeriahan sambutan perayaan ini.
Mereka yang ingin menyumbang baju Raya boleh berbuat demikian di kolong Blok 125, Ang Mo Kio Avenue 6, S(560125), dari 10 pagi hingga 5 petang pada 7 Februari sahaja.
Baju Raya yang terkumpul akan disusun dan diperiksa oleh pasukan sukarelawan seramai 40 hingga 50 orang yang bekerja keras untuk memastikan setiap sumbangan berada dalam keadaan baik dan bersih.
Cik Siti, 46 tahun, berkongsi bahawa pada kempen sebelum ini, ada penderma yang turut menghantar barangan yang bukan baju Raya, menyebabkan beliau dan para sukarelawan terpaksa menyusun barangan itu sehingga 3 pagi.
Justeru, tahun ini (2026), pemeriksaan mutu akan dilakukan di tempat pengumpulan supaya hanya baju Raya yang diterima untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
“Para sukarelawan kami bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk memeriksa mutu dan menyusun pakaian itu supaya hanya yang benar-benar baik dapat diagihkan, dan prosesnya dapat dilakukan dengan lebih teratur,” kata Cik Siti.
Di sebalik kesibukan sukarela, Cik Siti juga mempunyai tugas sepenuh masa sebagai Pengurus Keahlian di Tower Club Singapore.
Beliau juga merupakan ibu kepada dua cahaya mata yang masing-masing baru berusia tiga dan empat tahun, sewaktu beliau mula menubuhkan Project Goodwill Aid.
“Saya sedar di Singapura banyak bantuan tersedia, tetapi ada yang buntu mencarinya kerana tidak tahu ke mana harus dituju. Jadi kami sebagai sukarelawan di lapangan cuba mendekati mereka.
“Kami mahu membantu orang lain keluar daripada kesusahan,” tambahnya.

