Setiap kali berulang-alik ke Tokyo, Jepun, untuk bertemu isterinya yang menetap di sana, Encik Qamaruddin Yusli sengaja memastikan bagasi yang dibawanya hampir kosong.

Ini bukan kerana beliau mahu jimat ruang, tetapi kerana ruang kosong itulah yang boleh digunakan untuk memuatkan barang eksklusif yang dikirim pelanggannya dari tanah air.

“Saya simpan semua barang peribadi di rumah isteri, jadi setiap kali saya mahu ke sana, saya memang tak perlu bawa apa-apa.

“Oleh itu, kawan-kawan saya selalu minta ‘favour’ (membuat permintaan) untuk belikan barang, dari situ saya sedar sebenarnya ada permintaan lebih besar,” jelasnya.

Daripada permintaan kecil-kecilan oleh rakan dan keluarga, Encik Qamaruddin, 29 tahun, kemudian mengembangkan idea itu menjadi favour.ah, perkhidmatan pembeli peribadi yang membantu warga Singapura mendapatkan barang eksklusif dari Jepun pada Ogos 2025.

Antara barang paling mendapat permintaan ialah ‘randoseru’, sebuah beg sekolah ikonik Jepun yang kini dijadikan aksesori fesyen untuk orang dewasa.

Menurut Encik Qamaruddin, salah satu barang yang mempunyai permintaan tinggi ialah ‘randoseru’, sebuah beg sekolah yang kini dijadikan aksesori fesyen untuk orang dewasa.
Menurut Encik Qamaruddin, salah satu barang yang mempunyai permintaan tinggi ialah ‘randoseru’, sebuah beg sekolah yang kini dijadikan aksesori fesyen untuk orang dewasa. - Foto QAMARUDDIN YUSLI

Menurutnya, proses pembelian ‘randoseru’ tertakluk kepada sistem janji temu yang ketat.

Beliau hanya dibenarkan menempah satu slot janji temu sehari dan bagi setiap slot, hanya satu beg boleh dibeli.

“Disebabkan had tersebut, memenuhi beberapa tempahan ‘randoseru’ memerlukan komitmen dan kunjungan harian ke kedai.

“Sebagai contoh, ketika berada di Tokyo selama empat hari baru-baru ini, saya perlu mengunjungi kedai itu setiap hari semata-mata untuk mendapatkan empat beg,” kata Encik Qamaruddin.

Encik Qamaruddin membuka sekitar 10 slot tempahan setiap bulan, tetapi beliau berkata permintaan sering melebihi kapasiti sehingga perlu dilanjutkan ke bulan berikutnya.
Encik Qamaruddin membuka sekitar 10 slot tempahan setiap bulan, tetapi beliau berkata permintaan sering melebihi kapasiti sehingga perlu dilanjutkan ke bulan berikutnya. - Foto ihsan QAMARUDDIN YUSLI

Selain itu, beliau turut menerima “permintaan luar biasa” seperti mendapatkan patung permainan dari mesin arked tertentu di Osaka.

“Permintaan itu dibuat oleh satu pasangan kerana mereka bertunang tepat di hadapan mesin itu, menjadikan patung permainan tersebut hadiah lamaran yang mempunyai nilai sentimental.

“Memandangkan perjalanan dari Tokyo ke Osaka semata-mata untuk mencuba mesin arked itu tidak praktikal, saya perlu kreatif dan menghubungi pengeluar patung itu untuk mendapatkannya,” ujarnya.

Satu lagi permintaan yang disifatkan beliau sebagai pelik adalah mendapatkan cermin cembung yang lazim digunakan di stesen kereta api.

Menurutnya, barang perindustrian itu agak sukar diperoleh, namun beliau akhirnya berjaya mendapatkannya untuk pelanggan tersebut.

Selain membeli barang untuk pelanggan, Encik Qamaruddin juga menerima permintaan untuk mendapatkan semula barang peribadi penting yang tertinggal di luar negara.

“Seseorang yang saya tak kenal menghubungi saya selepas tertinggal hadiah ulang tahun di sebuah hotel di kawasan Gunung Fuji.

“Saya berjaya mendapatkan semula barang itu dengan bantuan ibu mentua saya yang secara kebetulan berada di kawasan itu untuk menghadiri satu majlis perkahwinan,” katanya.

Menyentuh tentang operasi perkhidmatannya, Encik Qamaruddin berkata beliau membuka sekitar 10 slot tempahan setiap bulan, namun permintaan sering melebihi kapasiti sehingga perlu dilanjutkan ke bulan berikutnya.

Beliau mengenakan bayaran berdasarkan masa dan kos pengangkutan, termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), serta urusan permit yang perlu dipatuhi apabila membawa masuk barang ke Singapura.

“Ramai yang ingat sebab saya memang ke Jepun, harga barang yang mereka inginkan boleh jadi jauh lebih murah, tetapi mereka tak nampak masa, kos perjalanan, dan proses deklarasi yang perlu saya lakukan,” terangnya.

Menurut Encik Qamaruddin, cabaran utamanya ketika baru memulakan favour.ah adalah membina kepercayaan pelanggan, terutama apabila kadar bayarannya lebih rendah berbanding pembeli peribadi lain.

Tambahnya, halangan bahasa juga menjadi isu.

Beliau sering mendapatkan bantuan isterinya yang warga Jepun untuk berkomunikasi dengan pembekal tempatan yang jarang menggunakan bahasa Inggeris.

Encik Qamaruddin kini menetap di Singapura sambil mengimbangi pengajian dan pekerjaan sepenuh masa sebagai penjawat awam, manakala isterinya tinggal dan bekerja sepenuh masa di Jepun.

Pasangan itu bertemu buat kali pertama pada penghujung 2023 sebelum berkahwin pada 2025.

Kini, Encik Qamaruddin akan terbang ke Jepun setiap bulan untuk meluangkan masa bersama isterinya, tetapi bercadang untuk mengembangkan kerjayanya ke luar negara dan secara beransur-ansur beralih untuk menetap secara tetap di Jepun.

Namun, beliau melihat kelebihan dirinya sebagai jambatan antara dua budaya, iaitu untuk memahami kehendak pengguna Singapura yang mahukan barang dengan cepat dan murah, serta piawaian Jepun yang menitikberatkan ketelitian dan keaslian.

“Permintaan terhadap barang eksklusif Jepun banyak dipacu oleh trend media sosial, khususnya daripada wadah seperti TikTok.

“Salah seorang daripada pelanggan saya memberitahu saya yang mereka menggunakan perkhidmatan pembeli peribadi untuk mendapatkan barang eksklusif sebelum menjualnya di Singapura.

“Apabila saya tanya bagaimana beliau menjangkakan barang yang bakal menjadi trend, pelanggan saya berkata beliau memantau rapat pasaran China dan banyak bergantung kepada TikTok untuk mengenal pasti produk yang sedang mendapat perhatian,” kongsinya.

Melihat potensi tersebut, Encik Qamaruddin kini merancang untuk mengembangkan favour.ah menjadi sebuah wadah lebih formal dan sah dari segi undang-undang.

Konsep yang sedang diterokanya menyerupai model seperti Grab atau Lalamove, di mana pelancong di Jepun boleh mengambil tempahan, manakala beliau menguruskan permit dan deklarasi.

“Kalau boleh, saya nak sistem ini jadi sesuatu yang sah dan teratur, supaya orang boleh tempah dengan yakin tanpa risau tentang implikasi undang-undang.

“Buat masa ini, idea itu masih di peringkat awal, tetapi saya optimis ia mampu membuka peluang baharu dalam landskap membeli-belah rentas sempadan,” harapnya.