Penerbangan dibatal akibat krisis Timur Tengah, ibu dan anak terkandas di S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penerbangan dibatal akibat krisis Timur Tengah, ibu dan anak terkandas di S’pura

Mar 2, 2026 | 5:29 PM

Penerbangan dibatal akibat krisis Timur Tengah, ibu dan anak terkandas di S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Cik Nuraida Daud dalam panggilan video bersama suami dan anaknya yang berada di Belanda.
Cik Nuraida Daud dalam panggilan video bersama suami dan anaknya yang berada di Belanda. - Foto Ihsan NURAIDA DAUD

Setelah lebih setahun bermastautin di Belanda bersama suami dan dua anak lelakinya, Cik Nuraida Daud teruja dapat pulang sementara ke Singapura untuk bertemu keluarga dan sahabat handai.

Namun, kepulangannya kali ini bertukar cemas apabila penerbangan pulang ke Belanda dibatalkan susulan ketegangan yang memuncak di Timur Tengah.

Situasi menjadi tidak menentu selepas laporan mengenai serangan bom yang dilancarkan Iran ke beberapa negara di rantau itu, termasuk Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar, tersebar luas.

Perkembangan tersebut menjejaskan ramai penumpang antarabangsa, termasuk rakyat Singapura, penduduk tetap (PR) serta mereka yang dalam transit melalui negara-negara berkenaan.

Rantau itu merupakan hab penting penerbangan global, menempatkan syarikat penerbangan utama seperti Qatar Airways, Emirates dan Etihad Airways.

Dalam suasana tidak menentu ini, penerbangan Cik Nuraida, 49 tahun, bersama Qatar Airways yang dijadualkan berlepas pada 3 Mac telah dibatalkan.

“Saya pulang selepas 14 bulan di luar negara kerana ada urusan penting, selain ingin menziarahi teman yang sakit dan meluangkan masa bersama keluarga.

“Saya cuma ada dua minggu di sini, jadi memang rasa masa sangat suntuk. Tidak sangka pula penerbangan dibatalkan. Keadaan ini benar-benar membimbangkan saya dan suami di Belanda,” katanya.

Ketegangan yang berlarutan di Timur Tengah menambahkan lagi kebimbangan keluarga itu yang kini terpisah dua benua.

Cik Nuraida berada di Singapura bersama anak keduanya yang berusia 12 tahun, manakala suaminya, Encik Chris Van Dompselaar, 53 tahun berada di Belanda bersama anak sulung mereka yang berusia 13 tahun.

“Pada awalnya saya memang bercadang untuk melanjutkan percutian, tetapi saya juga perlu kembali ke pangkuan suami dan anak. Sekarang saya benar-benar risau jika sesuatu berlaku dan kami terus terpisah. Ia sangat merungsingkan,” tambahnya.

Walaupun merindui isteri dan anaknya, Encik Dompselaar mengakui beliau sedikit lega penerbangan itu ditangguhkan, sambil terus memantau perkembangan terkini, sebelum mencari penerbangan alternatif.

“Saya tentunya risau jika sesuatu berlaku ketika penerbangan. Selepas lapangan terbang Dubai dilaporkan menjadi sasaran, saya bimbang keadaan di Qatar juga berbahaya. Saya hanya berharap isteri dan anak saya dapat pulang dengan selamat supaya kami dapat bersama menjelang Hari Raya nanti,” katanya semasa dihubungi.

Dalam kenyataan di media sosial pada 2 Mac, syarikat penerbangan Qatar Airways berkata:

“Operasi penerbangan Qatar Airways masih digantung sementara berikutan penutupan ruang udara Qatar. Qatar Airways akan menyambung semula operasi sebaik sahaja pihak berkuasa Penerbangan Awam Qatar mengumumkan pembukaan semula ruang udara Qatar yang selamat. Kemas kini seterusnya akan diberikan pada 3 Mac sebelum jam 9.00 pagi waktu Doha.

“Para penumpang dinasihatkan untuk memantau maklumat penerbangan terkini melalui qatarairways.com atau aplikasi mudah alih Qatar Airways.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg