Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengantin perempuan buat kejutan tarian tradisional Samoa buat keluarga suami
Cik Natasha Yusuri berlatih selama tiga bulan untuk mempelajari tarian Siva Samoa untuk menghormati warisan keluarga suaminya
Pengantin perempuan buat kejutan tarian tradisional Samoa buat keluarga suami
Majlis perkahwinan Melayu sememangnya tidak asing dengan persembahan – daripada tarian dan paluan kompang hinggalah seni silat yang kadangkala dipersembahkan oleh ahli keluarga, malah pasangan pengantin sendiri.
Namun, Cik Natasha Yusuri memilih untuk membawa satu kelainan ke majlis persandingannya apabila beliau mempersembahkan tarian Siva Samoa, lengkap dengan busana songket, sebagai kejutan buat keluarga suaminya, Encik Daniel Chand, yang mempunyai darah Samoa.
Menurut Cik Natasha, 33 tahun, Siva Samoa merupakan tarian tradisional yang menjadi sebahagian daripada sambutan dan majlis masyarakat Samoa, termasuk majlis perkahwinan dan hari lahir.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Cik Natasha berkongsi beliau merancang persembahan itu secara rahsia selama tiga bulan sebagai tanda penghormatan terhadap warisan budaya keluarga suaminya.
Namun, beliau berkata apa yang pada awalnya dirancang sebagai kejutan buat keluarga mentuanya bertukar menjadi detik spontan apabila mereka turut menari bersama semasa majlis persandingan itu pada 28 Ogos di Glass House Beachfront, National Service Resort & Country Club (NSRCC) Changi.
Menurut Cik Natasha, ahli keluarga mentuanya membentuk bulatan di sekelilingnya sambil menari dan menaburkan wang – satu tradisi yang melambangkan penghormatan, kasih sayang, dan penghargaan terhadap penari serta keluarganya.
“Saya memberitahu suami yang saya ingin melakukan Samoan Siva untuk mengejutkan keluarganya, jadi mereka langsung tidak tahu bahawa saya akan membuat persembahan tersebut,” ujar Cik Natasha, seorang cef di pusat jagaan kanak-kanak, yang juga melakukan solekan untuk acara.
Encik Daniel, 33 tahun, yang berasal dari New Zealand dan berdarah campuran Fiji dan Samoa, berkata beliau teruja apabila mengetahui rancangan isterinya.
“Saya mempunyai pengalaman mempersembahkan tarian Samoa bersama keluarga dan sedikit sebanyak membantu Natasha mempelajari tarian tersebut,” terang Encik Daniel, yang bekerja dalam bidang logistik gudang.
Sepanjang tiga bulan membuat persiapan, Cik Natasha melakukan kajian untuk memilih lagu yang sesuai, mempelajari gerakan tarian dan memahami makna budaya di sebalik setiap pergerakan.
“Saya banyak membuat kajian mengenai lagu yang sesuai dan mempelajari pergerakan tarian, selain memberi perhatian kepada makna budaya di sebalik setiap pergerakan,” katanya yang kini menetap bersama Encik Daniel di Adelaide, Australia Selatan.
Dalam video yang dimuat naik di Instagram oleh mak andamnya, Cik Natasha dan Encik Daniel dilihat mengenakan busana songket pengantin sambil menari mengikut lagu O Le Taualuga.
Menurut Cik Natasha, O Le Taualuga merupakan tarian berbentuk upacara dan perayaan yang menzahirkan penghormatan dan kebanggaan serta meraikan warisan budaya Samoa.
Beliau berkata persembahannya dilakukan ketika keluarga mentuanya sedang menjamu selera, sebelum mereka secara spontan bangun dan menyertai pasangan pengantin.
Malah, sebahagian tetamu pada mulanya menyangka pasangan itu akan mempersembahkan tarian Melayu, tambah beliau.
“Ramai yang terkejut kerana pada awalnya ada yang ingat kami akan joget tarian Melayu kerana gerak-geri tangan bagi tarian Samoa lembut seperti tarian Melayu,” ujar Cik Natasha.
Bagi Cik Natasha, detik spontan itu menjadi antara kenangan yang tidak dapat dilupakan, kerana ia bukan sahaja menceriakan sambutan perkahwinannya, malah menjadi simbol penyatuan dua budaya dalam satu majlis yang bermakna.
