Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengasas Cheekies raih anugerah TikTok, dedikasi kemenangan kepada arwah ibu
Pengasas Cheekies raih anugerah TikTok, dedikasi kemenangan kepada arwah ibu
Pengasas Cheekies raih anugerah TikTok, dedikasi kemenangan kepada arwah ibu
Walaupun jualan menerusi strim langsung TikTok beliau pada awalnya hanya ditonton sekitar 10 orang, Encik Nabill Shukry Johary sentiasa mendapat sokongan padu daripada arwah ibunya yang tidak pernah gagal menyuntik semangatnya.
Menurut Encik Nabill, arwah ibunya, Allahyarhamha Hajjah Nor Hayati Mohammed, sering meninggalkan komen positif setiap kali beliau melakukan strim langsung bagi menyuntik semangatnya ketika membangunkan perniagaan makanan dari rumah (HBB) pada peringkat awal semasa pandemik Covid-19.
Lima tahun kemudian, sokongan yang tidak pernah putus itu menjadi antara kenangan paling bermakna buat Encik Nabill, terutamanya selepas pemergian ibunya pada 1 Mac lalu semasa Ramadan.
Kini, usaha yang dibinanya bersama keluarga membuahkan hasil apabila Encik Nabill diiktiraf sebagai penerima Anugerah Penjual Terbaik TikTok Shop Singapura baru-baru ini, hasil kejayaan mengembangkan jenama makanan, Cheekies, yang diasaskannya pada 2021 ketika berusia 24 tahun.
Cheekies merupakan jenama makanan halal tempatan yang menawarkan pelbagai pilihan hidangan sihat termasuk ayam perap dan daging kambing yang memudahkan pelanggan menikmati sajian berkhasiat di rumah.
Namun, bagi Encik Nabill, kini 29 tahun, pengiktirafan itu bukan sekadar meraikan kejayaan perniagaan, sebaliknya didedikasikan khas kepada arwah ibunya yang menjadi antara individu pertama mempercayai impiannya sejak hari pertama.
Beliau menerima anugerah tersebut semasa Persidangan Kemuncak TikTok Shop Singapura di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands pada 30 Julai.
“Saya dedikasikan setiap pencapaian kepada ibu kerana setiap kali saya berdepan cabaran, ibu sentiasa mengingatkan saya supaya bertawakal dan meletakkan kepercayaan kepada Allah.
“Walaupun ibu sudah tiada, kata-katanya terus menjadi pegangan saya setiap hari.
“Masih ada ketika saya berasa ingin berputus asa, terutamanya selepas kehilangan insan yang menjadi tonggak penting dalam hidup saya.
“Namun, nilai yang ibu tanamkan akan sentiasa bersama saya,” katanya kepada Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Penghargaan itu turut dizahirkan Encik Nabill menerusi satu hantaran di wadah Threads pada 30 Julai.
Dalam hantaran itu, beliau berkata fikirannya terus teringatkan arwah ibunya yang sentiasa berada di sisinya sejak hari-hari awal Cheekies.
“Anugerah ini milik semua yang telah menyokong kami, tetapi sebahagian daripadanya akan sentiasa menjadi milik ibu.
“Perasaan saya bercampur baur. Alangkah indahnya jika ibu dapat berdiri di sisi saya hari ini,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Berkongsi lebih lanjut dengan BH, Encik Nabill berkata ramai orang tidak mengetahui bahawa arwah ibunya mempunyai akaun TikTok sendiri dan tidak pernah terlepas mengikuti setiap siaran langsungnya.
“Semasa kami masih mengendalikan Cheekies dari rumah, setiap kali saya dahaga ketika melakukan strim langsung, ibu akan diam-diam membawa segelas air untuk saya.
“Nampak seperti perkara kecil, tetapi itulah antara kenangan yang akan saya hargai buat selama-lamanya,” luahnya.
Menurut Encik Nabill, kedua-dua ibu bapanya sanggup mengorbankan kestabilan kewangan keluarga, terutama sekali bapanya yang melepaskan pendapatan lebih tinggi sebagai pemandu Grab, demi membantunya membangunkan Cheekies.
Pada peringkat awal, Cheekies berdepan pelbagai cabaran termasuk gangguan rantaian bekalan global serta peningkatan kos bahan mentah susulan perang Russia-Ukraine, kongsinya.
Malah, beliau mengakui pernah terfikir untuk menutup perniagaan itu apabila jualan tidak menjadi.
“Ada hari, malah berminggu-minggu, kami langsung tidak mendapat sebarang jualan.
“Saya benar-benar terfikir untuk menutup perniagaan.
“Tetapi ibu sentiasa mengingatkan saya bahawa Allah ialah Ar-Razzaq (Yang Maha Memberi Rezeki) dan saya tidak seharusnya berputus asa,” singkapnya.
Selepas pemergian ibunya, Encik Nabill mengambil keputusan untuk berehat daripada melakukan strim langsung di TikTok selama dua bulan.
“Apabila saya kembali melakukan strim langsung, ia antara perkara paling sukar saya pernah lakukan kerana penyokong nombor satu saya sudah tiada,” katanya.
Selepas kembali aktif, beliau dan pasukannya menggandakan usaha dengan meningkatkan kekerapan strim langsung dan penghasilan kandungan di TikTok, di samping memperluaskan rangkaian produk serta memperkenalkan perkhidmatan penghantaran pada hari yang sama.
Menyentuh tentang anugerah dimenanginya, Encik Nabill berkata pengiktirafan itu bukan sekadar satu kejayaan, malah amanah yang perlu dipikul sebaik mungkin.
“Kami tidak boleh menjadi selesa. Orang ramai mempercayakan produk makanan yang kami hasilkan, dan kami perlu terus menjaga kepercayaan itu,” ujarnya.
Encik Nabill berkata Cheekies kini menyasarkan untuk membuka gerai makanan dan minuman (F&B) pertamanya pada 2027 dengan menawarkan pilihan makanan halal yang lebih sihat.
Selain mengembangkan perniagaan, beliau berharap perjalanan Cheekies dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai usahawan muda Melayu/Islam.
“Kepada golongan muda yang bercita-cita menjadi usahawan, nasihat saya mudah.
“Terus berusaha secara konsisten dan jangan berhenti menimba ilmu. Perniagaan bukanlah satu perlumbaan pecut, tetapi satu perjalanan yang memerlukan ketabahan dan kesabaran.
“Tidak setiap hari akan berjalan lancar dan pasti ada cabaran yang perlu ditempuhi. Namun, setiap cabaran membawa pengajaran, dan setiap insan yang ditemui pasti mempunyai sesuatu yang boleh kita pelajari,” nasihat beliau.
Ditanya apakah yang mungkin akan diperkatakan arwah ibunya sekiranya masih berpeluang menyaksikan kejayaannya hari ini, Encik Nabill percaya arwah tentu gembira melihat segala pencapaiannya.
Walau bagaimanapun, katanya, arwah pasti tetap mengingatkannya supaya terus merendah diri.
“Ibu selalu mengajar bahawa setiap kejayaan hanyalah pinjaman daripada Allah dan boleh ditarik balik pada bila-bila masa.
“Ibu juga selalu mengingatkan supaya jangan sesekali membiarkan kejayaan mengubah diri saya dan supaya saya sentiasa ingat asal usul saya.
“Yang paling penting, ibu pasti mahu saya terus memberi kembali kepada masyarakat dan menggunakan setiap nikmat yang Allah kurniakan untuk memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.