SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Penyampai radio A B Shaik kemalangan setelah diserang vertigo

Penyampai radio A B Shaik kemalangan setelah diserang vertigo

Apr 9, 2026 | 4:58 PM

Penyampai radio A B Shaik kemalangan setelah diserang vertigo

Niat untuk mencari sebuah masjid bagi menunaikan solat Asar dan Maghrib selepas selesai tugasan berakhir dengan kemalangan tidak dijangka bagi selebriti tempatan dan penyampai radio Warna 94.2, A B Shaik, atau nama sebenarnya Shaik Abu Bakar Ahmad Banafe.

Pada 5 April, sebaik sahaja selesai bertugas di acara ‘Ini Baru High Tea Raya!’ anjuran bersama Warna 942, Ria 897 dan Berita Mediacorp, A B Shaik memandu menuju Masjid Khadijah di Sims Avenue berhampiran Lorong 27 Geylang.

Ini setelah beliau gagal mendapatkan tempat letak kereta di Masjid Abdul Gafoor dan Masjid Hj. Mohd Salleh.

“Oleh kerana waktu sudah lewat petang, saya bercadang untuk meletakkan kereta, menunaikan solat Asar, dan menunggu waktu Maghrib.

“Namun, selepas gagal mendapatkan tempat letak kereta, saya teruskan perjalanan ke Masjid Khadijah, tetapi tak sangka saya terlibat dalam kemalangan yang tidak dijangka,” kata A B Shaik, 57 tahun, yang jelas masih terkesan dan mengalami trauma selepas kejadian itu.

Punca kemalangan dipercayai akibat serangan vertigo secara mendadak, yang tidak pernah dialaminya ketika memandu sebelum ini.

Penyakit vertigo membuatkan seseorang rasa mabuk seperti keadaan sekeliling berputar yang menjejas kestabilan untuk mengimbangkan diri.

“Episod serangan vertigo itu hanya berlaku dalam masa kurang seminit, menyebabkan saya tidak dapat mengawal kereta, dan terlanggar sebuah bas di sebelah kiri saya yang ketika itu tidak bergerak.

“Impak kemalangan itu menyebabkan semua beg udara terbuka, tetapi saya bersyukur tiada kecederaan pada sesiapa. Saya hanya mengalami kejang dan ketegangan otot di lengan kanan,” jelasnya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Menurut A B Shaik, beliau sudah lama mengalami serangan vertigo, sejak di sekolah menengah lagi.

“Lebih kerap ketika saya muda, sekali seminggu, atau dua kali sebulan. Namun, saya dianggap sihat, dan kemudian serangan itu jarang berlaku, boleh dikatakan sekali dalam enam bulan atau setahun,” ujarnya.

Beliau juga berterima kasih kepada seorang ‘hamba Allah’ berbaju hijau yang menemaninya sehingga ambulans dan polis tiba.

“Saya tidak keluar dari kereta selepas kejadian kerana masih tergamam, tetapi saya lihat beberapa penumpang bas turun untuk mengambil gambar dan video. Seorang lelaki membuka pintu, melihat keadaan saya, dan menemani saya sehingga polis datang,” katanya.

Kereta yang dipandunya kini berada di bengkel dan dijangka mengambil masa lebih seminggu untuk diperbaiki.

“Saya masih terkejut dan mungkin memerlukan sedikit masa untuk pulih sepenuhnya sebelum memandu semula. Saya bersyukur kerana tiada orang cedera dan sentiasa berdoa agar terselamat daripada kemalangan sebegini,” katanya.

Ini lebih-lebih lagi memandangkan beliau menganggap dirinya seorang pemandu yang mematuhi peraturan dan mengutamakan keselamatan jalan raya.

“Mujur saya tidak memecut dan memakai tali pinggang keledar, yang telah menyelamatkan saya daripada bahaya,” tambahnya lagi.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg