Bertema, ‘Seikhlas Sumbangan, Semanis Senyuman’, Tabung Amal Aidilfitri (TAA) mengharapkan ihsan masyarakat Singapura menderma agar dapat mengagihkan dana pada hujung Ramadan.
Sasaran kutipan derma TAA untuk Ramadan 2025 ialah $1.5 juta.
Kempen Dana Amal TAA-Ramadan 2025 dilancarkan pada 21 Februari dan berlangsung sehingga 1 April 2025.
Buat julung-julung kalinya, TAA telah memperkenal gelaran, Sahabat TAA, dalam kempen 2025.
Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Encik Mohd Najib Sahib, berkata:
“Peranan utama ‘Sahabat TAA’ adalah mahu mendekati lebih ramai anggota masyarakat bagi memperkenalkan TAA.
“Dengan kerjasama bersama kumpulan media di sini, kami menobatkan gelaran Sahabat TAA yang pertama ini kepada A.B. Shaik.”
Mengulas gelarannya itu, A.B Shaik berkata: “Sebagai Sahabat TAA, saya akan berusaha lebih keras. Jika dulu hanya bersuara, kini wajah saya menghiasi tabung-tabung dan poster TAA.”
Sebagai Sahabat TAA, A.B Shaik turut mengunjungi penerima bantuan badan tersebut.
Salah sebuah keluarga yang dikunjunginya ialah Cik Farah Ramli, 32 tahun, yang tinggal di flat sewa dua bilik.
Salah seorang anak mereka, Zulfa Hidayat, merupakan anak istimewa yang mengalami Gangguan Spektrum Autisme (ASD), atau Masalah Pembelajaran Spesifik seperti disleksia (kesukaran membaca), dyscalculia (kesukaran mengira), dan disgraphia (kesukaran menulis).
Dengan dua anak berusia di bawah 17 tahun, ditambah seorang anak istimewa, pasangan ini terpaksa bekerja sambilan secara bergilir-gilir demi menjaga dan mengawasi mereka.
Menyentuh tentang anak istimewanya, Cik Farah berkata: “Anak saya ini hampir setiap hari meltdown, atau mengalami gangguan sensori, di sekolah dan juga di rumah. Tahap kesabaran kami kena tinggi.
“Kami juga pastikan suasana rumah tenang dan positif. Orang luar tidak faham keadaan anak istimewa saya dan ada yang mencemuh kami.”
Biarpun mencabar, beliau dan suaminya memastikan anak-anak didedahkan kepada unsur-unsur positif.
Sebagai contoh, pintu rumahnya dicat warna hot pink, atau merah jambu terang untuk menceriakan suasana dan memastikan sesiapa yang masuk ke rumahnya akan tersenyum.
Keadaan Cik Farah tidak menjadi penghalang baginya menjadi seorang yang prihatin dan mengambil berat terhadap jiran-jirannya yang memerlukan, terutama golongan yang lanjut usia.
Beliau juga aktif membantu mengisi borang permohonan untuk bantuan TAA, dengan harapan mereka turut meraih manfaat daripada agihan tersebut.
Sebagai penerima bantuan TAA, Cik Farah dipilih mengikuti program Maybank, myimpact Microbusiness 2025, anjuran Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).
Hasil daripada program itu, Cik Farah dan suami bercadang menyediakan perkhidmatan pembersihan bagi warga emas dan kurang upaya.
SEKILAS:
Senarai maklumat dan pautan talian bagi semua kaedah menderma boleh didapati di laman web, taa.sg
Derma $50 ke atas layak menerima 250 peratus potongan cukai daripada Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg