Topik diikuti
Pergi ke BHkuPermintaan dandanan kucing baka tulen naik jelang musim perayaan
Permintaan dandanan kucing baka tulen naik jelang musim perayaan
Kos penjagaan termasuk dandanan bulanan cecah hampir $200 setiap sesi
Permintaan dandanan kucing baka tulen naik jelang musim perayaan
Adakah anda memiliki kucing baka tulen?
Kucing jenis ini, seperti Maine Coon, British Shorthair dan Ragdoll, sering mendapat permintaan tinggi dan mahal untuk dimiliki, dengan harga antara $2,000 dengan $8,500.
Malah kos penjagaannya juga tinggi, dengan perbelanjaan bulanan termasuk dandanan yang boleh mencecah hampir $200 setiap sesi.
Walaupun sesetengah pemilik memilih untuk mendandan kucing mereka sendiri, pemilik Cats Garage dan pendandan kucing profesional, Cik Aziemah Zakiyyah Azmi, 36 tahun, berkata terdapat banyak aspek dandanan kucing yang mungkin tidak diketahui atau difahami oleh orang biasa.
“Ada cara berlainan untuk mendandan kucing daripada baka berlainan, oleh kerana setiap baka mempunyai bulu lapisan bawah (undercoat) berbeza.
“Biasanya, mereka mempunyai lapisan berganda (dua), tetapi ada juga kucing yang mempunyai tiga lapisan,” kata Cik Aziemah, atau lebih disenangi dengan panggilan Zee, yang mengendalikan kedai dandanan Cats Garage di 169 Joo Chiat Road.
“Kalau tidak dijaga, bulu kucing boleh menjadi kusut atau mengalami keguguran, jadi banyak perhatian harus diberikan sewaktu ia didandan dan juga penjagaan selepas pulang ke rumah,” tambah Cik Zee, yang pernah memenangi beberapa pertandingan dandanan dan penggayaan kucing di Singapura dan juga di luar negara.
Sekarang, Cik Zee dan pasukan pendandan kucing yang mewakili Singapura berada di Chengdu, China, untuk pertandingan Battle of the Champions Finale, anjuran Persatuan Antarabangsa Pakar Kecantikan Kucing (ISFC) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
“Kami baru memenangi tempat ketiga dalam pertandingan ini dan rasa amat berbangga kerana ramai di sini yang sangat berbakat.
“Saya rasa bertuah dapat ikut serta dalam pertandingan yang diiktiraf antarabangsa ini,” ujarnya.
Menurutnya, kumpulan dari Malaysia menjuarai tempat pertama, manakala China mendapat tempat kedua.
Cik Zee bermula berjinak-jinak dalam bidang mendandan kucing sekitar 2017 dan tidak sangka minatnya semakin mendalam terhadap bidang ini.
“Ada orang kata, kenapa harganya mahal (sekitar $200 untuk satu sesi), harga gunting rambut baru $10!
“Mereka yang bercakap begitu tentu tidak faham keperluan seekor kucing.
“Setiap dandanan boleh mengambil masa lebih dua jam, bergantung kepada keperluan kucing itu sendiri – sama ada perlu digunting bulunya, dicukur, dimandikan, kukunya dipotong dan telinganya yang juga harus dibersihkan,” katanya.
Musim paling sibuk dikatakan sebelum musim perayaan dan menurutnya, mereka menerima lebih daripada 50 permintaan untuk dandanan seminggu sebelum Raya pada 2026.
“Kami amat mengambil kira kesihatan kucing yang datang ke sini, terutama dari segi kesejahteraannya.
“Matlamat kami adalah supaya kucing berasa selesa dan selamat, sebelum diberi kepercayaan untuk mendandan mereka dengan baik,” tambahnya.
Syarikat Yukiyo pula menawarkan perkhidmatan dandanan kucing di rumah pemilik haiwan.
Beroperasi sejak September 2025, pengasasnya yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Faeez, memulakan perniagaan itu sebagai langkah menceburi kerjaya baharu.
Sejak perniagaannya dilancarkan, Encik Faeez telah mengendalikan 500 ekor kucing dengan bilangan pelanggannya dianggarkan antara 300 dengan 400 orang.
Secara purata, beliau mendandan tujuh hingga 10 ekor kucing sehari.
“Perkhidmatan ke rumah dipilih kerana ia lebih memudahkan pemilik dan mengurangkan tekanan terhadap kucing, walaupun ia lebih mencabar kerana kucing bersifat menjaga kawasan sendiri,” kata usahawan berusia 38 tahun itu.
Antara khidmat yang ditawarkan adalah mencukur bulu tapak kaki kucing, memandikan haiwan itu, serta membersihkan mata, telinga dan hidungnya, yang boleh mengambil masa hingga 120 minit.
Beliau menggunakan peralatan perlindungan apabila perlu dan mengambil pendekatan tenang bagi mendapatkan kepercayaan haiwan tersebut.
Pakej dandanan yang ditawarkannya pula serendah $40, manakala pakej rawatan serendah $90.
“
“Ada orang kata, kenapa harganya mahal (sekitar $200 untuk satu sesi), harga gunting rambut baru $10! Setiap dandanan boleh mengambil masa lebih dua jam, bergantung kepada keperluan kucing itu sendiri – sama ada perlu digunting bulunya, dicukur, dimandikan, kukunya dipotong dan telinganya yang juga harus dibersihkan.”“
“Perkhidmatan ke rumah dipilih kerana ia lebih memudahkan pemilik dan mengurangkan tekanan terhadap kucing, walaupun ia lebih mencabar kerana kucing bersifat menjaga kawasan sendiri.”