Pernah melalui detik sukar sehingga terpaksa mengikat perut selama beberapa hari kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli barang dapur, Cik Sri Nur Ilyia Izzuwanna Othman amat memahami perasaan apabila dapur di rumah kosong.

Pengalaman tersebut mendorong ibu berusia 28 tahun itu bersama suaminya, Encik Muhd Zafri Puteh, juga 28 tahun, memulakan Rezeki Bergerak, satu usaha kecil-kecilan untuk mengagihkan barang keperluan kepada mereka yang memerlukannya.

“Kami pernah melalui masa apabila tiada makanan di rumah atau wang yang mencukupi untuk membeli barang dapur, sehingga terpaksa tidak makan selama beberapa hari.

“Disebabkan kami tahu bagaimana rasanya melihat dapur yang kosong, kami mahu melakukan sesuatu yang kecil tetapi bermakna untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan,” kata Cik Ilyia kepada Berita Harian (BH).

Menurut Cik Ilyia, beliau menjalankan perniagaan kecil menyediakan hiasan ‘candy wall’ bagi acara serta jambangan bunga, manakala Encik Zafri membahagikan masa bekerja sebagai pemandu Grab, pekerja pemindahan barang, dan melakukan pekerjaan sambilan lain.

Mereka telah menetap di sebuah flat sewa bersama dua anak mereka – Ayra Sofhia Muhd Zafri, empat tahun, dan Ayraaz Sofhian Muhd Zafri, yang baru berusia sebulan – sejak 2021.

Pada mulanya, Cik Ilyia merancang meletakkan rak lima tingkat yang dinamakan Rak Rezeki di luar rumahnya, berisi makanan ringan, lampin bayi, dan keperluan rumah lain yang boleh diambil secara percuma oleh sesiapa yang memerlukan tanpa perlu menjelaskan keadaan mereka.

Namun, menurutnya, rancangan itu tidak mendapat kelulusan Majlis Bandaran kerana sebuah kebakaran baru-baru ini berlaku di flat mereka dan koridor perlu dikosongkan.

Tidak mahu membatalkan niat tersebut, pasangan itu mengubah pendekatan.

“Daripada menunggu mereka yang memerlukan datang ke kami untuk ambil barang, saya dan suami saya memutuskan untuk membawa sendiri ‘rezeki’ itu kepada mereka, sekali gus tercetusnya Rezeki Bergerak,” jelas Cik Ilyia.

Bagi pengagihan pada 13 September, beliau berkongsi senarai barang keperluan di media sosial dan mengajak pengikutnya menaja barang tertentu atau menyumbang wang untuk membelinya.

Menurutnya, sambutan yang diterima di luar jangkaan, dengan sekitar $700 berjaya dikumpulkan dalam tempoh hanya tiga hari dan digunakan pasangan itu untuk membeli hampir 200 barang keperluan di pasar raya Sheng Siong.

Antaranya adalah beras, minyak masak, mi segera, telur, bijirin, pasta, sos pasta, sabun badan dan pencuci pakaian, selain keperluan bayi seperti lampin dan tisu basah.

Proses pengagihan Rezeki Bergerak turut dirakam dan dimuat naik ke akaun TikTok Cik Ilyia, dengan video tersebut meraih lebih 1,500 tanda suka.

Cik Ilyia menambah bahawa beliau dan suaminya turut menggunakan wang sendiri bagi menambah barang yang hendak diagihkan.

“Kami langsung tidak menjangkakan sambutan seperti itu kerana ini kali pertama kami melakukannya. Kami pada mulanya bimbang tak ramai yang mahu menyumbang.

“Jadi kami benar-benar terkejut dan gembira melihat sokongan yang diberikan,” katanya.

Selepas meminta cadangan lokasi daripada pengikutnya di media sosial, pasangan tersebut memilih flat sewa dua bilik di Blok 155 dan 156 Mei Ling Street di Queenstown bagi pengagihan mereka.

Cik Ilyia dan Encik Zafri mengagihkan barang keperluan tersebut kepada penduduk flat sewa dua bilik di Blok 155 dan 156 Mei Ling Street yang terletak di Queenstown.
Cik Ilyia dan Encik Zafri mengagihkan barang keperluan tersebut kepada penduduk flat sewa dua bilik di Blok 155 dan 156 Mei Ling Street yang terletak di Queenstown. - Foto TANGKAP LAYAR PETA GOOGLE

Cik Ilyia berkata mereka berada di sana bersama kedua-dua anak mereka sekitar dari 5 petang hingga 7 malam, dengan barang dibawa menggunakan sebuah van.

Menurutnya, sebahagian penduduk yang melihat van mereka atau siaran langsung di media sosial turun untuk mengambil barang yang diperlukan.

Namun, satu pertemuan pada penghujung pengagihan itu meninggal kesan “paling mendalam” kepada Cik Ilyia.

“Seorang murid sekolah rendah, kira-kira Darjah 4 atau 5, datang dari beberapa blok berdekatan selepas melihat siaran langsung kami.

“Apabila kami memberitahunya untuk memilih barang daripada van itu, dia tidak memilih makanan ringan atau sesuatu untuk dirinya, sebaliknya meminta lampin untuk adiknya.

“Ia sangat menyentuh hati kerana walaupun masih kecil, dia tetap memikirkan keperluan adiknya.

“Ketika itu kami rasa apa yang kami cuba lakukan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukannya,” ujarnya.

Hasil sumbangan sekitar $700 daripada orang ramai, Cik Ilyia dan suaminya Encik Zafri (gambar kanan) membeli hampir 200 barang keperluan untuk diagihkan menerusi inisiatif Rezeki Bergerak.
Hasil sumbangan sekitar $700 daripada orang ramai, Cik Ilyia dan suaminya Encik Zafri (gambar kanan) membeli hampir 200 barang keperluan untuk diagihkan menerusi inisiatif Rezeki Bergerak. - Foto TANGKAP LAYAR TIKTOK ANNASOFHIA.Z

Pasangan itu kini merancang meneruskan usaha itu dengan menyediakan minuman sempena Majlis Maulid di Masjid Sallim Mattar pada 18 Oktober bagi mendekati lebih ramai kanak-kanak, termasuk mereka dari rumah anak yatim Darul Ihsan yang terletak bersebelahan masjid.

Menurut Cik Ilyia, para penyumbang telah menaja lima karton mengandungi 60 kotak minuman susu coklat Choco Albab setakat ini.

Beliau dan suaminya juga berharap Rezeki Bergerak dapat mendidik kededua anak mereka bahawa seseorang tidak perlu memiliki banyak untuk membantu orang lain.

“Kalau Allah memberikan kita rezeki lebih, kita berkongsi dengan orang lain.

“Kami juga mahu mengajar anak kami bahawa membantu orang tidak semestinya perlu dilakukan secara besar-besaran untuk membawa makna,” terang Cik Ilyia.