Lebih 300 keluarga yang menetap di Bukit Merah dan Hougang menerima pakej bantuan yang mengandungi barangan keperluan serta suplemen herba daripada seramai 100 kakitangan dan sukarelawan Herbal Pharm pada 16 Ogos.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada edisi ketiga Charity on Wheels, iaitu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan syarikat makanan tambahan atau suplemen Herbal Pharm, yang menyokong keluarga berpendapatan rendah dan golongan rentan di seluruh Singapura.

Setiap pakej bantuan mengandungi barangan keperluan dapur dan produk asas seperti beras, serbuk Milo 3 dalam 1, biskut, minyak masak, ikan sardin dalam tin serta pelbagai produk Herbal Pharm termasuk garam kasar, gula kelapa dan vitamin C.

Pengasas, Encik Vejaiyan Gunasagran, berkata:

“Menyumbang kembali kepada masyarakat tidak seharusnya sekadar sumbangan sekali sahaja. Sebaliknya, ia harus menyatukan masyarakat dan membina hubungan yang berkekalan dalam komuniti.

“Setiap kenderaan dalam konvoi itu melambangkan seseorang yang memilih untuk meluangkan masa dan tenaga bagi membantu orang lain.”

Beliau berharap menerusi acara bertemakan ‘Driving Kindness, Touching Lives’ itu, mereka dapat menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila perniagaan, masyarakat dan sukarelawan bergerak bersama demi matlamat yang sama.

Pakej bantuan tersebut dikumpulkan di 1008 Toa Payoh North, sebelum diagihkan ke Bukit Merah dan Hougang oleh penunggang dan pemandu daripada pelbagai kelab motosikal dan ‘supercar’ (kereta sukan berprestasi tinggi).

Antara mereka yang terlibat dalam projek ini termasuk sukarelawan daripada kumpulan ‘Otai’s Bikers Brotherhood’, ‘BMW Riding Kakis’, ‘Kawasaki 1400s GTR Owners Club’, ‘Goldwingers’, ‘Audi 45 Singapore’ dan ‘P9 Club’.