Bukan sahaja paluan kompang, malah dendangan penyanyi Malaysia, Noraniza Idris, dan gema kumpulan dikir barat turut memeriahkan majlis perkahwinan penyanyi tempatan, Rahila Rashun, dan suami, Encik Ahmad Syafiq Moklas, pada 13 September.

Justeru, majlis tersebut, yang diadakan di The Landmark Ballrooms di Newton, menjadi riuh dan bersemangat semasa persembahan gabungan mengejutkan oleh Noraniza dan kumpulan dikir barat, Andika Kencana, ditujukan pada raja sehari.

Dalam satu hantaran Instagram oleh pencipta kandungan untuk majlis perkahwinan, @knotcaptured.sg, pada 13 September, Noraniza – yang merupakan ibu saudara Rahila – dapat dilihat mendendangkan lagunya, Dikir Puteri, yang diiringi kumpulan dikir barat tersebut.

“Persembahan gabungan mak cik saya, Noraniza Idris, dan Andika Kencana adalah spontan dan langsung tidak dirancang.

“Jadi, kami berasa sangat terharu apabila mereka mempersembahkan lagu itu untuk kami,” kongsi Rahila, atau nama sebenarnya, Nurul Rahila Rashun.

Menurut Rahila, beliau tidak sangka Noraniza akan menyanyi kerana beliau menjemput Noraniza sebagai tetamu keluarga.

Namun, pasangan itu sangat beruntung kerana penyanyi yang tidak asing lagi itu sudi bernyanyi di majlis mereka.

“Beberapa tetamu kita juga terpegun dengan persembahan itu dan kami gembira mereka juga seronok di majlis kami,” kongsi Rahila.

Dalam satu lagi hantaran Instagram oleh @lady.gagah pada 13 September, Rahila, dan suaminya, yang juga merupakan seorang penggiat seni, dapat dilihat mendendangkan lagu Wau Bulan sebelum disambut awok-awok untuk mengakhiri persembahan itu.

Bagai pinang dibelah dua, pasangan tersebut juga berkongsi minat yang sama dalam industri muzik dan dikir barat.

Menurut Rahila, 30 tahun, beliau dan suami, 33 tahun, tidak merancang untuk bernyanyi di majlis mereka tetapi menyahut cabaran apabila dijemput oleh Tukang Karut, Muhammad Isa Jaffar atau lebih dikenali sebagai Isa Bora, dan Safuan Maswan.

Namun, Rahila, yang mula berkecimpung dalam bidang seni sejak 2013 sebagai Tok Juara, berkata majlis mereka menjadi sangat bermakna kerana dapat memasukkan unsur dikir barat.

Sebagai salah satu ketua Andika Kencana, Encik Syafiq juga berkata kepada Berita Harian (BH) beliau terharu dengan persembahan oleh kumpulannya.

Kumpulan dikir barat, Andika Kencana, bersama Rahila Rashun dan suaminya.
Kumpulan dikir barat, Andika Kencana, bersama Rahila Rashun dan suaminya. - Foto ihsan RAHILA RASHUN

Menurut beliau, sudah menjadi kebiasaan untuk kumpulan Andika Kencana membuat persembahan dan memeriahkan majlis perkahwinan anggota kumpulan mereka.

Majlis Rahila turut dimeriahkan lagi dengan band muzik tradisional yang merangkumi rakan seindustrinya dan nyanyian rakan artis seperti:

  1. Penyanyi Malaysia, Farez Adnan
  2. Vokalis utama kumpulan O.M.A, Abdul Thaqif Bani
  3. Penggiat seni mapan, Zubir Abdullah

Semasa dihubungi BH, Rahila turut meluahkan penghargaannya kepada Encik Syafiq yang menyokong kerjayanya dalam dunia nyanyian.

“Saya sangat bersyukur kerana Syafiq selalu menyokong kerjaya dan minat saya dalam bidang muzik.

“Malah, Syafiq banyak bantu menguruskan persembahan, aktiviti, dan kerjaya saya,” kata beliau.

Dalam mahligai yang baru dibina itu, mereka juga berasa bersyukur kerana mendapat pasangan yang memahami kerjaya masing-masing dan saling menyokong.

Semasa fasa mengenali Rahila, Encik Syafiq juga berkongsi bahawa beliau ingin mengenali erti budi Rahila, di luar minat nyanyian mereka.

“Saya tidak pernah merancang untuk berkahwin dengan seseorang dalam dunia muzik ini kerana saya ingin mengenali erti budi sesorang itu sebelum berkahwin dengannya,” kata Encik Syafiq.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti