Selepas melalui episod kelam dalam perkahwinan pertama, penyanyi tempatan, Rahila Rashun, mengakui bukan mudah membuka hati dan memberi peluang kepada cinta baharu.

Tiada insan yang mengharapkan perkahwinan berakhir dengan perpisahan.

Namun, di sebalik ujian itu, Rahila, atau nama sebenarnya, Nurul Rahila Rashun, 29 tahun, menemukan hikmah tentang pentingnya restu ibu bapa.

“Semasa mendirikan perkahwinan pertama, saya tidak mendapat restu daripada ibu bapa.

“Sejak saat itu, saya mula sedar betapa pentingnya restu mereka. Saya yakin pengalaman hidup mereka yang lebih luas menjadikan mereka lebih arif dalam membuat pertimbangan atau keputusan.

“Namun, apabila sudah ‘mabuk cinta’, ada sesetengah perkara yang sering kita terlepas pandang. Biasalah, orang kata cinta itu buta.

“Nyatanya, perkahwinan pertama saya tidak berkekalan panjang. Sepanjang perkahwinan yang bertahan selama setahun lapan bulan itu, saya alami penderaan secara fizikal dan mental.

“Ia kemudian meninggalkan kesan trauma pada diri saya sehingga sukar untuk saya membuka hati dan mengenali orang baharu.

“Saya juga tidak mahu berlaku tidak adil.

“Disebabkan luka lama yang belum benar-benar sembuh, saya bimbang akan menyalahkan orang lain atas kesalahan yang tidak pernah mereka lakukan,” kongsi Rahila, yang pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi ‘rap’ setempat pada 2020.

Kini, Rahila merupakan ibu tunggal bagi dua anaknya, Maheera Bibi, enam tahun, dan Mohamad Al Harraz, lima tahun.

Bercerita lanjut, Juara SG Mania 3, yang pernah mewakili Singapura dalam peraduan serantau, Dangdut Academy Asia 3, itu mengambil masa tiga tahun untuk bangkit semula dan membuka hati untuk mengenal cinta kembali.

Pengalaman getir itu diharunginya dengan penuh kecekalan, meskipun bukan sesuatu yang mudah dengan tanggungjawab menguruskan dua anak yang masih kecil.

“Adakalanya, saya memerlukan ruang untuk bersendirian. Namun, dalam masa yang sama, anak-anak tetap memerlukan perhatian saya.

“Contohnya, ketika saya cuba mengasingkan diri di dalam bilik, tiba-tiba anak memanggil, ‘Mummy… mummy…’.

“Saya belum sempat pun melepaskan tangisan, sudah perlu kembali menguruskan mereka.

“Dilema itu membuatkan saya sering berasa serba salah. Ada waktu saya sempat menangis untuk melegakan diri, ada juga ketika tidak berpeluang berbuat demikian.

“Walau bagaimanapun, saya amat bersyukur kerana menerima sokongan yang baik daripada kedua orang tua, serta kakak saya sepanjang mengharungi fasa sukar tersebut,” ceritanya lagi.

Membuka lembaran baharu, kisah cinta Rahila kini berubah manis apabila takdir menemukan dirinya dengan anak seni, Ahmad Syafiq Moklas, 33 tahun, yang bekerja sebagai Eksekutif Perolehan dan Harga Kargo Udara, menerusi aplikasi janji temu.

Syafiq juga merupakan Pengerusi Serumpun Dikir Singapura, sebuah kumpulan sukarelawan yang terdiri daripada penggiat dikir barat di Singapura dan aktif menganjurkan pelbagai program, khususnya melibatkan golongan belia di institusi pengajian tinggi.

Antara usahanya termasuk menganjurkan pertandingan dikir barat, Piala Suara Serumpun dan Pesta Senandung Rakyat.

Pasangan itu telah mengikat tali pertunangan pada 3 Mei 2025, dan dijadualkan melangkah ke gerbang perkahwinan pada 13 September ini.

Mengimbau kembali pertemuan awalnya dengan Syafiq, Rahila mengakui hatinya terpikat dengan keikhlasan jejaka itu yang ingin mengenalinya sebagai dirinya yang sebenar dan bukan sebagai penyanyi.

“Sebenarnya, saya kurang selesa apabila dikenali sebagai ‘Rahila Rashun’ atau sebagai penyanyi.

“Kalau ada yang bertanya, ‘Rahila yang penyanyi itu ke?’, memang saya akan terus ‘block’, kerana saya mahu dikenali sebagai diri saya yang sebenar.

“Dalam masa yang sama, saya juga berharap seorang lelaki itu dapat menerima saya seadanya bersama dua orang anak saya.

“Alhamdulillah, Syafiq berjaya menambat hati saya apabila beliau ikhlas mengenali diri saya seadanya, termasuk anak-anak saya.

“Ramai yang beranggapan perkenalan saya dengan Syafiq bermula dalam dunia seni, namun hakikatnya takdir menemukan kami dengan cara yang tidak disangka-sangka,” kata Rahila, yang memulakan langkah dalam bidang seni suara sebagai Tok Juara.

Saat ini, Rahila yang pernah merakam lagu, Langit Sampaikan dan Kepadamu (runut bunyi drama Keranamu Khadijah), menjalani kerjaya sebagai penyanyi sepenuh masa di sebuah kelab malam tempatan, di samping menerima undangan persembahan di pelbagai acara kelab masyarakat, daripada majlis perjumpaan Raya hingga ke acara santai untuk masyarakat Cina.

Ini memandangkan beliau juga boleh menyanyi dalam bahasa Mandarin dan pelbagai dialek Cina.

Sebelum kembali melangkah ke alam perkahwinan, Rahila akur mereka telah berbincang pelbagai perkara seperti menetapkan batasan dalam hubungan suami isteri.

“Selepas melalui pelbagai ujian dalam perkahwinan, bagi saya, kehadiran pasangan kini lebih kepada menemani sisa hidup.

“Saya juga pernah menyatakan kepada Syafiq, sekiranya suatu hari nanti timbul perkara yang tidak diingini dalam rumah tangga, saya tidak akan teragak-agak untuk membuat keputusan yang terbaik demi diri saya dan anak-anak dengan mengambil langkah mengundur diri.

“Selain itu, kami turut berbincang mengenai kededua anak saya, termasuk kemungkinan mereka akan bertanya tentang bapa kandung mereka apabila meningkat dewasa, memandangkan nama Syafiq dan bapa mereka tidak sama.

“Perkara seperti ini telah kami bicarakan sejak awal lagi. Namun, saya memilih untuk tidak terlalu memikirkan hal yang belum pasti.

“Apabila tiba waktunya nanti, saya yakin kami akan mampu menanganinya bersama dengan sebaiknya,” ujar Rahila penuh harapan.

Dalam perkembangan lain, Rahila melihat benih minat terhadap dunia nyanyian mula berputik dalam diri anak sulungnya, Maheera.

Bagaimanapun, beliau menekankan pentingnya membina nama atas usaha dan bakat sendiri, tanpa menumpang namanya yang lebih dahulu menceburi bidang seni.

“Pada awalnya, saya kurang bersetuju apabila Maheera ingin menceburi bidang nyanyian.

“Bukan sebab saya tidak menyokong, tetapi kerana saya sendiri memahami betapa mencabarnya dunia seni ini.

“Saya pernah meninggalkan kerjaya sebagai jururawat, malah terpaksa membuat keputusan untuk berhenti dalam tempoh 24 jam demi menyertai peraduan realiti di Malaysia, Akademi Fantasia (AF), pada 2016.

“Namun selepas itu, saya diuji dengan kesempitan kewangan sehingga terpaksa memohon bantuan daripada keluarga.

“Jadi, saya tidak mahu Maheera melalui kesukaran yang sama. Walaupun susah untuk diluahkan, saya sedar itu adalah perjalanan yang perlu dia tempuhi sendiri.

“Apa pun, saya nasihatkan pada Maheera sekiranya dia benar-benar ingin dalami bidang nyanyian, saya galakkan untuk dia hadiri kelas muzik dahulu,” jelas Rahila, yang turut merancang tampil dengan lagu dan album mini baharu selepas berkahwin.