Berita Netizen
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Reka bilik tidur ‘Superhero’, galak anak tidur sendiri

Nov 4, 2025 | 3:46 PM
Demi melatih anaknya sulungnya, Muhammad Faiq Taqris Amirul Haidy berdikari dan tidur sendiri, pasangan ibu bapa Cik Nur Reiqah Mohd Ramli (dua dari kanan) dan Encik Amirul Haidy Azlee (dua dari kiri) menyahut cabaran untuk menghias bilik tidur anaknya dengan tema wira Marvel. Bersama dalam gambar ialah anak bongsu mereka, Muhammad Faliq Khalis Amirul Haidy (kanan).
Demi melatih anaknya sulungnya, Muhammad Faiq Taqris Amirul Haidy berdikari dan tidur sendiri, pasangan ibu bapa Cik Nur Reiqah Mohd Ramli (dua dari kanan) dan Encik Amirul Haidy Azlee (dua dari kiri) menyahut cabaran untuk menghias bilik tidur anaknya dengan tema wira Marvel. Bersama dalam gambar ialah anak bongsu mereka, Muhammad Faliq Khalis Amirul Haidy (kanan). - Foto ihsan NUR REIQAH MOHD RAMLI

Melatih anak berusia empat tahun untuk tidur di bilik sendiri bukanlah tugas mudah.

Namun bagi Cik Nur Reiqah Mohd Ramli, dan Encik Amirul Haidy Azlee, kedua-duanya 28 tahun, mereka telah menyahut cabaran itu menerusi projek DIY (buat sendiri) iaitu menghias bilik tidur anaknya dengan tema wira Marvel, terutamanya Spider-Man.

Cabaran itu bertambah mendesak apabila sofa di ruang tamu mula terjejas kerana kerap digunakan sebagai katil tambahan, sekali gus menimbulkan isu ruang dan kebersihan di rumah.

“Anak-anak makin besar, katil saiz Queen dah tak cukup tempat. Itulah yang kami terfikir, kenapa tidak kita cuba latih si abang tidur sendiri dalam biliknya,” kongsi Cik Reiqah, ibu kepada dua anak lelaki.

Barang hiasan dibeli dalam talian. Proses DIY bilik ini menelan belanja sekitar $1,000.
Barang hiasan dibeli dalam talian. Proses DIY bilik ini menelan belanja sekitar $1,000. - Foto ihsan NUR REIQAH MOHD RAMLI

Idea bilik bertema itu tercetus daripada percutian keluarga mereka ke Hong Kong Disneyland.

Pengalaman menginap di bilik bertema Marvel di sana membuatkan anak sulung mereka, Muhammad Faiq Taqris Amirul Haidy, empat tahun, dan adiknya, Muhammad Faliq Khalis Amirul Haidy, dua tahun, teruja dan aktif.

“Melihat betapa gembiranya mereka berada di dalam bilik Marvel di sana, kami tahu kami perlu ‘membawanya pulang’. Kami mahu bilik tidur mereka menjadi ruang yang sama-sama menarik dan memberi rasa selamat,” jelas Cik Reiqah, yang juga menjadikan projek ini hadiah kejutan ulang tahun keempat anak sulungnya pada Oktober.

“Inilah ‘umpan’ terbaik untuk dia tidur bersendirian. Inilah masanya untuk dia mula berdikari,” tambah pendidik prasekolah itu.

Projek tersebut menelan kos sekitar $1,000, termasuk kos katil dengan gelongsor dan tilam.

Projek DIY bilik itu mengambil masa sekitar tiga minggu untuk memasang semua barangan hiasan.
Projek DIY bilik itu mengambil masa sekitar tiga minggu untuk memasang semua barangan hiasan. - Foto ihsan NUR REIQAH MOHD RAMLI

Bagi memenuhi naluri eksplorasi dua anak lelakinya yang aktif, bilik ini turut diselitkan elemen pergerakan seperti tangga panjat dan buaian kecil yang dibeli dalam talian daripada platform Taobao dan Shopee.

Projek DIY itu mengambil masa sekitar tiga minggu dan penuh dengan cabaran.

Pasangan itu pada mulanya ingin memasang kertas hias dinding (wallpaper) bergambar, tetapi cubaan mereka gagal apabila ia mula bergelembung.

Oleh sebab tidak mahu membayar kos upah pemasangan mural yang mahal, mereka beralih kepada melukis mural sendiri.

Walaupun hasilnya mendapat kritikan lucu daripada anak sulung mereka –“Ibu, kenapa Spider-Man gemuk dan hodoh?”– pasangan itu gigih menyelesaikannya.

Anak sulung, Muhammad Faiq Taqris Amirul Haidy, dengan alat buaian dalam bilik.
Anak sulung, Muhammad Faiq Taqris Amirul Haidy, dengan alat buaian dalam bilik. - Foto ihsan NUR REIQAH MOHD RAMLI

Cik Reiqah memberi lebih tumpuan kepada melukis dan menghias manakala suaminya, Encik Amirul, seorang jurutera, mengendalikan hal teknikal.

“Kami saling melengkapi. Seorang untuk seni, seorang lagi untuk kejuruteraan,” katanya kepada wartawan.

Cabaran utama yang dihadapi termasuk risiko membeli barangan lampu secara dalam talian yang menyebabkan lampu Spider-Man meletup dan perlu diganti serta diperbaiki sendiri oleh suami.

Cik Reiqah telah merakam hasil rekaan mereka itu lalu memuat naikkannya ke media sosial. Videonya di TikTok meraih lebih 20,000 tontonan dan rata-rata, netizen memuji daya kreatifnya dan juga bertanya di mana beliau membeli barangan hiasan ‘Marvel’.

View post on TikTok

Seorang pengguna TikTok @muffinmae berkata: Saya sangat teruja!! (Melihat hiasan ini), sekarang saya pun ingin membeli dan dapatkan barang hiasan untuk anak lelaki saya. Kongsi mana awak beli barang-barangnya!”

Kata Cik Reiqah lagi: “Nasihat saya, jadikan proses tidur itu sesuatu yang anak anda nanti-nantikan. Ini adalah pelaburan dalam perjalanan mereka menjadi berdikari.

“Dalam proses DIY, pasti akan ada perubahan rancangan. Jangan takut untuk berubah. Terus manfaatkan kreativiti anda,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg