Berita Netizen
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pencipta kandungan M’sia, Danishfirds, terharu sikap murah hati pengikut di S’pura

Beliau terima $250 daripada pengikut tidak dikenali bagi tampung belanja di S’pura
Oct 16, 2025 | 4:54 PM
Muhammad Danish Firdaus Ahmad Firdaus, influencer
Pencipta kandungan dari Kuala Lumpur, Encik Muhammad Danish Firdaus Ahmad Firdaus, atau lebih dikenali sebagai ‘danishfirds’ di media sosial, menerima pemberian wang sebanyak $250 daripada seorang pengikutnya di Singapura untuk menampung perbelanjaannya di sini. - Foto ihsan MUHAMMAD DANISH FIRDAUS AHMAD FIRDAUS

Ramai pengguna media sosial mungkin memilih untuk memuat naik kandungan yang dirancang dan sudah disunting ke wadah tersebut.

Namun, bagi pencipta kandungan dari Malaysia, Encik Muhammad Danish Firdaus Ahmad Firdaus, 26 tahun, beliau memilih untuk merakam kandungan tanpa skrip dan tanpa disunting – atau lebih dikenali sebagai pengalaman ‘raw’ yang tidak ditapis.

Pendekatan Encik Danish, atau lebih dikenali sebagai ‘danishfirds’ di media sosial, dalam mencipta kandungan ‘live’ di Singapura baru-baru ini mempertemukannya dengan seorang pengikut di Singapura yang menyentuh hatinya dengan sikap murah hati.

Lelaki itu menghantar mesej langsung (DM) kepada Encik Danish di media sosial, menyatakan hasrat ingin berjumpa selepas sesi ‘live’ beliau berakhir kira-kira 3 pagi pada 11 Oktober lalu di Kompleks Fu Lu Shou, Rochor Road.

Tanpa disangka, lelaki tersebut memberinya $250.

View post on Instagram
 

Berkongsi dengan Berita Harian (BH), Encik Danish berkata beliau berada di Singapura untuk menghasilkan kandungan video mencari penjaja atau perniagaan kecil yang mungkin meraih manfaat daripada usahanya menguar-uarkan kisah mereka di media sosial.

“Malam itu (10 Oktober) saya ke Singapura. Kita buat cara ‘koboi’, beli tiket bas sehala sahaja.

“Sejurus sampai, saya buat ‘live’ waktu malam di Bugis, depan McDonald’s di Queen Street.

“Selambalah dengan pakai singlet, seluar bermuda.

“Saya pun ceritakan kepada netizen yang saya jumpa tempat penginapan berharga RM300 ($92) di Bugis, dan kalau saya tinggal sampai Isnin, belanjanya cecah RM1,200.

“Lepas itu, ada abang ni komen cakap, ‘Dik baca your DM’. Tapi saya masih buat ‘live’.

“Selepas ‘live’ tersebut, abang itu mesej lagi. Dia cakap lagi 10 minit dia sampai Bugis. Dia nak bagi saya $200, atau kira-kira RM700.

“Saya tak kenal abang ni tapi duit itu bolehlah saya guna untuk belanja di sini,” cerita anak ketiga dalam enam beradik itu, yang turut ditemani rakannya dalam perjalanan ke Singapura.

Encik Danish meminta rakannya merakam detik pertemuan itu – sejajar dengan pendekatannya memuat naik kandungan tanpa tapisan.

Encik Muhammad Danish Firdaus Ahmad Firdaus berjumpa dengan pengikutnya di Singapura yang ingin menemuinya dan memberinya $200, berhampiran hotel di luar Kompleks Fu Lu Shou pada dinihari 11 Oktober.
Encik Muhammad Danish Firdaus Ahmad Firdaus berjumpa dengan pengikutnya di Singapura yang ingin menemuinya dan memberinya $200, berhampiran hotel di luar Kompleks Fu Lu Shou pada dinihari 11 Oktober. - Foto TANGKAP LAYAR INSTGRAM MUHAMMAD DANISH FIRDAUS AHMAD FIRDAUS

Baginya, rakaman itu juga ibarat jaringan keselamatan memandangkan beliau berada di negara asing dan akan berjumpa dengan seorang yang tidak dikenali pada waktu dinihari.

“Abang itu sampai dengan motor, dia seakan elak pandang kamera dan terus bagi saya $200.

“Saya pun nak tahu nama dia, nak kenal dulu tapi abang tu memang nak cepat.

“Saya tanya ‘Untuk apa bang (bagi duit ni)?’

“Dia menjawab ‘Ah ni buat belanja-belanja’ dan kemudian beri saya tambahan $50,” singkap Encik Danish, yang juga telah memuat naik pengalamannya itu ke media sosial pada 12 Oktober.

Dalam videonya itu, Encik Danish juga dilihat melakukan sujud syukur di luar Kompleks Fu Lu Shou, setelah menerima wang tersebut sambil berkata, “Allah murahkan rezeki, terima kasih, syukur ya Allah, syukur”.

Encik Muhammad Danish Firdaus Ahmad Firdaus bersujud syukur di luar Kompleks Fu Lu Shou setelah menerima wang sebanyak $250 daripada warga Singapura pada dinihari 11 Oktober.
Encik Muhammad Danish Firdaus Ahmad Firdaus bersujud syukur di luar Kompleks Fu Lu Shou setelah menerima wang sebanyak $250 daripada warga Singapura pada dinihari 11 Oktober. - Foto TANGKAP LAYAR INSTAGRAM MUHAMMAD DANISH FIRDAUS AHMAD FIRDAUS

Video di TikTok dan Instagram itu telah menerima lebih 500,000 tontonan dan meraih lebih 23,000 tanda suka atau ‘like’.

Seorang pengguna TikTok, D E E, berkata:

“10 tahun saya kerja di Singapura, orang Singapura memang jenis tak kedekut. Sebab itu rezeki mereka melimpah.”

Pengguna Instagram, qalbi_amor, juga berkongsi:

“Singapura ke Malaysia, kita serumpun. Mana-mana nampak susah, sama-sama kongsi rezeki. Biar Allah swt sahaja balas. Respect abang ni tak tunjuk muka.”

BH telah cuba menghubungi lelaki berkenaan namun beliau tidak mahu ditemu bual dan ingin merahsiakan identitinya.

Menurut Encik Danish, setelah sesi ‘live’ dan video itu tular, lebih ramai orang Singapura tampil menghulurkan bantuan.

Ada yang beri coklat dan ada juga yang menaja penginapannya di Crowne Plaza Changi Airport, terletak di Lapangan Terbang Changi.

Walaupun beliau terima sokongan positif, terdapat juga komen negatif yang berkata:

“Kau miskin sangat ke? RM300 pun tak mampu.”

Ada yang tulis, “Itulah budak sekarang travel tak buat kajian dulu”.

“Setiap pencipta kandungan ada tujuan yang berlainan.

“Ada yang datang ke Singapura memang dah rancang nak reviu makanan di Wingstop, tapi saya suka buat kelainan – saya cari tempat yang berbeza,” ujar Encik Danish.

Beliau mula menghasilkan kandungan di media sosial sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia.

Meskipun berkelulusan Sarjana Muda Teknologi Maklumat daripada Universiti Antarabangsa UNITAR di Petaling Jaya, Malaysia, Encik Danish membulatkan tekad untuk mengejar cita-cita awalnya, iaitu bidang filem, dan kini menumpukan perhatian sepenuhnya kepada penciptaan kandungan digital.

Beliau mula membuat video pemasaran percuma untuk gerai-gerai di jalanan, dengan niat ingin membantu perniagaan mereka.

Antara kandungannya yang telah menjadi tular – meraih lebih sejuta tontonan dan membantu peniaga – adalah video mengenai gerai pak cik menjual sate semasa PKP di Kampung Bahru.

View post on TikTok

Kini, Encik Danish bercadang mengembangkan kandungannya ke negara-negara jiran seperti Brunei dan Thailand.

Singapura merupakan negara pertama beliau memulakan misi rakaman video tanpa ditapis, agar orang di Malaysia juga berpeluang menyokong dan melawat tempat yang telah dikongsikannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg