Remaja 13 tahun pesakit paling muda di S’pura jalani pembedahan bariatrik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Remaja 13 tahun pesakit paling muda di S’pura jalani pembedahan bariatrik

Mar 19, 2026 | 11:08 AM

Remaja 13 tahun pesakit paling muda di S’pura jalani pembedahan bariatrik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Bersikap positif, Danish Irfanshah berharap masa depannya lebih baik dengan perubahan pada tubuh badannya.
Bersikap positif, Danish Irfanshah berharap masa depannya lebih baik dengan perubahan pada tubuh badannya. - Foto SITI BADARIYAH ISMAIL

Umurnya baru 13 tahun, tetapi berat badannya sudah mencecah 145 kilogram (kg).

Akibatnya, Danish Irfanshah Azwan Shah terpaksa menjalani pembedahan bariatrik iaitu prosedur mengecilkan perut untuk menurunkan berat badan.

Ini menjadikan remaja tersebut pesakit paling muda untuk menjalani pembedahan bariatrik di Singapura, menurut Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), ibu Danish, Cik Nur Azreenawaty Mohamed Hamed, 43 tahun, berkongsi bahawa pembedahan itu dilakukan sebagai pilihan terakhir setelah pelbagai usaha dilakukan untuk mengawal berat badan anak sulungnya.

“Kami telah merujuk kepada pakar sejak dia di darjah lima, ketika berat badannya sudah mencecah 78 kg. Banyak usaha telah kami lakukan. Danish sudah melalui pelbagai ujian perubatan, tetapi tiada perubahan. Malah, berat badannya semakin meningkat.

“Tentunya kami rasa takut sekiranya pembedahan itu tidak berhasil, tetapi kami perlu mencuba sesuatu demi masa depannya.”

Cik Azreenawaty merupakan seorang juruterapi urut selepas bersalin, yang juga pernah menjalani pembedahan serupa pada tahun 2014.

Lazimnya di Singapura, pembedahan bariatrik dilakukan khusus untuk orang dewasa.

Namun menurut Cik Azreenawaty, pakar perubatan sebulat suara menyarankan pembedahan itu atas beberapa risiko kesihatan.

Menurut Ketua dan Konsultan Kanan Perkhidmatan Perubatan Remaja KKH, Dr Elaine Chew, Danish hanya dipertimbangkan untuk pembedahan bariatrik selepas penilaian rapi selama bertahun-tahun.

Faktor utama termasuk obesiti teruk yang berterusan dengan Indeks Jisim Tubuh (BMI) mencapai 50.5 kg per meter persegi, kegagalan rawatan intensif seperti ubat dan intervensi gaya hidup, kehadiran komplikasi serius seperti apnea tidur obstruktif (gangguan tidur kronik apabila pernafasan terhenti disebabkan saluran pernafasan tersumbat), rintangan insulin dan hati berlemak, serta risiko kesihatan jangka panjang yang tinggi akibat sejarah keluarga, jelasnya.

“Yang penting, keputusan tersebut tidak dibuat berdasarkan berat badan semata-mata. Pembedahan itu dipertimbangkan bukan hanya kerana berat badannya ketika itu, tetapi kerana keadaannya tidak memberi respons terhadap rawatan perubatan dan membawa risiko tinggi penyakit metabolik serius sepanjang hayat tanpa intervensi yang lebih berkesan dan mampan,” kata Dr Chew.

Lantas, pada 10 Mac lalu, Danish menjalani pembedahan di KKH.

Anak sulung dalam tiga beradik itu berkata beliau berasa positif apabila berat badannya sudah susut lebih daripada 7 kg sejak berada di hospital.

Meskipun terdapat sejarah keluarga di mana ibu dan nenek Danish pernah menjalani pembedahan bariatrik, kedua-dua adik Danish yang berumur lapan dan 10 tahun bertubuh kecil dan dianggap normal.

“Saya tidak sabar untuk memiliki tubuh yang normal,” kata Danish, yang kerap diusik dan dipersendakan rakan-rakannya kerana berat badannya.

Beliau juga sedar bahawa berat badan mengganggu pergerakan hariannya.

Cerita Danish dikongsikan oleh neneknya, Cik Siti Badariah Ismail, 63 tahun, di laman TikToknya, @shashaismail928.

Cik Badariah telah merakam beberapa video tentang perjalanan Danish sebagai perkongsian.

“Danish orangnya aktif dan suka terlibat dalam pelbagai kegiatan serta sukan, tetapi berat badannya menjadi penghalang utama. Dia suka bersilat, tetapi tidak dapat terus bersaing kerana beratnya melebihi had kategori umurnya. Dia juga gemar muzik, tetapi kerana sering diejek, dia tidak meneruskannya di sekolah. Jadi saya sendiri yang menanggung kos guru piano datang mengajarnya,” katanya kepada BH.

Sebelum pembedahan, Danish perlu membuat persiapan seperti menjalani diet cecair, yang dipermudahkan lagi kerana bertepatan dengan bulan Ramadan.

Cik Azreenawaty akui bahawa ketika bulan puasa, ia lebih mudah untuk mengawal pemakanan anaknya dan mempersiapkan dia untuk pembedahan.

Dr Chew juga menekankan bahawa usia semata-mata bukan penghalang untuk pembedahan bariatrik, namun ia memerlukan tahap perhatian yang lebih tinggi serta pertimbangan teliti melalui penilaian pasukan pelbagai disiplin.

KKH mengesahkan Danish bukanlah pesakit remaja pertama yang melalui pembedahan bariatrik, tetapi beliau adalah pesakit paling muda.

“Pembedahan bariatrik bukanlah satu intervensi tunggal, tetapi sebahagian daripada penjagaan berterusan sepanjang hayat bagi obesiti, yang merupakan keadaan kronik,” kata Dr Chew.

Menurut Konsultan Jabatan Pembedahan Pediatrik KKH, Dr Ong Han Lim, pasukannya telah menjalankan pembedahan ‘laparoscopic sleeve gastrectomy’ (LSG) ke atas Danish, iaitu sejenis pembedahan tusukan kecil atau ‘keyhole surgery’ yang mengecilkan saiz perut supaya pesakit cepat merasa kenyang dengan jumlah makanan yang lebih sedikit.

“Teknik pembedahan bagi remaja adalah serupa dengan dewasa, tetapi pendekatannya lebih berhati-hati dan menyeluruh. Sebelum pembedahan, pesakit menjalani penilaian terperinci oleh pasukan pelbagai disiplin termasuk pakar perubatan remaja, pakar bedah, pakar diet, psikologi, dan pakar anestesia.

“Mereka juga meluangkan masa yang banyak untuk memberi kaunseling kepada pesakit dan keluarga supaya memahami perubahan gaya hidup jangka panjang yang diperlukan, seperti tabiat pemakanan sihat, aktiviti fizikal, dan pemantauan susulan secara berkala,” kata Dr Ong.

Kini, Danish sedang dalam proses pemulihan di rumah selepas keluar dari hospital dan mengamalkan diet cecair selama dua minggu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg