Keputusannya untuk menjalani pembedahan bariatrik bukan tentang rupa mahupun jalan pintas menjadi kurus.
Sebaliknya ia adalah pilihan kehidupan, didorong oleh rasa takut lebih mendalam, serta tanggungjawab sebagai anak tunggal untuk menjaga ibunya yang menghidap sakit angin ahmar sejak dua dekad lalu.
Cik Nurmadiha Ishak, 35 tahun, telah berjuang bertahun-tahun dengan kitaran berat badan yang naik dan turun ibarat permainan ‘yo-yo’.
Berat badannya mudah melambung kembali melepasi 100 kilogram dan beliau akui masalah itu bukan sahaja berpunca daripada genetik keluarga, tetapi kebiasaan asyik makan ketika rasa tertekan daripada kerja ataupun masalah peribadi.
“Saya telah mencuba segala-galanya. Daripada pil menguruskan badan, pemakanan keto (sekatan pengambilan karbohidrat), berpuasa, akupunktur dan macam-macam lagi.
“Saya boleh kurus tapi berat badan akan naik lagi selepas enam bulan. Kalau saya sedih atau stres, makanan dapat menyenangkan hati saya,” ujarnya yang berat badannya pernah mencecah hingga 114 kilogram pada 2022.
Titik kesedaran karyawan dalam bidang teknologi maklumat itu untuk turunkan berat badannya tercetus pada pertengahan 2024 apabila beliau mengalami sakit dada yang berlarutan selama dua minggu.
Beliau mendapati dirinya sukar bernafas dan langsung ke jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E).
Meskipun doktor merumuskan ia bukan masalah jantung, kejadian itu meninggalkan kesan yang mendalam, ibarat amaran mengenai kesihatannya.
Di samping itu, Cik Nurmadiha juga mengalami masalah kitaran haid yang tidak konsisten.
Menurutnya, kadang-kadang ia hanya datang setahun sekali dan beliau pernah diberitahu doktor bahawa kitaran haidnya juga berkait rapat dengan obesiti, atau kegemukan.
“Saya mula berfikir. Saya anak tunggal. Jika saya jatuh sakit, siapa yang akan menjaga ibu? Saya tidak mampu mengalami satu lagi ‘amaran’ kesihatan,” ujar beliau yang kemudian membulatkan tekad untuk kekal sihat.
Beliau mendapatkan rawatan dan kemudian dirujuk kepada Kampus Woodlands Health untuk pemeriksaan lanjut.
Pasukan bariatrik hospital tersebut mengesyorkan prosedur pembedahan laparoskopik bypass gastrektomi, yang mana perut dikecilkan menjadi kantung kecil dan sebahagian usus kecil dipintas (bypass).
“Doktor menjelaskan bahawa pembedahan ini lebih sesuai untuk saya bagi mengelakkan komplikasi gastrik pada masa depan.
“Keputusan ini meyakinkan saya bahawa mereka benar-benar mementingkan keselamatan dan kesihatan saya pada jangka panjang,” katanya.
Pembedahan itu diadakan pada Disember 2024 dan Cik Nurmadiha memahami bahawa perjuangan sebenar terletak pada disiplin selepas pembedahan.
Dua minggu sebelum pembedahan, Cik Nurmadiha harus menjalani pemakanan protein dalam bentuk cecair sepenuhnya.
Ini untuk mengecilkan saiz hati dan memudahkan prosedur.
Cabaran itu semakin memuncak dari segi mental selepas pembedahan kerana beliau tetap harus mengikuti pemakanan cecair selama sekitar sebulan dan dengan perlahan mula makan makanan lembik.
“Fasa selepas pembedahan amat sukar sebab tak dapat makan apa-apa. Bayangkan seumur hidup, anda suka makan tapi lepas pembedahan, tak boleh makan. Bubur pun tak boleh. Lebih kepada pemakanan cecair sahaja.
“Pada masa itu saya cekalkan hati untuk terus berdisiplin dengan pemakanan saya,” singkap Cik Nurmadiha mengenai perjuangannya itu.
Setelah hampir setahun sejak pembedahan bariatriknya, dan dengan disiplin dan mengamalkan gaya hidup sihat, berat badan Cik Nurmadiha kini 74 kilogram.
Beliau akur lebih aktif, gembira dan bertambah keyakinan dirinya.
“Selepas pembedahan dan meneruskan disiplin pemakanan cecair, saya lihat di cermin dan tidak percaya itu saya.
“Saya seperti orang yang lain. Kini saya lebih yakin keluar, saya ingin bersenam dan bergiat aktif, lebih mesra bergaul dengan orang lain dan saya juga sekarang mula masuk ke pejabat berbanding bekerja di rumah sahaja,” cerita beliau.
“Merenung semula pengalaman itu, saya tidak menyesal keputusan ini. Meskipun terdapat cabarannya, saya akan melaluinya lagi jika perlu,” tambahnya lagi yang bersyukur dan terharu dengan kehidupan barunya.
Konsultan kanan Endokrinologi dari Hospital Woodlands Health, Dr Tham Kwang Wei, adalah antara doktor yang merawat Cik Nurmadiha dan beliau menekankan bahawa rawatan kegemukan perlu ditangani pada peringkat awal.
“Apabila anda mencecah berat badan yang terlalu tinggi, ia sangat sukar untuk mengatasi keadaan itu,” kata Dr Tham.
Beliau menyifatkan pembedahan bariatrik sebagai langkah yang drastik namun bermanfaat.
“Pembedahan adalah cara terbaik memulakan semula gaya hidup seseorang, kerana terpaksa. Namun, ia memerlukan persediaan menyeluruh terutama dari segi psikologi, kerana mereka mesti faham apa yang mereka akan hadapi dan juga sokongan keluarga.
“Selepas pembedahan, ia penting untuk mengekalkan tabiat yang baik. Pesakit juga harus datang semula untuk pemeriksaan susulan dan terus berhubung dengan penyedia penjagaan kesihatan mereka,” nasihat Dr Tham.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg