Berita Netizen
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rumah pempengaruh dijilat api 4 hari sebelum berangkat tunai umrah

Dec 4, 2025 | 4:53 PM
Cik Zafirah Zakaria atau lebih dikenali sebagai @skincarezaffy di TikTok dan Instagram tiba di Mekah untuk menunaikan umrah walaupun rumah terjejas akibat kebakaran.
Cik Zafirah Zakaria atau lebih dikenali sebagai @skincarezaffy di TikTok dan Instagram tiba di Mekah untuk menunaikan umrah walaupun rumah terjejas akibat kebakaran. - Foto TANGKAP LAYAR TIKTOK @SKINCAREZAFFY

Hanya empat hari menjelang keberangkatan ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah, pempengaruh kecantikan, Zafirah Zakaria, yang lebih dikenali sebagai @skincarezaffy di TikTok dan Instagram, diuji dengan hebat apabila kediamannya dilanda kebakaran pada 25 November lalu.

Zaffy, atau Cik Zafirah, berkongsi detik-detik menyedihkan itu melalui video yang dimuat naik dari luar rumah pangsanya. Rakaman tersebut menunjukkan api sedang marak dengan asap tebal, sementara menunggu ketibaan anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Dalam video tersebut, terdengar jelas suara tangisan kanak-kanak yang sedang ditenangkan oleh Cik Zafirah. “Asap masih banyak...,” kata salah seorang anaknya, mencerminkan perasaan panik melihat rumah mereka dalam kebakaran.

Meskipun kebakaran itu memusnahkan sebahagian besar harta benda mereka, keluarga ini menerima ‘keajaiban’ yang dikongsi oleh suami Cik Zafirah, Encik Muhammad Al-Qaasimy Abdul Rahman, 33 tahun, yang juga bekas pemain bola sepak negara.

Melalui catatan di Instagram, Encik Al-Qaasimy mendedahkan bahawamereka telah disarankan untuk “melupakan saja” hasrat untuk menunaikan umrah, kerana pasport mereka kemungkinan besar telah musnah.

“Tetapi, dengan kuasa Allah, pasport kami terselamat, dan kami masih dapat menyambut hari lahir [isteri] di sana,” tulis Encik Al-Qaasimy, sambil menunjukkan rasa syukur dan penghargaan kepada isterinya yang kekal kuat menghadapi ujian itu.

Dalam respons kepada Berita Harian pada 6 Disember, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata pihaknya diberitahu tentang satu kebakaran pada sekitar 11.20 pagi 25 November yang berlaku di 3 Champions Way.

Kebakaran itu melibatkan sebuah unit di tingkat tujuh.

“SCDF berjaya memadamkan api menggunakan jet air. Tiada kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat,” kata SCDF.

Keluarga tersebut telah merancang perjalanan umrah itu bertepatan dengan ulang tahun kelahiran Cik Zafirah yang ke-37 tahun di Makkah pada 3 Disember.

Cik Zafirah, yang berasal dari Malaysia dan terkenal sebagai penjual produk kecantikan secara langsung di media sosial, mempunyai pengikut yang ramai, iaitu 85,000 di TikTok dan 17,900 di Instagram.

Akibat insiden itu, Cik Zafirah terpaksa menghentikan sementara sesi video jualan sedemikian di TikTok.

Namun begitu, dalam video terbarunya, Cik Zafirah melafazkan ucapan terima kasih atas sumbangan dan sokongan yang tidak disangka diterimanya daripada rakan-rakan dan para pengikut.

Bantuan itu termasuk pakaian dan keperluan harian, membolehkan mereka meneruskan perjalanan umrah dengan tenang.

“Benda-benda yang saya tidak terfikir, saya terima daripada teman-teman, seperti barang keperluan kecantikan, baju abaya, stoking tangan dan kaki, sejadah dan macam-macam lagi. Semua itu amat bermakna untuk saya, kerana dalam keadaan huru-hara selepas kebakaran dan persiapan untuk ke umrah,” ujarnya dalam muatan TikTok.

Setakat ini, Cik Zafirah memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai kejadian itu kepada Berita Harian (BH) yang telah menghubunginya. Beliau juga belum berkongsi maklumat tentang punca kebakaran atau lokasi kediamannya.

Meskipun berdepan ujian yang berat, ramai pengikut media sosial memuji sikapnya yang sabar dan positif.

“Kesabaran dan imanmu memang ‘another level’. Semoga Allah mudahkan urusan kamu sekeluarga,” tulis seorang pengikut TikTok, @nisaamadsyed.

Ketika laporan ini ditulis, Cik Zafirah dan keluarga sedang berada di Arab Saudi untuk menunaikan umrah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg