Siri bungkusan misteri yang dihantar ke rumah seorang penduduk Yishun menimbulkan persoalan sama ada ia sekadar kesilapan penghantaran atau sebahagian daripada satu kes gangguan yang lebih meluas.

Penduduk itu, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Ridzwan, pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa apabila menerima bungkusan pertama yang dialamatkan kepada seorang individu bernama Melayu yang tidak dikenalinya, namun menggunakan alamat rumahnya.

“Pada mulanya, kami menyangka bungkusan itu sebenarnya ditujukan kepada orang lain, tetapi tersilap diletakkan alamat unit saya.

“Kami hanya menganggap begitu,” kata lelaki berusia 25 tahun itu ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Menurut Encik Ridzwan, beliau dan isterinya menerima sebanyak tiga bungkusan misteri sepanjang September.

Bungkusan pertama, katanya, kecil dan nipis, kira-kira sebesar telefon bimbit, tanpa sebarang tulisan atau tanda yang mencurigakan pada bahagian luarnya.

Oleh kerana tiada alamat pemulangan tertera, pasangan itu memutuskan untuk memulangkannya melalui SingPost.

Namun, Encik Ridzwan berkata bungkusan misteri kedua yang diterima kira-kira seminggu kemudian mula membuatnya berasa curiga.

Menurutnya, bungkusan itu lebih besar dan mengeluarkan serpihan tanah atau pasir apabila digoncang.

“Saya rasa hendak buka bungkusan kedua itu kerana ini kali kedua ia dihantar. Apabila saya menggoncang bungkusan itu, saya nampak tanah keluar dari bahagian tepinya.

“Jadi, naluri saya memberitahu supaya saya buka bungkusan itu di luar rumah dan merakam kejadian itu,” kata jurutera pesawat itu.

Menurutnya, bungkusan itu mengandungi satu objek yang dibaluti dan dikelilingi bunga kering.

Encik Ridzwan berkata objek itu pada awalnya kelihatan seperti kek coklat yang telah hancur, selain mempunyai tanda berwarna merah.

Video beliau membuka bungkusan misteri itu meraih sekitar 76,500 tontonan di TikTok dan mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan warganet, termasuk dakwaan bahawa kandungan itu mungkin mempunyai kaitan dengan sihir atau ilmu hitam.

Ada juga pengguna TikTok yang bertanya sama ada sesuatu telah berlaku kepada Encik Ridzwan atau keluarganya sebelum bungkusan tersebut diterima, tetapi beliau berkata tiada sebarang kejadian luar biasa.

Encik Ridzwan kemudian membuang bungkusan tersebut.

Namun, sehari kemudian, beliau menerima satu lagi bungkusan misteri – kali ini dalam pembungkus kecil berwarna merah jambu.

Berbeza daripada dua bungkusan sebelumnya, beliau berkata bungkusan ketiga itu mempunyai alamat pemulangan serta nombor telefon.

Encik Ridzwan kemudian menghubungi individu yang butirannya tertera pada bungkusan tersebut.

Daripada perbualan itu, beliau mendapati wanita berkenaan juga mendakwa pernah menerima bungkusan serupa dan percaya dirinya menjadi mangsa gangguan.

Menurutnya, wanita itu menetap di Chai Chee, manakala ibunya tinggal di blok yang sama dengan Encik Ridzwan.

Menurut Encik Ridzwan, antara kandungan bungkusan yang diterima wanita tersebut ialah kertas yang dikaitkan dengan upacara sembahyang atau pengebumian masyarakat Cina yang mempunyai tanda berwarna merah.

Menurut Encik Ridzwan, wanita berkenaan menerima  barangan seperti kertas sembahyang atau kertas berkaitan upacara pengebumian masyarakat Cina yang mempunyai tanda berwarna merah.
Menurut Encik Ridzwan, wanita berkenaan menerima barangan seperti kertas sembahyang atau kertas berkaitan upacara pengebumian masyarakat Cina yang mempunyai tanda berwarna merah. - Foto RIDZWAN

Maklumat itu, kata Encik Ridzwan, membuatnya mengesyaki terdapat kaitan antara bungkusan misteri yang diterimanya dengan wanita berkenaan, lebih-lebih lagi selepas dimaklumkan bahawa ibu wanita itu merupakan antara individu yang dipercayai menjadi penerima sebenar beberapa bungkusan tersebut.

Encik Ridzwan kemudian membuat laporan polis yang telah dilihat BH.

Menurut Encik Ridzwan, pihak polis turut membuka bungkusan ketiga bersamanya.

Beliau berkata di dalamnya terdapat sekeping kertas kuning yang dilipat, dengan tulisan Jawi dan tanda berwarna merah.

Encik Ridzwan berkata beliau pada mulanya menyangka tanda merah itu mungkin darah, namun perkara tersebut belum disahkan.

Beliau menambah bahawa setakat ini, pihak polis belum memberi sebarang perkembangan atau penjelasan lanjut mengenai kejadian itu.

Di samping itu, pemilik UFR Essentials, Ustaz Fadhly Rosli, difahamkan menghubungi Encik Ridzwan secara peribadi selepas melihat perkongsiannya di media sosial dan meneliti gambar kandungan bungkusan itu dengan lebih jelas.

Menurut Encik Ridzwan, Ustaz Fadhly berkata tulisan pada kertas berkenaan tidak cukup jelas untuk dikenal pasti.

Namun, berdasarkan barang lain yang dilihatnya, Encik Ridzwan berkata beliau mentafsirkannya sebagai mempunyai kaitan dengan apa yang disifatkannya sebagai ilmu hitam yang bertujuan memudaratkan seseorang.

Tafsiran itu bagaimanapun merupakan pandangan Ustaz Fadhly dan belum dapat disahkan secara bebas.

Encik Ridzwan berkata beliau tidak menerima sebarang bungkusan misteri baharu sejak kejadian tersebut.

Menurutnya, beliau turut mengambil beberapa langkah berjaga-jaga berdasarkan saranan pengguna media sosial, namun tidak mendapatkan khidmat mana-mana individu untuk melakukan proses pembersihan atau bacaan tertentu di rumahnya.