Salun Eri Su labuh tirai pada Mac, beri laluan perniagaan baru
Salun Eri Su labuh tirai pada Mac, beri laluan perniagaan baru
Selepas lebih lima tahun mengendalikan Eri Su Salon, pendandan rambut selebriti tempatan Eri Su Muhammad Fadhil Suhairi, yang lebih dikenali sebagai Eri Su, mengumumkan beliau akan menutup cawangan salunnya di Orchard Gateway bagi memberi tumpuan kepada “pertumbuhan”.
Namun, beliau memberi jaminan bahawa beliau masih kekal dalam industri.
Pengumuman itu dikongsi dalam video yang dimuat naik di Instagram dan TikTok di mana Eri Su menjelaskan ia bukanlah satu keputusan mudah.
“Ini bukanlah mesej yang mudah untuk dikongsikan. Namun, setelah beberapa tahun memberikan hidup, tenaga dan hati saya sepenuhnya ke salun ini, saya telah membuat keputusan untuk mengakhiri babak ini,” kata Eri Su sambil memberi jaminan beliau masih bergiat dalam industri, dan sedang memulakan lembaran baru.
Eri Su Salon yang bermula di Bali Lane di tengah-tengah pandemik pada Julai 2020 bersama rakan kongsi selebriti dan usahawan Jai Wahab yang juga pemilik perniagaan Karva Salon dan Karva Travel Group.
Salun itu kemudian menambah cawangan di Orchard Gateway untuk memberi akses kepada lebih ramai pelanggan di tengah-tengah kota pada 2022, sebelum cawangan Bali Lane ditutup lebih kurang enam bulan kemudian.
Menurut Eri Su, cawangan Orchard Gateway akan melabuhkan tirai pada awal Mac ini setelah beroperasi selama hampir empat tahun.
Eri Su menjelaskan bahawa keputusan menutup salun itu dibuat bagi memberi fokus kepada perkembangan serta usaha penjenamaan semula dan ini bukanlah satu langkah mudah buatnya.
Sekitar Disember 2025, Eri Su sudah pun mengambil langkah tersebut dengan pembukaan salun baru, Sa’Yang Hair yang terletak di pusat membeli-belah White Sands, di Pasir Ris.
“Melangkah ke hadapan, saya ingin menebarkan sayap dan mempunyai misi tersendiri untuk mengembangkan jenama perniagaan dan fokus kepada pembaharuan,” kata Eri Su yang bermula dalam bidang pendandanan rambut sejak 2009.
Ramai selebriti dan peminat meninggalkan komen di Instagram beliau, menyatakan bahawa mereka akan merinduinya dan akan terus mencarinya selepas ini.
Antaranya ialah pelakon dan selebriti tempatan Aty Malek, Lydia Izzati, Fauzie Laily, Sabrina Nasir dan Wirda Elisa.
“Saya akan pergi ke mana pun awak pergi... Saya doakan awak. Sangat teruja untuk babak seterusnya!” kata Aty Malek dalam komennya.
Pelakon dan selebriti Malaysia, Awal Ashaari juga turut meninggalkan komen dalam bahasa Inggeris, “All the best my brother!”
Dalam hantaran video itu, Eri juga mengaku beliau akan mengenang memori bersama pelanggan-pelanggan yang telah banyak menyokongnya.
“Dari awal pagi, ke lewat malam, terlalu banyak gelak ketawa, perkongsian yang telah membentuk siapa diri saya hari ini. Pada setiap pelanggan yang telah memberikan kami kepercayaan dengan rambut anda, terima kasih.
“Saya harap anda tetap akan menyokong saya sebagai usahawan, dan sebagai pendandan rambut yang anda percayai,” tambah Eri Su.
Pelanggan yang telah membeli pakej dari salun Eri Su diberi jaminan pembelian mereka akan diberi keutamaan dan mereka boleh menghubungi Eri Su sendiri untuk mendapatkan maklumat lanjut.

