Topik diikuti
Pergi ke BHkuSegmen laungan azan dalam lawatan Pulau Ubin tarik perhatian netizen
Segmen laungan azan dalam lawatan Pulau Ubin tarik perhatian netizen
Peserta, termasuk bukan Islam alu-alukan segmen, meskipun penganjur terima aduan
Segmen laungan azan dalam lawatan Pulau Ubin tarik perhatian netizen
Satu segmen laungan azan dalam lawatan warisan di Pulau Ubin menarik perhatian netizen, dengan beberapa peserta, termasuk golongan bukan Islam, mempertahankan serta mengalu-alukan segmen itu sebagai pengalaman bermakna.
Reaksi itu timbul sedang penganjur lawatan Malay Kampung Heritage Tour, Encik Nor Syazwan Abdul Majid, mendakwa telah menerima aduan mengenainya.
Dalam satu hantaran di Instagram, Encik Nor Syazwan, memberi respons terhadap satu aduan yang dibuat terhadapnya pada 2024 kepada Lembaga Taman Negara (NParks) berhubung laungan azan yang dilakukan semasa lawatan itu.
Ruangan komen hantaran di Instagram tersebut kemudian dibanjiri mesej sokongan dan penghargaan daripada peserta terdahulu.
Antaranya ialah pengguna nama ‘gywneth.teo’ yang berkata:
“Sebagai seseorang yang tidak berpegang kepada agama tertentu, menyaksikan anda melaungkan azan benar-benar menyentuh hati saya. Ia satu penghormatan untuk mempelajari budaya dan warisan Melayu Islam serta masyarakat Orang Pulau daripada perspektif anda sendiri. Terima kasih kerana terus berkongsi walaupun berdepan situasi seperti ini.”
Pengguna nama ‘frouhaha’ pula berkata:
“Sebagai seseorang yang menyaksikannya sendiri dalam salah satu lawatan anda, itu benar-benar menjadi kemuncak hari saya. Anda membawa kami kembali ke suasana yang lebih sederhana dan damai, dan saya masih ingat bagaimana semua orang diam bagi menghormati detik itu. Terima kasih atas apa yang anda lakukan.”
Meskipun menerima aduan itu, Encik Syazwan berkata beliau akan terus mengekalkan segmen azan dalam lawatan tersebut bagi mendidik pengunjung mengenai warisan Melayu/Islam dan sejarah Pulau Ubin.
Beliau yang berusia 29 tahun itu meluahkan rasa penghargaannya kepada mereka yang tampil memberi sokongan terhadapnya.
Aktivis Pulau Ubin tersebut berkata bahawa melihat komen-komen yang memberi semangat benar-benar membantu beliau berasa kurang keseorangan ketika berdepan persoalan dan kritikan yang tidak dijangka.
Menurutnya lagi, maklum balas positif yang diterima menguatkan keyakinannya terhadap niat sebenar penganjuran lawatan tersebut, iaitu semata-mata untuk berkongsi warisan budaya mereka serta membantu golongan bukan Melayu dan bukan Islam memahami dengan lebih mendalam perkara-perkara yang membentuk budaya mereka.
Sebagai sebahagian daripada lawatan itu, pemuda tersebut lazimnya akan melaungkan azan pada akhir lawatan tatkala mereka sampai di bekas Masjid Pulau Ubin sebagai sebahagian pengalaman kebudayaan yang ingin diberikan kepada para peserta.
“Saya tidak dapat menafikan rasa kecewa apabila masih ada aduan dibuat atas dasar agama – terhadap saya, atau mungkin terhadap komuniti kami,” ujarnya.
Pekerja bebas itu berkata aduan tersebut dipercayai dibuat pada 2024, tetapi hanya dimaklumkan kepadanya pada 18 Mei lalu.
“Saya diberitahu bahawa individu tersebut meminta siasatan dijalankan terhadap saya disebabkan segmen laungan azan.
“Namun, NParks tidak memaklumkan perkara itu kepada saya sebelum ini kerana mereka telah menjelaskan kepada individu berkenaan bahawa azan tersebut dilakukan sebagai sebahagian daripada perkongsian mengenai budaya Melayu Islam,” katanya yang telah mengendalikan lawatan sedemikian sejak 2022.
Pihak NParks turut memberitahu Berita Harian (BH) bahawa mereka menerima aduan tersebut namun tidak meneruskan siasatan kerana laungan azan dijalankan sebagai perkongsian dalam sesi lawatan itu dan dilakukan secara wajarnya.
Encik Syazwan juga menegaskan bahawa sepanjang mengendalikan lawatan tersebut, tiada peserta pernah menyuarakan rasa kurang selesa malah, ramai yang kian menghargai elemen itu.
Beliau turut berpendapat bahawa aduan tersebut kemungkinannya dibuat oleh individu yang tidak menyertai lawatan itu kerana menurutnya, mereka yang hadir pasti memahami konteks sebenar laungan azan yang dilakukan.
Lawatan warisan Melayu ini yang seterusnya dijangka bakal berlangsung pada 20 Jun.
