“Tak takut ke?”

Itulah reaksi orang di sekelilingnya apabila Encik Ahmad Syakir Ahmad Khalis, 26 tahun, menyuarakan niat untuk berkhemah solo di Pulau Ubin.

Perasaan gentar itu tidak dapat disangkal, apatah lagi sebagai percubaan pertama.

Namun, Encik Syakir tetap cekal meneruskan rencananya.

“Satu atau dua jam pertama, saya berasa agak takut kerana belum biasa dengan suasana di tepi hutan,” katanya.

“Walaupun tidak mengalami sebarang gangguan, bunyi-bunyian dari dalam hutan membuatkan saya sukar terlelap,” tambahnya.

“Minda saya mula membayangkan pelbagai perkara, terutamanya kemungkinan munculnya hidupan liar,” ujar Encik Syakir tatkala mengimbau pengalaman pertamanya pada Februari itu.

Namun, seiring berjalannya waktu, kegelapan malam yang pada mulanya meresahkan terasa mendamaikan.

Akhirnya, beliau dibuai lena oleh deruan ombak.

Khemah Encik Ahmad Syakir Ahmad Khalis di Pulau Ubin.
Khemah Encik Ahmad Syakir Ahmad Khalis di Pulau Ubin. - Foto AHMAD SYAKIR AHMAD KHALIS

“Lain rasanya bila bangun tidur tanpa sesiapa di sisi.

“Biasanya bila bangun tidur di rumah, kita akan hidupkan lampu dan cari telefon.

“Tapi di luar, perkara pertama yang kita dengar adalah deruan ombak.

“Buka sahaja khemah, anda nampak matahari terbit dengan langit berwarna jingga, memang permulaan hari yang berbeza sama sekali,” ujarnya yang merupakan jurulatih peribadi bebas.

Pengembaraan solonya ini bukanlah keputusan yang dibuat semalaman.

Namun Encik Syakir sudah berkali-kali melakukan kegiatan berkhemah bersama rakan-rakannya sejak 2022.

Selain pantai di tanah besar Singapura, beliau gemar meneroka pulau di luar pantai Singapura, seperti Pulau Ubin dan Pulau Lazarus.

Baru-baru ini, beliau merakam pengalamannya berkhemah secara solo di akaun TikTok beliau, syakir_khalis.

Rakaman itu mencuri perhatian ramai yang minat untuk mengetahui lanjut tentang apa dan mengapa beliau melakukan demikian.

Bagi Encik Syakir, persediaan rapi adalah kunci utama kegiatan ini.

Contohnya, mereka yang berkhemah perlu memastikan pelan data aktif agar kekal berhubung.

Ini kerana, tapak perkhemahan Pulau Ubin terletak berhampiran sempadan Johor.

Lantas, kadangkala pengguna perlu mengaktifkan ‘data roaming’.

Di Pulau Lazarus pula, kebanyakan kawasan masih menerima rangkaian tempatan.

Namun, di beberapa lokasi tertentu, talian mungkin bertukar kepada rangkaian Malaysia atau Indonesia.

Perkara ini amat penting untuk tujuan komunikasi, ujar Encik Syakir.

Ditanya apa perkara yang paling disukai ketika berkhemah, beliau menjawab, sudah tentu pengalaman memasak.

“Kalau saya pergi dengan kawan-kawan, kami memang akan ada ‘pesta’ makan,” katanya.

“Kami membawa daging barbeku, pencuci mulut seperti smores (sejenis manisan dibuat daripada marshmallow, coklat dan biskut kering yang kemudian dipanggang), dan tong ais (cooler) supaya daging kekal sejuk beku sehingga keesokan harinya.

“Logistiknya memang agak leceh sedikit kerana kami perlu bawa pemanggang mudah alih sebagai tempat membakar,” tambahnya.

Kegiatan memasak semasa berkhemah.
Kegiatan memasak semasa berkhemah. - Foto AHMAD SYAKIR AHMAD KHALIS

Namun, pengalaman inilah yang mencipta kenangan indah berkhemah di tengah keindahan alam.

Berbekalkan minat dan kepakaran berkhemah, Encik Syakir menubuhkan Camp & Co, sebuah perniagaan logistik perkhemahan.

“Saya membekalkan keperluan utama, termasuk makanan, minuman, dan peralatan berkhemah yang sering tidak dimiliki orang ramai.

Ramai juga yang kurang arif tentang penyediaan makanan yang selamat apabila berada di alam semula jadi.

“Maka, dengan bayaran tertentu, saya akan menguruskan segalanya untuk mereka.

Ini merangkumi penyediaan khemah dan kerusi hinggalah memastikan bekalan makanan sedia ada,” jelasnya.

Selain itu, Encik Syakir turut menemani kumpulan ini, bertindak sebagai jurupandu yang membimbing mereka sepanjang proses perkhemahan.

Ditanya sama ada beliau mahu meneruskan kegiatan berkhemah ke luar negara, Encik Syakir berpendapat Singapura sudah memadai sebagai tempat beliau melepaskan diri daripada kesibukan kota.

Lebih-lebih lagi, kos perbelanjaan jauh lebih rendah apabila mengembara di dalam negara sendiri.

“Saya rasa orang ramai perlu lebih kerap keluar untuk menghargai alam semula jadi.

“Kita tidak akan sedar betapa rutin harian telah ‘mengurung’ kita sehingga kita merasai sendiri pengalaman berada di luar,” katanya.