Topik diikuti
Pergi ke BHkuSepupu wanita jadikan silat tradisi majlis kahwin keluarga sejak 2016
Lapan anggota ‘Srikandi Tok Casman’ bergilir-gilir mempersembahkan silat setiap kali saudara-mara mendirikan rumah tangga
Sepupu wanita jadikan silat tradisi majlis kahwin keluarga sejak 2016
Majlis perkahwinan Melayu sering dimeriahkan dengan persembahan joget, nyanyian dan ada kalanya paluan kompang.
Namun, bagi sekumpulan sepupu wanita ini, kasih sayang terhadap pasangan pengantin dizahirkan melalui seni bela diri, iaitu silat.
Sejak 2016, kumpulan yang dinamakan ‘Srikandi Tok Casman’ menjadikan persembahan silat sebagai tradisi keluarga setiap kali saudara-mara mereka melangsungkan perkahwinan.
Tradisi tersebut bermula apabila abang kepada salah seorang anggota kumpulan, Cik Aliyah Thahirah Ismail, melangsungkan perkahwinan pada 2016.
Ketika itu, Cik Aliyah, 31 tahun, mendapat idea untuk mengadakan persembahan silat memandangkan beberapa orang sepupunya turut mempelajari seni bela diri tersebut di politeknik masing-masing.
“Ketika abang saya berkahwin, saya fikir menarik juga kalau kami mengadakan persembahan silat, memandangkan ketika itu beberapa orang daripada kami memang mempelajari silat.
“Waktu itu, kami berempat dan kami sendiri merangka koreografi berdasarkan pengalaman serta apa yang telah kami pelajari melalui kegiatan kokurikulum (CCA) silat,” kata juru inai itu kepada Berita Harian (BH).
Cik Aliyah berkata minat mereka terhadap silat turut dipupuk melalui pengaruh sesama sendiri.
Menurut seorang lagi anggota kumpulan, Cik Sadiqatul Mardhiyyah Ahmad, 32 tahun, meskipun mereka menuntut di politeknik yang berbeza, mereka sering menyaksikan persembahan silat satu sama lain, sekali gus menimbulkan keinginan untuk mendalami seni Melayu itu.
“Kami semua menyertai silat di politeknik masing-masing. Apabila melihat satu sama lain membuat persembahan, kami berasa ia sesuatu yang menarik.
“Secara tidak langsung, kami saling mempengaruhi dan mendorong satu sama lain,” katanya, yang bertugas sebagai seorang guru.
Seiring dengan peredaran masa, kumpulan tersebut berkembang apabila sepupu-sepupu wanita yang lain turut menunjukkan minat yang sama.
Kini, lapan anggota berusia antara 26 dengan 34 tahun bergilir-gilir menghidupkan tradisi yang semakin sinonim dengan keluarga mereka.
Selepas persembahan sulung pada 2016, mereka mula menerima undangan daripada saudara-mara lain yang ingin menyaksikan persembahan serupa di majlis perkahwinan masing-masing.
Tidak terhad kepada majlis perkahwinan sahaja, kumpulan itu juga kadangkala diminta membuat persembahan ketika perhimpunan keluarga, menjadikan silat sebagai sebahagian daripada cara mereka meraikan kebersamaan.
“Selepas perkahwinan pertama itu, apabila tiba majlis perkahwinan saudara-mara kami yang lain, persembahan silat menjadi sesuatu yang sinonim dengan keluarga kami,” kata seorang lagi anggota, Cik Syafiqah Ryaihanny Sahrom, 34 tahun.
Malah, ibu kepada dua orang anak itu turut memuat naik video persembahan mereka baru-baru ini sempena majlis perkahwinan Cik Nur Syafiah Ryaihanny Sahrom, yang juga merupakan anggota kumpulan silat tersebut.
Menurutnya, setiap persembahan dirancang dan dikoreografikan sendiri oleh anggota kumpulan berdasarkan teknik yang dipelajari semasa menuntut di politeknik.
Mereka menggabungkan gerakan daripada beberapa kategori silat, termasuk tunggal, regu dan ganda, sambil menyelitkan unsur kontemporari agar persembahan sesuai dengan muzik dan suasana majlis.
Mereka juga tidak terikat pada gerakan tradisional semata-mata, sebaliknya bersedia menyesuaikan koreografi dengan lagu-lagu popular yang dekat dengan pasangan pengantin.
“Bagi majlis perkahwinan Aliyah, kami menyelitkan lagu yang sedang popular, termasuk lagu daripada Alyph, dalam persembahan Silat,” kongsi, Cik Syafiah, 32 tahun.
Selain koreografi, mereka turut menyelaraskan pakaian atau warna busana agar kelihatan seragam ketika membuat persembahan, sekali gus membentuk identiti tersendiri.
Walaupun mempunyai pengalaman dalam silat, kumpulan itu berkata mereka tidak menganggap persembahan tersebut sebagai pertunjukan profesional atau komersial.
Sebaliknya, nilai sebenar tradisi terletak itu terletak pada masa yang diluangkan bersama untuk menjayakan persembahan meskipun masing-masing mempunyai jadual yang padat.
“Kami sebenarnya tak begitu kerap meluangkan masa bersama di luar. Tapi apabila ada majlis perkahwinan, kami semua akan berkumpul bersama.
“Saya rasa itulah antara perkara yang paling indah, sebab melalui semua pengalaman ini, kami mempunyai satu kenangan dan ikatan yang dikongsi bersama” tambah Cik Syafiah.
Meskipun kebanyakan mereka tidak lagi aktif berlatih silat seperti ketika menuntut di politeknik dan kini sibuk dengan tanggungjawab keluarga, mereka tetap meluangkan masa untuk menyegarkan kembali ingatan terhadap teknik yang pernah dipelajari sebelum menyelaraskan gerakan bagi setiap persembahan.
Lazimnya, Cik Syafiqah berkata mereka mengadakan sekitar enam hingga tujuh sesi latihan menjelang sesuatu majlis perkahwinan, dengan latihan sekali atau dua kali seminggu, bergantung pada kelapangan masing-masing.
Walaupun memerlukan komitmen dan usaha, beliau berkata sokongan keluarga menjadi pendorong untuk mereka meneruskan tradisi tersebut.
Malah, anggota keluarga yang lain turut memberikan sokongan dengan merakam persembahan mereka sebagai kenangan.
“Selagi ada majlis perkahwinan dalam keluarga kami, tradisi itu akan terus hidup,” kata Cik Syafiqah.