Topic followed successfully
Go to BHkuSheena Akbal dedah harungi 6 pusingan IVF, 1 keguguran dalam podcast terbaru
Sheena Akbal dedah harungi 6 pusingan IVF, 1 keguguran dalam podcast terbaru
Sheena Akbal dedah harungi 6 pusingan IVF, 1 keguguran dalam podcast terbaru
Dalam diam, Sheena Akbal, pempengaruh yang juga dikenali sebagai isteri kepada penyanyi Taufik Batisah, menanggung derita mengharungi enam pusingan persenyawaan in vitro (IVF) serta satu keguguran.
Namun, keperitan yang ditelan itu akhirnya dikongsi secara terbuka dalam podcast Couch Conversations yang dimuat naik di YouTube pada 8 April.
Dalam episod pertama sepanjang 26 minit itu, Sheena secara terbuka berkongsi keadaannya yang telah lama mencuba untuk mendapatkan zuriat, namun masih belum dikurniakan cahaya mata walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.
“Sejak dulu lagi kami sudah berbincang tentang anak. Pada hari perkahwinan, Taufik kata dia inginkan tiga anak, manakala saya mahukan dua, tetapi sehingga kini kami masih belum mempunyai anak.
“Kami sudah menerima hakikat bahawa kami mungkin tidak dikurniakan zuriat, namun hidup kami tetap diberkati dengan rezeki yang berlainan,” kata Sheena, 42 tahun, dalam perbualannya bersama rakan hosnya, Nur Amirra, seorang pengarah kewangan yang turut berkongsi perjalanan mendapatkan zuriat.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), Sheena berkongsi bahawa beliau pernah hamil pada tahun 2023, namun mengalami keguguran pada minggu keenam, satu pengalaman yang membuatkan hatinya remuk.
“Hati saya benar-benar hancur - itu kali pertama dalam hidup kami mendapat keputusan positif pada kit ujian. Walaupun saya sangat gembira, jauh di sudut hati saya ada rasa tidak sedap, seolah-olah ini mungkin tidak akan berjalan seperti yang kami harapkan…dan ternyata benar,” katanya.
Beliau turut mengakui terkesan dari segi mental dan emosi, ditambah dengan keletihan akibat prosedur yang dilalui serta perubahan hormon yang tidak menentu.
Dalam pada itu, suaminya, Taufik, banyak memberi sokongan.
“Beliau sentiasa bertanya apa yang boleh beliau lakukan untuk membuat saya lebih selesa dan bagaimana beliau boleh hadir sebagai seorang suami. Beliau benar-benar, dan masih lagi, menjadi tempat saya bersandar,” ujar Sheena yang telah mendirikan rumahtangga bersama Taufik sejak 2015.
Perkongsian dalam podcast ini menyusul selepas beberapa luahan beliau di platform Threads berkaitan soalan “bila nak ada anak”, termasuk satu hantaran pada 18 Mac lalu menjelang musim perayaan Hari Raya.
“Tidak mempunyai anak bermakna tiada pelapis untuk meneruskan legasi yang kami bina. Dalam sebuah perkahwinan, kita menyambut detik-detik penting dan pencapaian. Bagi ibu bapa, pencapaian itu termasuk ‘gender reveal’ (dedah jantina), sambutan hari lahir, serta melihat anak merangkak atau berjalan buat pertama kali - semua itu kami tidak dapat alami,” tambahnya.
Menurut Sheena, beliau kini reda dan bertawakal dengan ketentuan tersebut, namun tetap rasa terganggu apabila diajukan soalan berkaitan anak kerana ia mengingatkan kembali kepedihan yang dilalui.
“Soalan tentang anak membawa saya ke sudut yang sangat pedih, kerana kami telah berikhtiar sebanyak enam kali. Apabila ditanya oleh orang yang tidak dikenali, apatah lagi jika mereka menyentuh perut saya, tentulah saya terkesan. Namun saya hanya mampu berkata, ‘Cik doakan’,” katanya.
Sheena juga memahami bahawa ramai yang ingin tahu kerana suaminya seorang selebriti, selain mereka sering berkongsi video bersama, sekali gus membuatkan orang ramai berasa selesa untuk mengajukan soalan yang bersifat peribadi.
Menjawab pertanyaan BH mengapa beliau memilih untuk berkongsi kisah ini sekarang, Sheena berkata masanya telah tiba setelah memendam perkara tersebut selama lapan tahun.
Tambahnya, selain sudah menerima takdir, beliau juga terdorong untuk berkongsi apabila melihat rakan-rakannya melalui pengalaman yang sama.
“Saya melihat kesukaran yang sedang dihadapi rakan-rakan saya - mereka berada di tempat yang pernah saya lalui dan saya rasa tidak sampai hati untuk menyimpan pengalaman itu hanya untuk diri sendiri.
“Jadi, saya mula berkongsi dengan rakan-rakan terlebih dahulu supaya mereka tahu, jika mereka perlukan seseorang untuk berbual, saya sentiasa ada, insya-Allah,” katanya.
Episod Trying to Conceive (TTC) merupakan episod pertama podcast Couch Conversations yang diterajui Sheena bersama sahabatnya, Nur Amirra.
Podcast ini merupakan kesinambungan daripada beberapa video ringkas yang pernah dimuat naik sebelum ini menerusi siri Conversations with Sheena.
“Saya mencipta ruang ini secara santai, di ruang tamu rumah saya - tempat kami benar-benar berbincang tentang pelbagai isu yang kami hadapi, bagaimana kami mengatasinya, dan bagaimana perspektif membentuk siapa diri kami. Kami juga menyentuh tentang bagaimana menavigasi kehidupan sebagai seorang wanita dalam era ini,” jelasnya.
Beberapa episod baharu dijangka akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

