Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Taufik Batisah pukau peminat dengan sentuhan magis dalam konsert solo pertama

5,000 peminat hadir dengan busana putih; Afgan, Rossa muncul sebagai penyanyi undangan kejutan
Oct 30, 2025 | 2:52 PM
Taufik Batisah, One Last Dance, SAH Entertainment, Taufik solo concert
Penyanyi tempatan, Taufik Batisah menghiburkan 5,000 peminat yang hadir ke konsert solo pertamanya ‘One Last Dance’ pada 25 Oktober lalu. - Foto SAH ENTERTAINMENT

“Usah biarku bersendirian.. usah biar hatimu ditawan…”

Memori indah melihat dan mendengar juara Singapore Idol (Musim Pertama), Taufik Batisah menyanyikan lagu ikoniknya Usah Lepaskan secara langsung semasa konsert One Last Dance masih jelas di fikiran saya. 

Seramai 5,000 penonton mengenakan busana putih atau ‘Fique White’ telah menghadiri konsert yang diadakan di The Star Theatre, The Star Performing Arts Centre, pada malam 25 Oktober. 

Konsert dengan tiket habis dijual dalam masa beberapa jam itu merupakan konsert solo pertama Taufik setelah menceburi industri hiburan sejak 2004. 

Bertemankan ibu saya yang merupakan peminat tegar Taufik, kami teruja melihatnya memulakan konsert itu dengan persembahan lagu yang pernah dinyanyikannya sewaktu pertandingan Singapore Idol. 

Lagu Me and Mrs Jones (nyanyian asal Billy Paul), September (nyanyian asal Earth, Wind & Fire) dan Belaian Jiwa (nyanyian asal Carefree) mengembalikan rasa nostalgia sewaktu ramai penonton turut mengikuti perjalanannya dalam pertandingan itu. 

Sisi candi dan ceria Taufik terserlah sewaktu berinteraksi dengan penonton yang hadir. 

Beliau berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada penonton atas sokongan padu yang diberikan sejak beliau mula menjadi penyanyi. 

Ada di antara penonton turut meneriak ungkapan “We voted for you, Taufik!” yang bermaksud “Kami telah mengundi untuk anda, Taufik!”

Pada usia 43 tahun, kekuatan vokal Taufik masih dapat didengar apabila beliau menyanyikan lagu balada ciptaannya seperti Berserah, Khayalan dan Menakluk Cinta yang turut menjadi lagu runut bunyi (OST) bagi drama Kasih Berbisik. 

Persembahan pada malam itu turut mendapat sentuhan magis daripada penerbit muzik prolifik asal Malaysia, Aubrey Suwito yang hadir sebagai pengarah muzik bagi konsert tersebut. 

Seluruh dewan bersorak dengan penuh kegembiraan apabila Taufik membuat kejutan dan menjemput dua penyanyi popular Indonesia, Rossa dan Afgan ke atas pentas sebagai penyanyi undangan. 

Sebagai peminat setia Afgan yang menggelar diri saya ‘Afganisme’, gelaran bagi peminat setia Afgan, saya sangat terkejut dan tidak menyangka beliau akan hadir menyanyikan lagu Knock Me Out bersama Taufik. 

Afgan turut menyanyikan lagu ikoniknya Bukan Cinta Biasa manakala Rossa menyanyikan lagunya, Lupakan Cinta dan lagu duetnya bersama Taufik, Aku Bersahaja. 

Kededua artis itu berkata mereka sangat gembira dan bangga melihat kejayaan Taufik sebagai penyanyi dan penggubah lagu. 

Penyanyi Indonesia, Rossa (kanan) hadir sebagai penyanyi undangan kejutan di konsert ‘One Last Dance’. Beliau menyanyikan lagu duetnya, ‘Aku Bersahaja’ bersama Taufik Batisah.
Penyanyi Indonesia, Rossa (kanan) hadir sebagai penyanyi undangan kejutan di konsert ‘One Last Dance’. Beliau menyanyikan lagu duetnya, ‘Aku Bersahaja’ bersama Taufik Batisah. - Foto SAH ENTERTAINMENT

Segmen yang paling menyentuh hati ramai penonton adalah apabila Taufik mendedikasikan lagu bagi beberapa insan penting dalam hidupnya. 

Beliau sempat membawa isterinya, Sheena Akbal, ke atas pentas untuk menyanyikan lagu Hanya Kamu yang dicipta khas buatnya. 

Kali terakhir beliau menyanyikan lagu itu kepada Sheena adalah semasa hari perkahwinannya pada 2015. 

Taufik turut mendedikasikan lagu Ibu (nyanyian asal Tan Sri P Ramlee) buat ibunya, Normainah Bachok yang telah banyak berkorban buat beliau dan adik-beradiknya. 

Inspirasi untuk mencipta lagu dengan unsur rohani, KepadaNya datang daripada bapanya, Batisah Ahmad, yang sering mengingatkan Taufik untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.  

Penonton giat memberikan semangat kepada penyanyi kesayangan ramai itu apabila beliau mula sebak dan menitiskan air mata kerana mengingatkan keluarganya.  

Suasana kembali riuh apabila beliau mula menyanyikan lagu ikoniknya, #AwakKatMane dan Sesuatu Janji

Ramai penonton berdiri untuk menari mengikut irama muzik yang rancak sambil melambai lampu gelang tangan yang disediakan pihak penganjur, Sah Entertainment. 

Juara ‘Singapore Idol’ pertama, Taufik Batisah menyanyikan lagu ikoniknya ‘I Dream’ dan ‘Usah Lepaskan’ pada kemuncak konsert solonya dengan ramai peminat memberikan tepukan gemuruh.
Juara ‘Singapore Idol’ pertama, Taufik Batisah menyanyikan lagu ikoniknya ‘I Dream’ dan ‘Usah Lepaskan’ pada kemuncak konsert solonya dengan ramai peminat memberikan tepukan gemuruh. - Foto SAH ENTERTAINMENT

Kemuncak konsert adalah apabila Taufik menyanyikan lagu I Dream yang dicipta khas buat juara Singapore Idol dan lagu penuh emosi, Usah Lepaskan. 

Saya seperti tidak mahu ‘melepaskan’ Taufik dari pentas The Star Theatre untuk mengakhiri konsert selama dua setengah jam itu kerana belum puas mendengar nyanyian merdunya.  

Walaupun lagu Teman Istimewa dan Suria Hatiku tidak ada dalam senarai lagu yang dipersembahkan, saya tetap gembira dengan konsert yang cukup menghiburkan.

Namun, saya rasa pengalaman konsert itu akan terasa lebih gamat dan berbaloi jika pihak penganjur kurangkan jumlah dan tempoh masa video yang dimainkan sewaktu konsert supaya lebih banyak lagu dapat dipersembahkan. 

Semoga Taufik terus bersemangat untuk bergiat aktif dalam bidang nyanyian, menghasilkan karya baru dan janganlah ini menjadi ‘last dance’ beliau bersama peminatnya. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg