Satu dakwaan palsu bahawa Duta Besar Singapura ke Indonesia, Encik Kwok Fook Seng, menerima kunjungan dua tokoh terkemuka Indonesia di kediamannya merupakan antara kemuncak kempen penyebaran maklumat palsu yang menyasarkan Singapura baru-baru ini.

Dakwaan mengenai pertemuan antara mantan Timbalan Menteri Luar Indonesia, Dr Dino Patti Djalal, dan penganalisis politik, Dr Saiful Mujani, dengan Encik Kwok mula tersebar menerusi sebuah akaun Instagram pada 23 Oktober lalu, sebelum dinafikan oleh kedua-dua tokoh itu serta Kedutaan Singapura.

Siasatan unit semakan fakta Channel NewsAsia (CNA), CNA Verify, mendapati dakwaan itu merupakan sebahagian daripada hampir 400 hantaran yang menyebarkan maklumat palsu atau tidak berasas mengenai Singapura antara 19 hingga 27 Oktober lalu.

Hantaran di TikTok, Instagram, YouTube, X dan Facebook itu meraih hampir 12 juta tontonan, dengan separuh daripadanya dijana oleh hanya 10 hantaran.

Difahamkan kempen tersebut berlaku ketika jerebu akibat kebakaran hutan di Indonesia melanda rantau ini, manakala pasaran saham negara itu mencatatkan kejatuhan dua hari berturut-turut paling buruk dalam sejarahnya.

Analisis CNA Verify turut menemui petunjuk bahawa beberapa akaun yang menyebarkan dakwaan tersebut bergerak secara terselaras, termasuk diwujudkan pada hari yang sama serta memuat naik teks dan gambar serupa dalam tempoh masa yang hampir serentak.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada hantaran tersebut dikendalikan oleh satu pihak yang sama.

Mengulas dapatan itu, Zamil Penyelidikan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Encik Muhammad Faizal Abdul Rahman, berkata kajian menunjukkan ruang siber Indonesia dipenuhi individu yang dikenali sebagai ‘buzzers’, yang berusaha mempengaruhi pandangan politik masyarakat.

“Sebahagiannya mungkin digerakkan oleh pemain politik tempatan, manakala sebahagian lagi bergerak secara bebas di peringkat akar umbi.

“Kita mungkin melihat gabungan kedua-duanya,” kata Encik Muhammad Faizal, yang mempunyai kepakaran dalam bidang operasi mempengaruhi dan geopolitik.

Menurut beliau, tujuan utama mereka berkemungkinan untuk membendung suara kritikan dalam negara, namun sentimen nasionalisme yang mengaitkan pihak asing dengan golongan pengkritik boleh menyebabkan negara lain turut menjadi sasaran.

Beliau menambah bahawa negara lebih kecil sering menjadi sasaran mudah bagi membangkitkan sentimen nasionalisme.

Siasatan CNA Verify mendapati gelombang awal dakwaan palsu itu tercetus susulan kejatuhan pasaran saham Indonesia.

Pada 15 Oktober lalu, syarikat penyedia indeks antarabangsa, Morgan Stanley Capital International (MSCI), mengumumkan ia sedang mempertimbangkan untuk menurunkan taraf pasaran modal Indonesia berikutan kebimbangan mengenai tadbir urus, sekali gus mencetuskan kejatuhan mendadak harga saham negara itu.

Pada 19 Oktober, mantan Menteri Perdagangan Indonesia, Encik Muhammad Lutfi, memuat naik video yang mendakwa tanpa bukti bahawa dua syarikat pelaburan Singapura, GIC dan Temasek, telah mendesak MSCI mengambil langkah tersebut.

Kedua-dua syarikat itu menafikan dakwaan berkenaan.

Pada 24 Oktober, Indonesia mula mengurangkan eksport gas ke Singapura bagi menjamin kestabilan bekalan domestiknya.

Walaupun Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) menjelaskan bahawa pengurangan itu merangkumi kurang dua peratus permintaan gas harian Singapura, beberapa akaun media sosial mengaitkan isu tersebut dengan dakwaan campur tangan Singapura dalam keputusan MSCI.

Antara hantaran yang tersebar termasuk amaran bahawa Indonesia akan menghentikan eksport gas sekiranya Singapura “cuba melakukan sesuatu”.

Analisis CNA Verify turut mengenal pasti beberapa corak penyebaran maklumat yang menunjukkan kemungkinan penyelarasan antara akaun terbabit. Antaranya ialah:

  1. Kesilapan mengeja nama Dr Dino sebagai ‘Pati’ dan bukannya ‘Patti’ yang muncul pada 30 akaun lain.
  2. Lebih sedozen akaun turut menggunakan label ‘INFO A001’ atau variasinya, yang merujuk kepada istilah popular Indonesia, ‘Info A1’, bagi menggambarkan maklumat tepat daripada sumber dipercayai.
  3. Di TikTok, lima akaun memuat naik tanda pagar ‘#infoa001’ dalam tempoh sembilan minit.
  4. Siasatan itu juga mengenal pasti rangkaian 68 akaun yang menyerupai portal berita di TikTok, Instagram, X dan Facebook, yang berkongsi kapsyen serta templat grafik serupa.
  5. Rangkaian itu merangkumi 15 akaun TikTok yang diwujudkan pada hari yang sama pada Mei lalu, manakala tiga akaun di X memuat naik versi laporan serupa dengan jarak masa hanya 26 saat antara satu sama lain.

Parti pemerintah Indonesia, Gerindra, dilaporkan sedang meneliti dakwaan mengenai pertemuan antara kedua-dua tokoh Indonesia itu dengan Duta Besar Singapura.

Encik Muhammad Faizal mengingatkan bahawa pertikaian maklumat dan peningkatan ketegangan akibat sentimen anti-Singapura boleh menjejaskan hubungan dua hala, khususnya menjelang peranan Singapura sebagai Pengerusi ASEAN pada 2027.

“Kita wajar mengetengahkan aspek positif hubungan dua hala yang telah lama terjalin dan menjauhkan diri daripada suara yang mencetuskan ketegangan.

“Singapura mahu menjadi jiran yang baik, dan Indonesia serta Asia Tenggara yang makmur adalah baik untuk Singapura,” ujarnya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti