Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia kaji bina loji tenaga nuklear di Kepulauan Riau
Projek pertama dijangka beroperasi seawal 2032 bagi mengurangkan kebergantungan pada arang batu, memperkukuh bekalan elektrik negara
Indonesia kaji bina loji tenaga nuklear di Kepulauan Riau
JAKARTA: Indonesia sedang mengkaji rancangan membina loji tenaga nuklear di Kepulauan Riau, yang terletak berhampiran Singapura, sebagai sebahagian usaha memperkukuh keselamatan tenaga negara dan mengurangkan kebergantungan pada bahan api fosil.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Encik Bahlil Lahadalia, berkata Riau dikenal pasti sebagai antara lokasi berpotensi bagi pembinaan loji nuklear pertama negara itu, namun keputusan muktamad belum dibuat.
Menurutnya, pemerintah masih menjalankan kajian daya maju, termasuk menilai aspek keselamatan, kesesuaian tapak, kos pembinaan dan keperluan teknologi sebelum sebarang keputusan diambil.
“Kami sedang mengkaji pembinaan loji di Kepulauan Riau. Langkah ini bertujuan menjamin keselamatan tenaga negara dan pengiraan masih dijalankan,” katanya dalam sidang media di Jakarta pada 26 Oktober.
Beliau menegaskan projek itu hanya akan diteruskan sekiranya hasil kajian memenuhi semua syarat teknikal dan keselamatan yang ditetapkan.
Selain Riau, pemerintah turut meneliti beberapa lokasi lain di Sumatera, Kalimantan dan Halmahera di wilayah Maluku Utara.
Cadangan pembinaan loji di Halmahera pula sedang dikaji dengan kerjasama Russia, yang merupakan antara negara berpengalaman dalam pembangunan teknologi nuklear.
Indonesia turut mengadakan perbincangan dengan Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun bagi mendapatkan kepakaran serta teknologi yang sesuai.
Encik Bahlil berkata pemilihan rakan teknologi akan mengambil kira rekod keselamatan dan pengalaman mengendalikan loji nuklear.
Menurut laporan agensi berita Antara, Indonesia menyasarkan keputusan mengenai lokasi loji nuklear pertamanya dimuktamadkan selewat-lewatnya pada 2027.
Loji pertama itu dijangka mula membekalkan tenaga elektrik kepada rangkaian nasional antara 2032 dengan 2034, tertakluk pada kelulusan pihak berkuasa dan kemajuan pembinaan.
Berdasarkan Rancangan Perniagaan Pembekalan Elektrik 2025-2034 (RUPTL) syarikat elektrik negara, PLN, Indonesia merancang membangunkan kapasiti nuklear awal sebanyak 500 megawatt (MW).
Ini termasuk sebuah loji berkapasiti 250 MW dalam sistem bekalan elektrik Sumatera-Bangka menjelang 2032 dan sebuah lagi loji berkapasiti sama di Kalimantan pada 2033.
Bagaimanapun, lokasi dan jadual pelaksanaan sebenar masih boleh berubah berdasarkan hasil kajian.
Rancangan membangunkan tenaga nuklear bukan perkara baru bagi Indonesia.
Sejak 1989, negara itu pernah mengkaji Semenanjung Muria di Jawa Tengah sebagai tapak pembinaan loji nuklear.
Kajian yang disiapkan pada 1996 membabitkan cadangan pembinaan loji berkapasiti kira-kira 7,000 MW, namun projek tersebut ditangguhkan pada 1997 susulan perubahan keadaan ekonomi dan politik.
Pada Disember 2022, pemerintah mengumumkan sasaran membangunkan tenaga nuklear menjelang 2039.
Bagaimanapun, pentadbiran Presiden Prabowo Subianto mempercepatkan sasaran itu kepada 2032 hingga 2034 bagi memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat.
Keperluan tenaga negara dijangka terus bertambah berikutan perkembangan sektor perindustrian, pusat data dan pertumbuhan penduduk.
Ketika ini, Indonesia masih bergantung kuat pada arang batu untuk menjana elektrik.
Pada 2023, kira-kira 69 peratus bekalan elektrik negara dijana menggunakan arang batu, manakala gas asli menyumbang sekitar 13 peratus.
Tenaga hidro dan geoterma masing-masing menyumbang kira-kira enam peratus dan empat peratus.
Kebergantungan tinggi pada arang batu menimbulkan cabaran kepada usaha Indonesia mengurangkan pelepasan karbon dan beralih kepada sumber tenaga lebih bersih.
Tenaga nuklear dilihat sebagai satu pilihan kerana mampu menghasilkan bekalan elektrik secara berterusan tanpa pelepasan langsung karbon dioksida daripada pembakaran bahan api seperti arang batu dan gas.
Berbeza dengan tenaga suria dan angin yang bergantung pada keadaan cuaca, loji nuklear boleh beroperasi sepanjang masa.
Di bawah Dasar Tenaga Nasional yang disemak pada 2025, Indonesia menyasarkan tenaga nuklear menyumbang sekitar 0.4 hingga 0.5 peratus daripada campuran tenaga negara menjelang 2032.
Sumbangan itu disasarkan meningkat kepada sekitar 11.7 hingga 12.1 peratus menjelang 2060.
Namun, pembangunan loji nuklear turut membawa cabaran besar, terutama dari segi kos, keselamatan dan pengurusan sisa radioaktif.
Timbalan Menteri Tenaga Indonesia, Encik Yuliot Tanjung, sebelum ini berkata pembinaan sebuah loji nuklear boleh mengambil masa antara tujuh dengan 10 tahun.
Pemerintah juga perlu memastikan lokasi yang dipilih selamat daripada ancaman gempa bumi, aktiviti gunung berapi dan risiko geologi lain.
Setakat ini, Indonesia telah mengenal pasti 28 lokasi berpotensi melalui kajian terdahulu.
Antara teknologi yang sedang dipertimbangkan ialah reaktor modular kecil (SMR), yang mempunyai kapasiti lebih rendah berbanding loji nuklear konvensional.
Russia turut menawarkan teknologi loji nuklear terapung yang mungkin sesuai dengan keadaan geografi Indonesia sebagai negara kepulauan.
Bagaimanapun, tiada teknologi atau tapak pembinaan yang disahkan setakat ini.
Aspek keselamatan, kesan terhadap alam sekitar dan pengurusan kecemasan dijangka menjadi antara pertimbangan penting sekiranya Kepulauan Riau akhirnya dipilih. – Agensi berita