Caj tambahan sebanyak 30 sen untuk pesanan minuman ‘tanpa gula’ di Srisun Express telah menimbulkan persoalan tentang bagaimana pilihan minuman yang lebih sihat ditetapkan harganya.

Satu tangkapan skrin menu pesanan digital kedai makan tempatan tersebut menunjukkan segelas Milo biasa berharga $2.80 dan membawa label ‘Nutri-Grade’ D, menunjukkan kandungan gula tinggi sebanyak 12 peratus.

Namun, pelanggan yang memilih pilihan ‘tanpa gula’ dikenakan caj tambahan sebanyak 30 sen.

Seorang pelanggan, yang menyedari caj tambahan tersebut semasa memesan minuman untuk anak-anaknya, mempersoalkan logik di sebalik penetapan harga itu, lapor laman web kewartawanan warga, Stomp.

“Saya tidak faham hal ini. Di peringkat kebangsaan, semua orang sedang beralih ke arah gaya hidup dan pemakanan yang lebih sihat, tetapi anda pula menghukum orang ramai kerana memilih versi kurang manis,” kata Encik Derrick, seorang penjawat awam berusia 37 tahun, yang enggan mendedahkan nama penuhnya.

Srisun Express mempunyai beberapa cawangan di seluruh Singapura, termasuk di Serangoon Gardens, Bishan dan Tampines.

Menjawab pertanyaan Stomp, jurucakap Srisun Express menjelaskan caj tambahan tersebut dikenakan bagi minuman yang biasanya disediakan menggunakan susu pekat manis, seperti Milo, Horlicks dan Teh Cino.

Menurut jurucakap itu, kemanisan dan kepekatan minuman sebegitu datang daripada susu pekat.

Apabila pelanggan meminta versi ‘tanpa gula’, kedai tersebut tidak dapat menggunakan susu pekat kerana kandungan gulanya yang tinggi.

Bagi mengekalkan rasa dan tekstur minuman yang diingini, pihak kedai menggantikan susu pekat tersebut dengan susu cair dengan harganya “jauh lebih mahal”.

“Dengan kenaikan kos bahan dan operasi yang berterusan, caj tambahan sebanyak 30 sen ini membantu kami menampung kos bahan yang lebih tinggi sambil tetap mengekalkan mutu dan konsistensi minuman kami,” kata jurucakap itu.

Minuman yang secara semula jadinya dibuat tanpa menggunakan gula atau susu pekat, seperti Teh O, Kopi O, Limau dan Teh O Longan, tidak dikenakan caj tambahan apabila pelanggan memesan pilihan tanpa gula.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), pemilik Srisun Express, Cik Jayanthi Elan Goven, berkata mereka faham pilihan kata bagi pilihan ‘tanpa gula’ di beberapa bahagian wadah pesanan mungkin mencetuskan kekeliruan, lantas mengakui perkara itu sepatutnya disampaikan dengan lebih jelas kepada pelanggan.

“Susulan maklum balas yang diterima, kami kini dalam proses mengemas kini penerangan menu dan pilihan kata (bagi caj) tambahan di semua wadah kami agar ia menggambarkan dengan lebih jelas bahawa caj tersebut berkaitan dengan penggantian kepada susu cair, dan bukannya kerana penyingkiran gula itu sendiri,” katanya.