Bagi Cik Zakiah Abdullah, melihat selebriti terkenal seperti Neelofa mengenakan tudung rekaannya daripada Soof, jenama yang diasaskannya, menjadi satu detik yang mengharukan.

Tudung itu telah digayakan Neelofa dalam satu hantaran di Instagram pada 15 Ogos yang mengumumkan satu kolaborasi antara Soof dengan Naelofar, iaitu jenama tudung Neelofa.

“Saya sangat terharu melihat tudung Soof digayakan oleh personaliti yang dihormati seperti Neelofa dan pempengaruh, Sofea Shra,” kongsi Cik Zakiah.

Tudung hasil kerjasama Soof dan Naelofar itu telah dilancarkan dalam talian dan di cawangan Naelofar serata Malaysia pada 17 Ogos di bawah koleksi Bisikan Rimba

Koleksi tersebut, yang menampilkan beberapa corak tudung hasil Soof dan satu lagi jenama Malaysia, Lizza Creations, memberi penghormatan kepada hutan hujan Malaysia serta motif batik.

Semasa ditemui Berita Harian (BH), Cik Zakiah, 29 tahun, berkata beliau terkejut apabila pihak Naelofar menghubunginya pada Mac untuk menjalin kerjasama, memandangkan Soof hanya merupakan jenama bebas dari Singapura.

“Saya rasa Bisikan Rimba merupakan satu tema yang sangat menarik, seronok, dan mencabar, kerana saya perlu fikir bagaimana untuk menampilkan unsur hutan dalam corak tudung,” kata Cik Zakiah.

Cik Zakiah Abdullah meneliti hasil rekaannya di bawah kolaborasi bersama jenama tudung Malaysia, Naelofar.
Cik Zakiah Abdullah meneliti hasil rekaannya di bawah kolaborasi bersama jenama tudung Malaysia, Naelofar. - Foto INSTAGRAM NAELOFAR

Menurut Cik Zakiah, Soof ditubuhkan pada 2022 dan merupakan jenama tudung yang sering meneroka ruang imaginasi untuk menghasilkan corak yang moden dan kontemporari.

Tambahnya, setiap hasil Soof merupakan satu ekspresi kreativiti dan beliau suka bereksperimen dengan warna dan motif.

“Saya suka mencabar diri untuk memikirkan semula batasan tentang bagaimana tudung sepatutnya direka,” kongsi Cik Zakiah.

Dalam hasil rekaan bersama Naelofar, Cik Zakiah berkata beliau memberi perhatian kepada rekaan pepenjuru (diagonal) yang terdapat dalam hutan seperti penumbuhan akar, ranting, daun, serta cara matahari menembusi rimbunan pokok.

Beliau juga telah memasukkan tumbuhan tropika dalam rekaannya untuk memberi penghargaan kepada ekosistem hutan hujan Malaysia.

Salah satu rekaan Cik Zakiah Abdullah untuk koleksi ‘Bisikan Rimba’, sebuah kerjasama antara Soof dengan Naelofar.
Salah satu rekaan Cik Zakiah Abdullah untuk koleksi ‘Bisikan Rimba’, sebuah kerjasama antara Soof dengan Naelofar. - Foto LAMAN NAELOFAR

“Dalam koleksi ini juga, saya juga telah cuba mentafsir semula motif batik dengan sentuhan yang lebih kontemporari,” ujar Cik Zakiah.

Rekaan Cik Zakiah juga boleh didapatkan dalam dua jenis kain, iaitu chiffon dan modal.

Menurutnya, rekaan Soof telah mendapat perhatian pelanggan Malaysia apabila koleksi Sarung yang menampilkan corak batik dilancarkan pada Oktober 2025.

“Ramai orang Malaysia yang suka dengan produk kami, tetapi koleksi kami selalunya cepat habis dijual. 

“Jadi, saya berharap kerjasama ini dapat membantu kami mencapai lebih ramai pelanggan di Malaysia yang berminat dengan hasil kerja Soof,” tambah Cik Zakiah.

Berdasarkan tinjauan BH pada 18 Ogos, lebih 2,100 tudung dari koleksi tersebut telah dijual dalam talian dengan beberapa corak yang sudah habis dijual.

Cik Zakiah turut berkongsi bahawa laman web Naelofar turut mengalami gangguan selama sekitar 30 minit pada hari pelancaran akibat lonjakan jumlah pelanggan dalam talian.

Semasa lawatan beliau ke cawangan Naelofar di KL East Mall di Kuala Lumpur pada 17 Ogos, Cik Zakiah juga mendapati bahawa kebanyakan jenis tudung dari koleksi itu telah habis dijual.

“Saya sangat bersyukur kerana hasil rekaan saya akhirnya menjadi sesuatu yang di luar kebiasaan dan bukan mudah untuk dihasilkan, dengan menampilkan pelbagai unsur alam semula jadi.

“Saya juga sangat berterima kasih kerana orang ramai percaya akan visi kreatif saya,” luah Cik Zakiah.