Topik diikuti
Pergi ke BHkuSuami jadi bidan, sambut kelahiran anak keempat di rumah
Suami jadi bidan, sambut kelahiran anak keempat di rumah
Suami jadi bidan, sambut kelahiran anak keempat di rumah
Walaupun pernah melalui pengalaman bersalin sebanyak tiga kali, Encik Zulhilmy Azrin dan isteri, Cik Nadia Ramlee tidak menyangka kelahiran anak keempat mereka, Salma Zulhilmy, akan berlaku di rumah.
Pasangan itu berkata mereka pada mulanya menjangkakan masih mempunyai masa untuk ke hospital apabila Cik Nadia mula mengalami kontraksi pada pagi 21 Mei, meskipun tarikh jangkaan bersalinnya adalah pada 25 Mei.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH) Cik Nadia, 34 tahun, seorang artis alih suara berkata:
“Kontraksi saya bermula sekitar jam 9.30 pagi hingga 10 pagi. Tapi saya dan suami tidak menyedari proses kelahiran sedang berkembang dengan begitu pantas kerana pengalaman kelahiran anak-anak yang lain sebelum ini mengambil masa yang lebih lama.”
Ibu empat anak itu turut menyifatkan pengalamannya sebagai satu perancangan indah yang telah diatur oleh Allah.
Difahamkan, Encik Zulhilmy, 35 tahun, pada ketika itu sedang membawa dua anak mereka yang kurang sihat ke klinik kerana menyangka masih mempunyai banyak masa sebelum perlu ke hospital.
“Bila saya balik rumah dan sudah bersedia untuk menghantar anak-anak kepada datuk mereka supaya kami boleh pergi ke hospital, Nadia suruh saya hubungi ambulans kerana beliau dapat merasakan bayi akan keluar bila-bila masa.
“Kalau kami teruskan dengan perancangan untuk ke hospital, kemungkinan besar Nadia akan bersalin dalam perjalanan ke hospital,” tambahnya yang bertugas sebagai perunding rumah pintar.
“Pegawai kecemasan mengarah saya melalui telefon untuk berpindah dari tandas ke ruang bilik supaya persekitaran lebih luas dan selamat,” kata Cik Nadia.
Beberapa minit kemudian, Encik Zulhilmy menjadi orang pertama yang menyambut kelahiran anaknya sendiri sebelum pihak ambulans tiba kira-kira dua minit selepas Salma dilahirkan.
Mengimbas pengalaman itu, beliau akui tidak mempunyai sebarang pengetahuan atau persediaan untuk menyambut kelahiran di rumah.
“Saya hanya mengikut arahan pegawai kecemasan dan bertindak mengikut naluri. Sepanjang proses itu, saya banyak membaca doa dan memberi tumpuan kepada membantu isteri,” tambahnya.
Walaupun berasa cemas dan tidak bersedia, beliau bersyukur kerana dapat kekal tenang sepanjang proses kelahiran tersebut.
Cik Nadia pula memuji suaminya yang berjaya mengendalikan situasi berkenaan dengan baik.
Tiga anak pasangan itu yang berusia sembilan, tujuh dan lima tahun dapat melihat adik mereka sebelum dibawa ke hospital.
Dari segi kesihatan, ibu dan bayi berada dalam keadaan baik.
Bagaimanapun, suhu badan bayi didapati sedikit rendah selepas dilahirkan dan memerlukan pemantauan lanjut di hospital.
Pasangan berkenaan menyifatkan pengalaman itu sebagai satu rahmat yang tidak dijangka dan akan kekal menjadi kenangan bermakna buat keluarga mereka.
Meskipun kini lebih memahami mengapa sesetengah ibu bapa memilih kelahiran di rumah kerana suasananya yang lebih tenang, mereka menegaskan bahawa akses kepada bantuan perubatan kecemasan tetap penting sekiranya berlaku komplikasi.
“Kami tidak merancang untuk bersalin di rumah, tetapi itulah yang berlaku. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan dan berjalan dengan baik,” kata mereka.
Sementara itu, Cik Sarah Liyana Hanafi, seorang doula – wanita yang mempunyai kemahiran untuk membantu ibu sewaktu melahirkan anak – berkata beliau tidak mengesyorkan kelahiran tanpa kehadiran profesional perubatan.
“Namun, jika keadaan itu berlaku tanpa dirancang, ibu perlu segera menghubungi 995, berada di kawasan yang bersih dan selamat, serta mengikut arahan paramedik.
“Jangan meneran terlalu kuat apabila bayi mula keluar kerana ia boleh menyebabkan koyakan yang lebih besar. Sebaliknya, kawal pernafasan dan kekal tenang sementara menunggu bantuan tiba.
“Panik tidak membantu sesiapa. Ikut arahan paramedik dan pegawai kecemasan kerana mereka boleh membimbing keluarga sehingga bantuan tiba,” katanya yang telah berkhidmat sebagai doula selama empat tahun.
