Topik diikuti
Pergi ke BHkuSusah cari tempat letak kenderaan ketika anak main bola cetus idea bina laman sendiri
Bapa dua anak terdorong bangunkan laman ‘wheretopark.sg’ bagi mudahkan pengguna mencari tempat letak kenderaan
Susah cari tempat letak kenderaan ketika anak main bola cetus idea bina laman sendiri
Setiap Ahad, Encik Brahmasta Adipradana bukan sahaja perlu memastikan anak lelakinya yang berusia 13 tahun bersedia untuk perlawanan bola sepak, malah perlu memikirkan satu lagi perkara – di mana hendak meletakkan kereta.
Menurutnya, beberapa ibu bapa lain juga berdepan cabaran mencari tempat letak kenderaan apabila menghantar anak mereka menyertai perlawanan Liga Belia Singapura (SYL) di padang sekolah menengah merata Singapura kerana tempat letak kenderaan sekolah lazimnya tidak dibuka kepada orang awam.
Daripada masalah yang dialaminya sendiri itu, Encik Brahmasta mendapat idea membangunkan wheretopark.sg, sebuah direktori dalam talian yang membantu pengguna mencari tempat letak kenderaan mengikut keperluan dan jenis kenderaan, termasuk kereta, motosikal, kenderaan elektrik (EV), serta kenderaan berat.
“Selalunya sebelum ke tempat perlawanan, ibu bapa akan berbincang dalam kumpulan sembang tentang tempat letak kenderaan yang terdekat.
“Ada kalanya, kita perlu berjalan jauh kerana tempat letak kenderaan yang dijumpai jauh,” kongsi Encik Brahmasta ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Menurut ayah kepada dua anak lelaki itu, terdapat pelbagai perkara yang perlu dipertimbangkan ketika mencari tempat letak kenderaan, termasuk jaraknya dari destinasi, kadar bayaran, dan kemudahan mengecas EV.
Pada Mei 2026, Encik Brahmasta, warga Indonesia yang kini merupakan Penduduk Tetap (PR) Singapura dan telah menetap di sini sejak 2010, mula membangunkan laman tersebut sebagai projek peribadi.
Menurutnya, projek itu menjadi wadah bagi beliau mempelajari penggunaan Claude Code, sebuah model pengekodan berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Encik Brahmasta menjelaskan bahawa laman itu menghimpunkan maklumat tempat letak kereta seperti kadar bayaran, ketersediaan lot, serta kemudahan pengecasan EV, yang diambil daripada:
- Penguasa Pengangkutan Darat (LTA)
- Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB)
- Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA)
“Dengan maklumat tersebut, saya berharap pengguna dapat membuat keputusan dengan lebih mudah,” kata Encik Brahmasta, seorang pengurus produk di sebuah agensi pelancongan dalam talian.
Pada mulanya, beliau hanya mahu menguji sama ada idea tersebut dapat menyelesaikan masalah yang dihadapinya sendiri.
Namun, selepas berkongsi laman itu dengan rakan-rakannya dan menerima maklum balas positif, beliau memutuskan untuk membukanya kepada orang ramai.
Menurut Encik Brahmasta, laman wheretopark.sg turut bertujuan mengisi beberapa jurang dalam perkhidmatan sedia ada dengan memudahkan pengguna mencari maklumat tempat letak kenderaan mengikut keperluan masing-masing di satu tempat.
Misalnya, selepas memilih tempat letak kenderaan yang ingin dituju, pengguna boleh memilih aplikasi navigasi pilihan mereka untuk mendapatkan arah perjalanan.
Sejak laman itu dibuka kepada orang ramai, Encik Brahmasta berkata beliau menerima pelbagai maklum balas dan cadangan pengguna, termasuk permintaan supaya lebih banyak lokasi tempat letak kenderaan, maklumat mengenai saiz atau had ketinggian tempat letak kenderaan, serta cara mengakses sesebuah tempat letak kenderaan ditambah.
Beliau turut mengalu-alukan maklum balas tersebut kerana mengakui tidak terfikir tentang aspek lain yang diketengahkan pengguna.
Malah, menurutnya, masih terdapat banyak tempat letak kenderaan privet yang belum disenaraikan dalam direktori beliau.
Justeru, beliau berharap orang ramai dapat menyumbang maklumat bagi membantu menjadikan wheretopark.sg sebuah direktori tempat letak kenderaan yang lebih menyeluruh.
Tambahnya, beliau sedang berusaha membina dan menguji aplikasi untuk perkhidmatan tersebut agar ia dapat digunakan dengan lebih meluas.
“Matlamatnya adalah untuk menjadikan wheretopark.sg lebih lengkap dengan sumbangan maklumat oleh orang ramai.
“Saya berharap ini dapat membantu orang ramai menjimat masa dan wang semasa menjalani kehidupan seharian mereka,” terang Encik Brahmasta.
