Topik diikuti
Pergi ke BHkuBoleh guna aplikasi navigasi semasa memandu, asalkan telefon tidak digenggam
Boleh guna aplikasi navigasi semasa memandu, asalkan telefon tidak digenggam
Sim Ann: Tidak langgar undang-undang jika ada sebab sah, tumpuan tidak terganggu
Boleh guna aplikasi navigasi semasa memandu, asalkan telefon tidak digenggam
Menggunakan peranti seperti telefon bimbit yang dipasang pada pemegang peranti semasa kenderaan bergerak tidak melanggar undang-undang yang diperbaharui, jika ia dilakukan dengan alasan yang sah seperti menggunakan aplikasi navigasi.
Namun, jika seseorang pemandu atau penunggang motosikal menggunakan peranti bagi tujuan tidak sah yang menjejaskan keupayaannya mengawal kenderaan tersebut, beliau masih boleh dikenakan tindakan kerana kesalahan memandu secara lalai atau berbahaya di bawah undang-undang sedia ada, kata Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri, Cik Sim Ann.
Cik Sim berkata demikian sebagai respons kepada soalan yang dikemukakan oleh Anggota Parlimen (AP) di sidang Parlimen pada 4 Ogos.
Di bawah Rang Undang-Undang (Pindaan Pelbagai) Akta Lalu Lintas Jalan Raya yang diluluskan pada 4 Ogos, pemandu yang memegang peranti komunikasi mudah alih di tangannya semasa kenderaan sedang bergerak telah melakukan satu kesalahan.
Undang-undang baru itu membuka laluan kepada tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap kesalahan lalu lintas, sedang jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya mencecah paras tertinggi dalam tempoh sedekad, iaitu sebanyak 149 kes pada 2025 berbanding 141 kes pada 2016.
Seramai 27 AP telah menyertai perbahasan bagi Rang Undang-Undang tersebut yang berlangsung lebih enam jam.
“Rang Undang-Undang ini menegaskan bahawa apabila kenderaan sedang bergerak, perbuatan memegang peranti komunikasi mudah alih adalah dilarang. Tiada sebarang pengecualian.
“Adalah berbahaya untuk mengambil sikap bahawa ianya selamat untuk mengambil peranti itu semasa kenderaan sedang bergerak, walaupun hanya sesaat,” kata Cik Sim.
Antara lain, beberapa AP seperti Cik Mariam Jaafar (GRC Sembawang), Cik Hany Soh (GRC Marsiling-Yew Tee), Cik Diana Pang (GRC Marine Parade-Braddell Heights), dan AP Parti Pekerja (WP), Encik Dennis Tan (Hougang) telah meminta penjelasan mengenai senario yang boleh membawa kepada kesalahan itu, dan jika pengecualian boleh diberikan bagi senario yang mana pemandu memegang telefon secara spontan untuk sesaat.
Di samping itu, AP pergerakan pekerja, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar), turut menyuarakan kebimbangan berhubung penggunaan telefon semasa kenderaan bergerak yang dekat dengan realiti masyarakat Melayu/Islam yang bertugas di jalan raya.
“Bagi pemandu kenderaan sewa privet (PHV), pemandu teksi dan penghantar makanan, telefon bukan sekadar alat komunikasi.
“Ia adalah alat kerja. Ia menentukan pesanan seterusnya, alamat penghantaran dan pendapatan hari itu,” kata Dr Wan Rizal.
Memberi respons, Cik Sim berkata:
"Kami tidak menjadikan penggunaan peranti yang dipasang pada pemegang ketika kenderaan sedang bergerak sebagai satu kesalahan jenayah kerana kami memahami terdapat sebab-sebab yang sah untuk menggunakannya, seperti aplikasi navigasi.
“Namun terdapat undang-undang sedia ada yang menyasarkan penggunaan skrin yang dipasang pada kenderaan yang sedang bergerak dalam keadaan tertentu.
“Bergantung pada fakta sesuatu kes, misalnya jika seorang pemandu menggunakan satu atau beberapa peranti yang dipasang pada pemegang sehingga mengganggu tumpuannya dan menjejaskan cara pemanduannya, beliau boleh dikenakan tindakan atas kesalahan memandu secara lalai atau berbahaya.”
Mereka yang didapati bersalah biasanya dikenakan 12 mata demerit dan denda sehingga $500.
Bagaimanapun, dalam kes lebih serius, pemandu boleh didakwa di mahkamah.
Jika disabit kesalahan, pesalah kali pertama boleh dihukum penjara hingga enam bulan dan dikenakan denda $1,000.
Pesalah berulang pula boleh dihukum penjara hingga satu tahun dan dikenakan denda $2,000.
Cik Sim menambah pemerintah akan terus memantau keadaan lalu lintas di jalan raya dan tidak menolak kemungkinan untuk mengubah pendekatan terhadap penggunaan peranti atau skrin yang dipasang pada pemegang, sekiranya terdapat keperluan pada masa hadapan.
Pindaan lain yang diluluskan dalam Rang Undang-Undang tersebut termasuk kesalahan baru, iaitu mendatangkan bahaya secara sengaja, memandu semasa dadah terkawal, bahan psikoaktif atau bahan memabukkan dalam darah, serta memperkukuh Polis Trafik (TP) untuk mengesan dan menguatkuasakan undang-undang terhadap kesalahan lalu lintas.