Satu sesi siaran langsung di TikTok yang bertujuan mempromosikan pakej umrah dan pelancongan bertukar menjadi pengalaman tidak menyenangkan bagi seorang kakitangan wanita AK Tours and Travel apabila beliau menerima komen berunsur seksual daripada pengguna wadah tersebut.

Kejadian pada 7 September itu mendorong syarikat berkenaan menghentikan sementara semua sesi siaran langsung atau ‘live’ sambil menyemak semula prosedur bagi melindungi kakitangannya daripada gangguan serupa.

Kakitangan tersebut, yang enggan dinamakan, memberitahu Berita Harian (BH) bahawa beliau pernah menerima komen kurang sesuai sejak mula mengendalikan sesi 'live’ pada Mac, namun komen yang diterima kali ini disifatkannya sebagai melampaui batas.

“Walaupun sesetengah komen sebelum ini masih boleh saya terima dan tidak memberi kesan yang ketara kepada saya, komen kali ini telah melampaui batas serta menjadi tidak sesuai dan tidak diingini,” katanya.

Dalam satu hantaran video di Instagram pada 16 September, Pengarah Urusan AK Tours and Travel, Ustaz Muhammad Aiman Abdul Khalid, mengumumkan keputusan menghentikan sementara sesi tersebut.

Dalam video itu, Ustaz Aiman berkata beliau telah mengarahkan kakitangannya untuk menghentikan semua sesi 'live’ buat seketika waktu hingga pihak mereka membuat laporan dan menyemak semula aliran kerja syarikat susulan kejadian tersebut.

Ketika dihubungi BH, Ustaz Aiman, yang juga pengasas syarikat tersebut, berkata beliau memandang serius terhadap kejadian itu.

Menurutnya, kebajikan dan keadaan emosi kakitangannya menjadi keutamaan berbanding kesan keputusan itu terhadap perniagaan.

Tambahnya, syarikat itu akan memperkukuh garis panduan dan prosedur bagi sesi siaran langsung, termasuk cara memantau komen, menyekat, dan melaporkan pengguna yang membuat komen tidak sesuai serta tindakan yang perlu diambil sekiranya kejadian serupa berulang.

“Sebagai kakitangan yang berhadapan dengan orang awam, ia tidak bermakna mereka harus menerima komen berunsur seksual atau tidak sesuai,” kata Ustaz Aiman.

Menurutnya, terdapat beberapa pengguna yang berpendapat bahawa kakitangan wanita tidak seharusnya mengendalikan sesi siaran langsung.

Namun, Ustaz Aiman berkata kakitangan wanita tidak seharusnya dinafikan peluang untuk menjalankan tugas atau mewakili syarikat hanya kerana tindakan segelintir pengguna dalam talian.

Malah, Ustaz Aiman berkata beliau sendiri pernah menerima komen negatif dan berunsur kebencian ketika mengendalikan sesi sedemikian.

Justeru, katanya, kejadian itu bukan semata-mata berkaitan jantina, sebaliknya tentang mewujudkan persekitaran pekerjaan yang tidak membuat kakitangannya kurang selesa atau terganggu.

Dalam video Instagram tersebut, Ustaz Aiman turut meminta pandangan pengikutnya tentang cara mengimbangi keperluan pemasaran dalam talian dengan usaha melindungi kakitangan daripada gangguan.

Bagi syarikat yang ditubuhkan pada 2023 itu, sesi siaran langsung merupakan salah satu kaedah pemasaran yang digunakan untuk menguar-uarkan pakej umrah dan pelancongan ke tamadun Islam seperti Maghribi, Mesir, dan Turkey.

Menurut Ustaz Aiman, sesi demikian boleh menarik sehingga 20 penonton pada satu-satu masa, dan telah menarik sekitar 2,500 penonton sejak memulakan usaha tersebut.

Beliau berkata menghentikan kaedah pemasaran itu sepenuhnya boleh menyebabkan syarikat kehilangan satu saluran untuk mendekati pelanggan berpotensi.

Ustaz Aiman turut berkongsi bahawa satu laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian (OSC) selepas seorang pengikut mencadangkan langkah tersebut menerusi ruangan komen hantaran Instagram.

Menurut beliau, OSC memaklumkan bahawa tindakan terhadap kandungan berkenaan tidak dapat diambil kerana sesi siaran langsung itu telah tamat dan kandungannya tidak lagi tersedia dalam talian.

Menurut laman OSC, suruhanjaya tersebut menangani kandungan bahaya dengan menghapuskannya serta mengehadkan atau menyahaktifkan akaun yang menyebarkan kandungan demikian dalam talian.

Ustaz Aiman berkata OSC memberikan kakitangan terbabit maklumat mengenai rakan kongsi masyarakat yang boleh menawarkan sokongan serta menggalakkannya membuat laporan sekali lagi sekiranya gangguan berterusan.

Susulan kejadian itu, beliau berharap semakan terhadap aliran kerja syarikat dapat membolehkan kakitangannya terus menjalankan tugas dalam talian dengan perlindungan yang lebih baik. 

“Tiada jumlah tontonan, penglibatan, atau jualan perniagaan yang lebih penting daripada keselamatan, maruah, dan kesejahteraan kakitangan kami,” tambah Ustaz Aiman.