Topik diikuti
Pergi ke BHkuHampir 200 kes bahaya dalam talian dilapor kepada OSC dalam bulan pertama operasi
Hampir 200 kes bahaya dalam talian dilapor kepada OSC dalam bulan pertama operasi
Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian bantu mangsa, termasuk kanak-kanak, dapatkan bantuan segera
Hampir 200 kes bahaya dalam talian dilapor kepada OSC dalam bulan pertama operasi
Sekitar 200 kes bahaya dalam talian telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian (OSC) sejak ia mula beroperasi kira-kira sebulan lalu, termasuk membantu menurunkan maklumat peribadi kanak-kanak yang menjadi mangsa doxxing, iaitu pendedahan maklumat peribadi tanpa kebenaran.
Sejak 29 Jun, OSC telah membantu mangsa, termasuk kanak-kanak, mendapatkan bantuan segera dengan menghalang penyebaran kandungan berbahaya, kata Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong, pada 24 Julai ketika melawat rumah terbuka SHECARES, pusat sokongan bagi mangsa gangguan dalam talian.
Ditubuhkan sebagai pusat sehenti, OSC diberi kuasa undang-undang untuk mengarahkan wadah dalam talian dan pentadbir kumpulan supaya segera menurunkan kandungan berbahaya bagi mengatasi masalah tindakan lewat oleh wadah digital.
Encik Tong berkata antara mangsa yang dibantu ialah dua kanak-kanak yang nombor telefon dan gambar mereka disiarkan dalam talian.
Dengan kerjasama platform berkenaan, OSC menurunkan hantaran itu dan menggantung akaun yang bertanggungjawab.
Ibu bapa mereka kemudian melahirkan rasa lega dan menghargai tindakan pantas itu.
Dalam satu lagi kes, OSC mengarahkan sebuah laman web pornografi menurunkan rakaman intim seorang mangsa yang dimuat naik tanpa persetujuannya, dan arahan itu dipatuhi.
"Kes-kes ini membuktikan OSC berkesan. Namun undang-undang dan peraturan sahaja tidak mencukupi," kata Encik Tong.
Beliau berkata pusat seperti Pusat SHECARES penting bagi menghubungkan mangsa dengan bantuan yang diperlukan.
Pusat itu dikendalikan oleh pertubuhan bukan untung SG Her Empowerment (SHE), yang menyediakan kaunseling percuma, bantuan membuat laporan serta khidmat nasihat guaman dengan peguam daripada Pro Bono SG.
Rumah terbukanya pada 25 Julai menampilkan pameran interaktif, termasuk ruang untuk orang ramai merakam sokongan mereka kepada mangsa gangguan dalam talian.
Tinjauan SHE pada April mendapati hampir empat daripada setiap 10 orang di Singapura pernah mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk gangguan berbahaya dalam talian sepanjang hayat mereka.
Seramai 1,048 warga Singapura dan penduduk tetap (PR) berusia 15 tahun ke atas menyertai tinjauan itu sebelum OSC mula beroperasi.
Suku daripada peserta berkata mereka mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk gangguan berbahaya dalam talian sepanjang 2025, manakala empat daripada setiap 10 mangsa mengalami kesan buruk seperti masalah kesihatan mental, gangguan kesihatan atau kerugian kewangan.
Encik Tong berkata pemerintah bertekad untuk mengurangkan angka tersebut.
Hasil awal satu lagi kajian SHE mengenai tanggapan peranan jantina menunjukkan lelaki muda lebih cenderung menerima keganasan rumah tangga dalam perkahwinan.
Menurut Encik Tong, keadaan itu menunjukkan gangguan sering berpunca daripada nilai dan kepercayaan yang dibiarkan menjadi kebiasaan sebelum mencetuskan gangguan atau perbuatan berbahaya.
“Kita bukan, dan tidak seharusnya menjadi, sebuah masyarakat yang bertolak ansur dengan keganasan, sama ada terhadap wanita mahupun lelaki,” katanya.
Beliau berkata langkah memperkukuh keselamatan dalam talian bukan sekadar mengawal selia ruang digital, tetapi juga memerlukan masyarakat mencabar kepercayaan dan stereotaip jantina yang memudaratkan serta mengamalkan budaya saling menghormati dan bertanggungjawab.
Tinjauan SHE turut mendapati pengalaman lelaki dan wanita berbeza.
Tinjauan itu turut mendapati 43 peratus peserta lelaki pernah mengalami gangguan dalam talian berbanding 32 peratus responden wanita.
Dalam kalangan belia berusia 15 hingga 34 tahun, wanita lebih berisiko mengalami gangguan seksual dalam talian, manakala lelaki lebih cenderung menjadi sasaran ‘cancel campaign’ atau kempen mengecam orang, dan penyalahgunaan imej intim palsu seperti teknologi pemalsuan mendalam (’deepfake’) berunsur seksual.
Hampir empat daripada setiap 10 peserta berasa selamat menggunakan media sosial, manakala hampir dua daripada setiap 10 berasa tidak selamat.
Pengerusi SHE, Cik Stefanie Yuen Thio, berkata semakin ramai memilih untuk menapis diri sendiri, berdiam diri dan menjauhkan diri daripada penyertaan digital kerana takut menjadi sasaran, menyebabkan perbualan dalam talian kurang pelbagai, kurang mewakili masyarakat dan kurang jujur.
Peserta turut berkata mereka memerlukan bantuan membuat laporan serta mendapatkan maklumat mengenai hak perundangan, sokongan emosi dan pelan keselamatan yang disesuaikan selepas mengalami gangguan dalam talian.